Ferdinand Dedah Thiago Hubungi Beliau Kerana Mahu Sertai Manchester United

Pemain midfield Sepanyol, Thiago Alcantara ketika ini merupakan bintang Liverpool dan keadaan mungkin akan berbeza sekiranya hasrat beliau untuk sertai Manchester United pada tahun 2013 tercapai.

Ketika era David Moyes mengurus Manchester United, Thiago Alcantara berhasrat untuk sertai setan merah, namun kerana ia tidak menjadi kenyataan maka beliau memilih untuk melengkapkan perpindahannya menyertai Bayern Munich.

Baru-baru ini Rio Ferdinand telah mendedahkan bahawa pemain midfield Liverpool itu telah menghubungi beliau pada 2013 yang lalu ketika kontraknya bersama Barcelona tamat.

Thiago ketika itu meluahkan kepada Ferdinand bahawa beliau mahu menandatangani perjanjian bersama setan merah dan meminta Rio untuk membantunya.

Setan merah pada ketika itu memulakan era baru mereka dengan melantik David Moyes sebagai pengurus dan beliau hanya bertahan selama lapan bulan sahaja di Old Trafford.

United ketika itu diterajui oleh pimpinan vice chairman, Ed Woodward yang baru-baru ini telah mengumumkan pengunduran dirinya selepas berlakunya pelbagai kontroversi ketika era pimpinannya.

Manchester United juga pada ketika itu merupakan pasukan yang digeruni dengan rekod 20 kejuaraan premier league dan kehebatan yang nyata di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.

Selepas Sir Alex mengundurkan diri, United mula untuk melakukan pembaharuan dengan mencari pemain baru serta pengurus baru.

Sayangnya pimpinan kelab tidak berminat untuk membawa maestro handalan Sepanyol itu ke bumi Old Trafford walau mereka telah cuba diyakinkan oleh Rio Ferdinand.

Spekulasi berkait perpindahan Thiago ke United ketika itu semakin memuncak selepas kebanyakkan peminat percaya David De Gea telah memberi gambaran jelas bahawa perpindahan itu akan berlaku.

Penjaga gol Sepanyol itu telah menulis ‘Jumpa kamu di Manchester’ di atas bola yang Thiago bawa pulang kerana mencatatkan hat-trick dalam perlawanan akhir European Championship U-21.

Bercakap dalam saluran Youtube miliknya, Vibe with FIVE, pemenang enam kali gelaran premier league itu menyatakan bahawa:

“Sebelum Thiago meninggalkan Barcelona, dia ada hubungi saya.”

“Kami bermain bertemu Barcelona di luar negara ketika sesi jelajah, dan dia sungguh luar biasa.”

Jelas Ferdinand berkait aksi Thiago ketika perlawanan pemanas badan Man Utd bertemu Barcelona itu.

“Dia bermain di posisi nombor 10 dan dia menjaringkan gol yang sungguh hebat.”

“Jadi kami sudah tahu tentang dia ketika itu dan beberapa tahun selepas itu, Moyes jadi pengurus kami.”

Menurut Ferdinand, bukan beliau yang mula menghubungi maestro itu, namun Thiago yang menghubungi beliau dan meluahkan hasratnya.

“Saya tak bercakap dengan Thiago, saya tak kenal dia, tapi David De Gea berikan nombor telefon saya pada dia.”

Jelas bekas bintang United yang kini berusia 42 tahun itu.

“Dia hubungi saya dan dia kata: ‘Rio, saya sangat teringin untuk sertai Manchester United. Boleh kamu sampaikan pada sesiapa?”

Man Utd lepaskan Thiago untuk dapatkan Fellaini

Pada musim panas yang sama, setan merah telah dikaitkan dengan begitu banyak pemain seperti Thiago, Gareth Bale dan Cesc Fabregas.

Namun mereka pada ketika itu hanya menandatangani Marouane Fellaini sahaja pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas dibuka.

Walaupun beliau dianggap sebagai antara pemain paling diinginkan oleh kebanyakkan kelab pada ketika itu, namun pimpinan United mahu memberi tumpuan pada rundingan lain, yang kesudahannya berakhir dengan kegagalan juga.

“Jadi saya bercakap dengan orang-orang di kelab, Moyes dan Woodward. Saya cerita tentang itu.”

Ferdinand mendakwa yang pimpinan kelab ketika itu menyatakan bahawa:

“Kita sudah dalam proses akhir untuk menandatangani beberapa pemain lain. Jadi abaikan.”

Jelas Ed Woodward menurut Ferdinand.

“Thiago ketika itu ada 24 jam sahaja untuk dapatkan jawapan.”

Sambung Ferdinand lagi.

Ia kerana Thiago ketika itu harus memilih sama ada mahu menunggu setan merah, atau mengikut bekas pengurusnya, Pep Guardiola di Bayern Munich.

“Dia sudahnya hubungi saya semula keesokan harinya, ‘saya tak boleh tidur, boleh beritahu saya tentang Man Utd? Apa kesudahannya?”

“Dia kata lagi yang dia hanya ada 24 jam untuk buat keputusan kerana jika terlewat Pep Guardiola tidak akan bawa dia ke Bayern Munich.”

Dek kerana bersetuju menyertai Bayern Munich, Thiago berjaya memenangi tujuh kali gelaran Bundesliga dan satu kejuaraan Champions League sebelum melengkapkan perpindahan ke Anfield pada tahun 2020.

United pada ketika itu turut menyatakan hasrat mereka untuk mendapatkan Thiago namun Liverpool lebih pantas membuat rundingan dan menandatangani maestro Sepanyol itu.

Thiago memulakan kariernya di Anfield dengan tidak begitu baik kerana terlibat dalam beberapa siri kecederaan dan kerap diketepikan dari skuad utama.

Thiago bersama Barcelona

Beliau ketika dapat beraksi, kem Liverpool pula dilanda masalah kekurangan pemain utama dan berdepan dengan deretan kekalahan yang hampir menyebabkan mereka terlepas slot khas ke Champions League musim hadapan.

Namun ketika beliau digandingkan dengan Fabinho pada penghujung musim 2020/21, Thiago telah menunjukkan impak positif dan membuktikan beliau berbaloi ditandatangani.

Beliau berjaya menjadi maestro yang membantu Liverpool menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga seterusnya berjaya mara ke saingan Champions League musim hadapan.

Musim 2021/22 tentunya akan jadi musim yang lebih baik untuk Thiago dengan barisan pemain Liverpool yang sebelum ini dibelenggu masalah kecederaan sudah cergas dan Klopp boleh menurunkan kesebelasan terbaik yang beliau mahukan.

Musim lalu, Jurgen Klopp boleh dikatakan langsung tidak berkesempatan untuk menurunkan kesebelasan terbaik pilihan beliau dek kerana para pemain bergilir-gilir direhatkan kerana masalah kecederaan.

Thiago tidak dinafikan sememangnya seorang pemain perancang yang hebat dengan mempunyai kualiti hantaran yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Jika Moyes dan Ed Woodward dengar nasihat Ferdinand pada tahun 2013 lalu, beliau mungkin sudah berjaya membawa sesuatu yang positif ke dalam skuad United jika diberi peluang beraksi di Old Trafford.

Sumber: FIVE

BACA:  Ferdinand: Lukaku Penyerang Idaman Setiap Pemain Pertahanan