Bekas pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mengkritik segelintir penyokong Liverpool yang baru memunculkan diri selepas ‘berpuluh-puluh’ tahun bersembunyi.
Ferdinand mendakwa kelompok penyokong Liverpool yang plastik ini kini berani untuk memunculkan diri kepada umum berikutan persembahan baik pasukan Merseyside itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Liverpool kini menduduki tangga teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris, 1 mata di hadapan Manchester City yang masih mempunyai kelebihan 1 perlawanan berbanding Liverpool.
Ferdinand membuat kenyataan panas itu ketika membincangkan peluang Liverpool dalam memenangi kejuaraa Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam sejarah.
Ujar Ferdinand lagi, sebagai bekas pemain dan penyokong Manchester United, beliau melalui situasi yang sukar kerana perlu memilih calon juara dari kalangan pasukan yang dibencinya suatu ketika dahulu.
Apabila diminta untuk membuat pilihan , Ferdinand memilih Manchester City sebagai calon juara berbanding Liverpool.
“Ini merupakan senario yang paling sukar bagi seseorang yang meminati Manchester United dan pernah bermain untuk Manchester United. Dan saya juga seorang pengulas bola sepak yang perlu bercakap mengenai persaingan di antara dua pasukan tersebut di khalayak umum.”
“Jadi dari 2 pasukan ini, saya lebih rela melihat Manchester City memenangi Liga Perdana Inggeris kerana saya pernah melihat mereka memenanginya.”
“Saya pernah melihat Manchester City muncul juara Liga Perdana Inggeris ketika bergelar pemain dan peminat bola sepak. Dari segi emosi, saya mampu menanganinya.”
Bekas pemain antarabangsa England yang kini mencecah usia 40 tahun ini tidak berhenti disitu sahaja dalam menghentam Liverpool. Kali ini Ferdinand mengecam segelintir penyokong Liverpool yang baru memunculkan diri selepas sekian lama menyembunyikan diri.
“Terdapat segelintir peminat yang saya tidak tahu langsung meminati Liverpool yang kembali ‘timbul’ selepas 20 tahun dalam keadaan senyap. Golongan ini sudah mula berbicara walaupun Liverpool belum lagi memenangi apa-apa lagi.”
“Jadi saya akan lebih sakit hati jika Liverpool berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris. Tetapi dengar sini, pasukan terbaik akan memenanginya dan kepada pasukan mana yang menang nanti, saya ucapkan tahniah.”
Ferdinand layak untuk berada jengkel terhadap Liverpool kerana beliau pernah memenangi Liga Perdana Inggeris sebanyak 6 kali sepanjang kariernya manakala kali terakhir Liverpool memenangi kejuaraan dometik adalah pada musim 1989/1990, hampir 29 tahun yang lalu.
Persengketaan di antara Liverpool dan Manchester United sudah wujud berpuluh-puluh tahun lamanya. Walaupun Setan Merah gagal mencabar kejuaraa liga musim ini, mereka mampu memainkan peranan penting dalam perebutan juara liga kerana akan bertemu Manchester City tidak lama lagi.