FIFA Perkenal Peraturan Baharu Pemain Pinjaman Yang Lebih Tegas

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memperkenalkan peraturan baharu berkaitan pemain pinjaman yang lebih tegas bagi memberi lebih peluang kepada bakat muda.

Majlis FIFA bermesyuarat lebih awal sebelum Kongres Biasa FIFA ke-72 di Doha, Qatar, dan menerima pakai peraturan baharu berkenaan pinjaman pemain dalam bola sepak antarabangsa.

Peraturan terbaru mengenai pemain yang dipinjamkan samada keluara atau masuk itu telah diluluskan pada Februari lalu, dan mulai berkuatkuasa pada 1 Julai ini dan diperkemaskan secara berperingkat sehingga tahun 2025.

Objektif utama perubahan peraturan tersebut adalah untuk membenarkan pemain muda mendapat lebih banyak peluang untuk beraksi, membenarkan pertandingan diadakan secara kompetitif dan adil, serta mengelakkan peraturan sedia ada disalah gunakan.

Di bawah peraturan tersebut, pengambilan pemain secara pinjaman oleh setiap kelab akan dihadlkan, di mana hanya tiga pemain pinjaman, dan tiga pemain dipinjamkan dibenarkan pada satu-satu masa (satu jendela perpindahan).

Tempoh pinjaman juga telah diubahsuai oleh FIFA. Tempoh minima pinjaman hendaklah berlaku di antara dua jendela pinjaman (6 bulan), dan maksimum setahun.

Meminjam kembali pemain yang telah dipinjamkan ke kelab lain (kelab ketiga) adalah tidak dibenarkan. Setiap terma pinjaman hendaklah melalui kontrak bertulis (agreement) yang menyatakan setiap syarat pinjaman.

Perubahan tersebut dilakukan dalam usaha FIFA memperkemaskan sistem perpindahan pemain bermula pada 2017, untuk memodenkan, selain membersihkan pasaran perpindahan pemain daripada aktiviti yang tidak sepatutnya.

Ia juga adalah untuk mengelak kelab yang kaya ‘memerap’ atau mendomiasi kelompok pemain, menyebabkan perkembangan bakat terbantut. Kejadian sebegini juga menyebabkan kelab kurang berkemampuan terpaksa meminjam pemain yang diperlukan kerana pasaran pemain dikawal oleh kelab-kelab tertentu.

Situasi yang menghadkan pinjaman keluar/masuk pemain ini memberi peluang lebih besar kepada kelab pertengahan dan kerdil untuk mendapatkan pemain muda dan pemain berpotensi secara pembelian dan bukan lagi pinjaman dari kelab besar.

Penguatkuasaan peraturan baharu itu bagaimana pun akan dilakukan secara berperingkat. Setiap kelab akan dihadkan untuk meminjam atau mengambil pemain pinjaman secara berperingkat berdasarkan tetapan masa seperti berikut:

1. Bermula 1 Julai 2022 sehingga 30 June 2023, setiap kelab harus mempunyai hanya lapan pemain dipinjamkan masuk/ keluar di dalam tempoh semusim.
2. Bermula 1 Julai 2023 segingga 30 Jun 2024, peraturan sama digunapakai, tetapi terhad kepada tujuh pemain.
3. Bermula 1 Julai 2024, peraturan sama akan dikuatkuasakan tetapo dihadkan kepada 6 pemain.

Peraturan ini bagaimana pun tidak dihadkan kepada pemain di bawah usia 21 tahun untuk membenarkan pemain-pemain muda mendapat lebih banyak peluang beraksi bersama kelab lain sekiranya gagal mendapatkan tempat bersama kelab induk.

Peraturan ini juga hanya diguna pakai untuk perpindahan pinjaman antarabangsa, dan bukan perpindahan yang dilakukan di peringkat domestik.

Walaupun demikian, FIFA berkata setiap persatuan yang menjadi anggota badan induk bola sepak dunia itu harus turut menggunakan peraturan yang sama di pertandingan domestik masing-masing selewat-lewatnya pada 1 Julai 2025.

Sebelum ini FIFA telah memperkenalkan peraturan baharu untuk yuran ejen bola sepak bagi menjaga kebajikan pemain dan juga bagi mengawal yuran perpindahan yang tidak masuk akal di mana ejen menikmati keuntungan yang melampau.

FIFA telah merancang untuk menghadkan yuran ejen kepada pada tiga peratus daripada gaji pemain dan 10 peratus daripada yuran perpindahan yang juga berkuatkuasa pada 1 Julai 2022.

Ia adalah sebahagian daripada Peraturan Agen Bola Sepak FIFA yang baharu yang akan berkuat kuasa pada 2022 dan bertujuan untuk menyediakan sistem yang lebih adil dan telus.

Ejen bukan sahaja menikmati bahagian dari yuran perpindahan malah dapat juga merasai peratusan dari gaji yang diterima pemain setiap minggu.

Peraturan ini bagi mengelakkan kontroversi seperti perpindahan Paul Pogba dari Juventus kembali ke Manchester United yang bernilai €100 juta.

Football Leaks mendedahkan bahawa ejen Mino Raiola menerima bayaran €49 juta kerana mewakili ketiga-tiga pihak dalam perjanjian itu. Ia membawa kepada siasatan oleh FIFA.

Satu lagi kontroversi datang lebih awal dengan perpindahan Neymar Jr. dari Santos ke FC Barcelona pada 2013.

Ternyata jumlah awal £48.6 juta yang dilaporkan jauh lebih rendah daripada kos sebenar £71.5 juta yang didedahkan kemudian oleh presiden Barcelona Josep Maria Bartomeu.

Perjanjian itu termasuk bayaran pampasan £33 juta yang dibayar kepada bapa Neymar, selain bayaran £2 juta untuk bertindak sebagai ejennya.

BACA:  Ejen FIFA Dedah Liverpool Sedia Tawarkan €300 Juta Untuk Mbappe Ke Anfield