FIFA Perkenalkan Teknologi Ofsaid Semi Automatik Dalam Piala Dunia Qatar

Badan bola sepak dunia, FIFA, telah memperkenalkan teknologi ofsaid semi automatik dalam kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar, bermula 21 November.

Teknologi ini dijangka bakal memudahkan kerja pegawai perlawanan yang menjaga video dan juga yang berada di tengah padang untuk membuat keputusan yang lebih cepat, tepat, padat, sendat dan boleh diharapkan di dalam kejohanan yang terbesar di dunia ini.

Sistem ofsaid semi automatik ini telah pun diuji sepenuhnya dalam kejohanan Piala Arab FIFA 2021, dan juga dalam Piala Dunia Kelab FIFA pada tahun. Menerusi teknologi canggih ini, pegawai yang menjaga VAR akan menerima notifikasi amaran ofsaid dan akan disemak secara manual sebelum menghubungi pengadil di tengah padang.

Canggih, bukan?

Selain itu, komunikasi bersama penyokong di dalam stadium juga akan dinaik tarafkan dengan paparan 3 dimensi (3D) di skrin besar serta di kaca televisyen bagi penonton di rumah dan kedai mamak, menunjukkan bagaimana keputusan ofsaid itu dicapai.

Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata;

“Teknologi ofsaid semi auto ini adalah evolusi daripada sistem VAR yang telah digunakan di seluruh dunia (kecuali Malaysia yang lembap dalam bab ini).

“Teknologi ini adalah hasil daripada kajian dan ujian yang mendalam selama tiga tahun untuk memberikan keputusan yang terbaik buat pasukan, pemain dan penyokong yang akan pergi ke Qaar pada tahun ini.

“FIFA sangat komited untuk memanfaatkan teknologi bagi menambah kualiti permainan bola sepak di semua tahap dan penggunaan sistem ofsaid semi auto ini di Piala Dunia FIFA 2022 adalah satu bukti yang nyata.”

Bagaimanakah Sistem Ini Berfungsi?

Teknologi terbaru ini menggunakan 12 kamera pengesanan (tracking cameras) yang khas, diikat di bawah bumbung stadium untuk mengesan bola dan juga sehingga 29 titik data daripada setiap pemain sebanyak 50 kali dalam masa sesaat, dan melakukan kiraan tentang kedudukan yang tepat di atas padang.

Faham tak?

Kalau tak faham, macam ni cerita dia.

Setiap pemain ini ada titik data. Titik data yang ada sebanyak 29 titik ini adalah seperti kedudukan tangan dan kaki, badan dan juga bahagian-bahagian yang boleh membawa kepada ofsaid. Setiap data ini pula diambil sebanyak 50 kali dalam masa sesaat.

Ini bermaksud, kalau seseorang pemain tu korek hidung pun, data pergerakan tangan dia akan dapat direkod oleh kamera yang mempunyai resolusi yang tinggi gila ni.

Faham dah kan?

Tambahan kepada sistem ini adalah bola yang akan digunakan di dalam perlawanan di Piala Dunia itu sendiri.

Bola Adidas Al Rihla fi Shaati’il Bahri ma’a Asdiqo’ie ini akan memberikan maklumat dan elemen tambahan untuk mengesan insiden ofsaid yang sangat sipi-sipi dengan sensor unit pengesanan inertia (inertial measurement unit [IMU]) akan diletakkan di dalam bola.

Sensor ini, diletakkan di tengah-tengah bola akan menghantar data kepada pengadil yang menjada video di bilik operasi sebanyak 500 kali setiap saat, sekaligus bakal memberikan detik yang paling tepat tentang persoalan bilakah bola disepak.

Dengan menggabungkan alat pengesnan data pergerakan tangan dan bola yang dipadankan dengan kecerdikan tiruan atau disebut artificial intelligence, teknologi baru ini akan memberikan notifikasi amaran ofsaid kepada pengadil video di bilik operasi video apabila setiap kali bola diterima oleh para pemain yang melakukan serangan yang berada di kedudukan ofsaid pada saat bola dihantar oleh rakan sepasukan.

Pengadil di bilik video kemudiannya akan menerima detik yang menunjukkan bola disepak dan juga garisan ofsaid yang dijana secara automatik. Selepas data ini disemak secara manual, pengadil video akan menyampaikannya kepada pengadil di atas padang.

Pada masa yang sama, selepas data ofsaid ini disahkan oleh pengadil video, data yang sama ini akan menghasilkan animasi 3D yang menunjukkan posisi tangan dan kaki pemain pada ketika bola dimainkan.

Animasi 3D ini akan dipaparkan di skrin besar di stadium dan kaca televisyen di rumah, sekaligus memberikan gambaran yang lebih jelas kepada penyokong dan menutup ruang kepada kritikan dan kecaman.

Nampak macam lama, kan?

Tapi sebenarnya proses ini hanya mengambil masa selama beberapa saat sahaja dan ini bermaksud keputusan ofsaid dapat dibuat dengan lebih cepat dan tepat.

Pengenalan teknologi ini mendapat pujian dan sokongan daripada pengadil legenda, Perluigi Collina.

VAR memang sudah pun memberikan impak positif kepada bola sepak dan kita boleh tengok banyak kesilapan besar telah berjaya dikurangkan,” ujarnya yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa pengadil FIFA.

“Kita jangkakan bahawa sistem ofsaid semi automatik ini akan membawa kita terus melangkah dengan lebih jauh. Kita maklum bahawa kadang-kala proses untuk mengesahkan kedudukan ofsaid ni mengambil masa yang lama terutamanya kalau kedudukan ofsaid tu sangat sipi-sipi.

“Maka di sinilah teknologi ofsaid semi auto ini akan digunakan – untuk menawarkan keputusan yang lebih cepat dan tepat.

“Pengujian ini telah pun mencapai kejayaan yang besar dan kami yakin di Qatar, kita akan mendapat sokongan yang sangat berharga untuk membantu pengadil dan pembantu pengadil mendapatkan keputusan terbaik dan paling tepat di atas padang.

“Saya tahu ada orang yang panggil benda ni sebagai ofsaid robot – bukan gitu pun sebenarnya. Pengadil dan pembantu pengadil masih lagi merupakan pembuat keputusan tentang apa yang berlaku di atas padang.”

Sumber : Sky Sports 

BACA:  Akui Sukar Lawan Malaysia, PSSI Hubungi Portugal Untuk Perlawanan Persahabatan