Firmino Beri Reaksi Untuk Berita Kembalinya Coutinho Ke Anfield

Roberto Firmino baru-baru ini telah menyukai satu hantaran di Instagram mengenai perpindahan semula Coutinho ke Liverpool musim panas ini.

Coutinho meninggalkan Anfield ke Barcelona pada tahun 2018 dengan nilai perpindahan mega, namun penghijrahannya ke Nou Camp menjadi mala petaka dalam karier profesionalnya.

Setelah gagal untuk mendapatkan tempat dalam skuad Barcelona, bintang Brazil itu telah dihantar ke Bayern Munich untuk perjanjian pinjaman selama semusim.

Bayern Munich ternyata tidak mahu menandatangani Coutinho secara tetap dan mahu memulangkan semula pemain itu kepada majikannya, Barcelona.

Beberapa hari ini telah tular berita bahawasanya pemain berusia 28 tahun itu akan kembali ke Liverpool dan sepertinya rakan senegara Coutinho, Roberto Firmino sangat mengalu-alukan kehadirannya ke Anfield.

Coutinho menyertai Liverpool dari Inter Milan pada tahun 2013 dan telah menjadi salah seorang pemain terpenting dalam skuad the reds ketika itu.

Beliau telah membuat 201 penampilan untuk Liverpool dan telah berjaya mencatatkan 54 gol sebelum terbang ke Sepanyol menyertai Barcelona.

Walau bagaimanapun, Coutinho tidak berjaya untuk mendapatkan tempat di Sepanyol dan sukar untuk beliau terus mempamerkan kecemerlangan di sana.

Perpindahan ke Bayern secara pinjaman sepatutnya menjadi pemangkin kepada kebangkitan karier beliau, namun pasukan dari Jerman itu tidak merasakan mereka masih memerlukan khidmat dari Coutinho lalu memutuskan untuk menamatkan perjanjian pinjaman pemain tersebut.

Coutinho kini dilaporkan menerima pendapatan £250,000 seminggu dan beliau secara terang-terangan mengakui bahawa dirinya sanggup menerima potongan gaji seandainya mendapat peluang untuk kembali beraksi bersama Liverpool.

Gergasi dari Sepanyol itu sudah menyediakan imbuhan untuk Coutinho dan mereka mahu meminjamkan pemain itu kepada mana-mana pasukan yang berminat.

Akan tetapi, Barcelona tetap mengutamakan pasukan yang berminat untuk mendapatkan Coutinho secara pembelian terus berbanding secara pinjaman.

Media Sepanyol, SPORT telah melaporkan bahawa kelab sanggup menerima tawaran bernilai £44.5 juta untuk melepaskan Coutinho.

Klopp sudah pasti akan memikirkan untuk menandatangani semula Coutinho selepas usahanya untuk mendapatkan Timo Werner dari RB Leipzig menemui kegagalan.

Bekas pertahanan Liverpool, Steve Nicol percaya bahawasanya sungguh tidak masuk akal sekiranya the reds menolak untuk menandatangani Coutinho semula dalam situasi sekarang.

“Sudah pasti. Liverpool sangat rugi kalau lepaskan dia. Saya tidak boleh memikirkan walau satu pon alasan yang memungkinkan Liverpool menolaknya.”

“Satu-satunya tempat yang beliau gemari adalah Liverpool. Tempat yang beliau cintai, dia sangat sayangkan pasukan. Anda boleh bayangkan menambahkan beliau kedalam skuad sedia ada sekarang, mereka sudah bergelar Juara eropah musim lalu dan musim ini sudah tersingkir dan kini mereka semakin hampir untuk menjuarai Liga.”

“Mereka akan menambahkan pemain sehebat dan mempunyai kemampuan luar biasa seperti Coutinho, kemasukan beliau boleh diibaratkan seperti Timo Werner, dia pasti akan berusaha untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.”

“Dia sanggup memotong gajinya, luar biasa, kamu semua dengar sini, dia pemain yang boleh menjana pendapatan bersih lebih £13 juta setahun. Dia pasti akan memberikan sesuatu yang hebat.”

“Sekiranya diurus dengan betul ini bakal menjadikan Liverpool sebuah pasukan yang paling digeruni.”

BACA:  Newcastle Tawarkan Bonus Lumayan Kepada Coutinho Untuk Memujuknya Ke St James Park