Fokus Maguire Hanya Pada England, Bukan Manchester United

Pemain pertahanan Leicester City, Harry Maguire menghiraukan minat yang ditunjukkan Manchester United dan Manchester City terhadapnya kerana ingin fokus pada tugasan bersama skuad kebangsaan England menjelang aksi separuh akhir Nations League yang akan berlangsung bulan hadapan.

Pemain pertahanan England ini dianggap calon utama untuk menggantikan tempat kapten Manchester City, Vincent Kompany dalam skuad Pep Guardiola musim hadapan. Selain itu, Maguire turut menarik minat Manchester United, yang hampir mendapat khidmatnya pada awal musim ini ketika dibawah jagaan Jose Mourinho.

Fokus Maguire hanya pada Tiga Singa, bukan pada Setan Merah

Maguire yang menyertai Leicester dari Hull City pada tahun 2016, dianggap pemain paling menyerlah buat skuad Three Lions ketika mereka mara sehingga peringkat separuh akhir pada edisi Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Russia musim panas tahun lalu.

Pengurus England, Gareth Southgate telah menamakan Maguire dalam skuad kebangsaan England yang bakal berdepan Belanda dalam peringkat separuh akhir Nations League dan pemain itu hanya mahu fokus terhadap tugasan antarabangsa buat masa sekarang.

“Ketika saya bersama England, saya tidak berfikir apa-apa mengenai perkara yang melibatkan kelab.” Ujar Maguire apabila ditanya mengenai minat Setan Merah terhadap beliau.

Maguire dikenal pasti sebagai pengganti paling cocok kepada Vincent Kompany

“Sebaik sahaja saya memakai lencana ini, amat penting bagi saya untuk fokus pada England. Saya fokus pada 2 perlawanan yang kami akan harungi tidak lama lagi dan disitulah minda saya berada sekarang.”

Maguire akan berhadapan dengan pemain paling menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, Virgil van Dijk apabila England berentap dengan Belanda pada 6 Jun nanti. Walau bagaimanapun, Maguire mengakui beliau tidak berapa mengetahui mengenai kemampuan rakan gandingan Van Dijk, iaitu Matthijs de Ligt.

Berikutan persembahan mengagumkan De Ligt di peringkat Eropah musim ini, pemain tersebut telah menarik minat pasukan gergasi sekitar Eropah dan dijangka akan meninggalkan Ajax pada musim panas ini.

Barcelona dan Manchester United dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan tanda tangan kapten Ajax yang baru berusia 19 tahun ini. Akan tetapi menurut laporan terbaru, Red Devils telah menarik balik minat mereka terhadap De Ligt selepas mengetahui kemahuan pemain tersebut yang ingin berpindah ke Nou Camp.

“Beliau merupakan kapten untuk pasukan Ajax pada usia 19 tahun dan berjaya membawa pasukan tersebut lolos ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah. Saya yakin beliau akan mempunyai masa depan yang besar.” Ujar Maguire mengenai De Ligt.

Maguire percaya Maddison akan cuba dipancing kelab besar pada jendela musim panas ini.

Maguire juga sempat memberikan komen mengenai rakan sepasukannya di Leicester, James Maddison yang gagal mendapat tempat dalam skuad England walaupun bermain cemerlang musim ini.

“Jika beliau terus menerus bermain pada tahap yang sama untuk Leicester, saya yakin Maddison akan berada dalam skuad pada masa hadapan.”

BACA:  Ibu Maguire Terkilan Cemuhan Melampau Diterima Anaknya