Foster Terkejut Dan Kagum Dengan Soalan Yang Ditanya Oleh Salah

Share on facebook
Share on twitter

Ben Foster mendedahkan kisah yang menakjubkan tentang mentaliti dasyat yang dimiliki oleh pemain terhebat dunia pada ketika ini, Mohamed Salah.

Beliau menceritakan bagaimana Mo Salah mempunyai keinginan untuk menjadi yang lebih baik dengan bertanya soalan mengejutkan padanya selepas tamat aksi kekalahan 5-0 Watford di tangan Liverpool.

Salah berjaya menjaringkan antara gol tercantik sepanjang kariernya ketika bertemu Watford, dengan beliau cemerlang menggelecek beberapa pemain lawan sebelum menewaskan Ben Foster.

Gol jaringan beliau di Vicarage Road itu tidak dinafikan antara gol yang sangat berkualiti dengan gerakan, build up dan penyudah yang sangat tajam.

Beliau turut mencatatkan assists yang sungguh menakjubkan untuk gol pembukaan yang berjaya dijaringkan oleh Sadio Mane.

Selepas tamat perlawanan tersebut, Salah dilihat berbual dengan Ben Foster sambil beliau menutup mulutnya seolah-olah mereka sedang berbicara tentang sesuatu yang sulit.

Pada awalnya pelbagai spekulasi dicetuskan oleh peminat tentang apa yang dikatakan oleh Salah kepada Foster kerana tidak ada yang mampu menjelaskan apa yang mereka bincangkan kerana gerak bibir Salah tidak boleh dibaca.

Baru-baru ini, bekas penjaga gol Manchester United itu berkongsi apa yang beliau bualkan dengan Mo Salah di laman Youtube miliknya ‘CyclingGK’.

Apa yang mengejutkan para peminat adalah, Salah sebenarnya terdesak untuk tahu arah mana yang akan Foster pilih, seandainya Salah memenangi sepakan penalti.

“Jadi mereka baru saja menang perlawanan itu 5-0. Mo Salah saya rasa dia jaringkan satu gol dalam perlawanan itu.”

Jelas Foster.

“Tapi selepas tamat perlawanan dia datang ke arah saya dan dia tutup mulut dia guna tangan dia kerana dia tak mahu kamera merakam apa dia nak cakap.”

“Dia datang dan kata, ‘Ben, Ben..”

“Saya balas, ‘Okay ya? Awak ok?’ Dan dia balas, ‘Jika saya dapat penalti, arah mana kamu akan dived?’

“Sekarang, sebaik dia katakan itu, saya fikir, ‘Oh, kamu pandai, budak pandai’, kerana kita ada buat kajian. Semua penjaga gol di luar sana ada buat kajian tentang pemain penyerang dan kami akan cuba cari di mana arah tuju empat, lima ke sepuluh sepakan penalti terakhir dia, dan lima sepakan terakhir Mo Salah dia pilih kanan penjaga gol.”

“Jadi saya tengok muka dia dan saya kata, ‘Ah ok, saya akan pilih sebelah kanan saya, saya akan dived sebelah kanan kerana lima sepakan terakhir kamu adalah di sebelah kanan.”

Foster kemudiannya memberikan pujian yang menggunung kepada bintang Mesir itu dengan menyatakan:

“Dia mengukir senyuman lebar di wajah dia, senyuman gembira, dan dia kata, ‘Yeah, Terima Kasih. Saya perlu tahu, saya perlu tahu.”

“Jadi bukan hanya dia baru sahaja menang perlawanan itu dengan keputusan 5-0 dan menjaringkan gol yang sungguh menakjubkan, menjadi pemain terbaik dalam perlawanan itu, dia juga mahu tahu tentang semua hal kecil-kecil.”

“Dalam perlawanan dia selepas ini, seandainya dia memenangi penalti, dia tahu arah mana hendak dituju.”

“Kerana itulah Mo Salah, dia berada di puncak. Dia berada di puncak tertinggi.”

Dalam aksi perlawanan seterusnya, Salah berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi kemenangan 3-2 bertemu Atletico Madrid dalam saingan Champions League.

Salah satu dari dua gol itu adalah gol yang dijaringkan menerusi sepakan penalti, selepas Mo Salah menewaskan Jan Oblak dengan mengarahkan bola ke sudut sebelah kanan.

Beliau kemudiannya turun beraksi bertemu Manchester United di Old Trafford dalam saingan Premier League, dengan Mo Salah berjaya mencatatkan hat-trick dalam perlawanan tersebut.

Beliau berjaya menjadi pemain pertama dalam sejarah saingan Premier League, yang mampu mencatatkan hat-trick di Old Trafford.

Beliau juga berjaya memecahkan terus rekod Didier Drogba sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam saingan Premier League untuk pemain dari benua Afrika.

Salah sememangnya tidak boleh dinafikan lagi beliau merupakan antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

BACA:  Reaksi Berlebihan Liverpool Selepas Casemiro Balas Tackle Kejam Milner Ke Atas Benzema
Share on facebook
Share on twitter