FPL : 5 Pemain Dengan Mata Tertinggi Pada Minggu Ke-16

Pada minggu perlawanan ke-16, terdapat tiga perlawanan derbi yang menjadi tumpuan para peminat bola sepak Inggeris; West Ham menentang Chelsea (Derbi London), Manchester United menentang Manchester City (Derbi Manchester) dan Everton menentang Liverpool (Derbi Merseyside).

David Moyes berjaya melakar kemenangan pertamanya setelah gol awal Arnautovic menentang Chelsea berjaya dipertahankan sehingga tamat masa perlawanan. Manchester City pula berjaya memecahkan rekod baharu kemenangan berturut-turut setelah Lukaku membantu Otamendi menjaringkan gol kemenangan buat The Citizen.

Dalam perlawanan Derbi Merseyside pula, Mohamed Salah berjaya menjaringkan gol ke-13 beliau pada minit ke-42. Namun, Dejan Lovren pula menjadi ‘duri dalam daging’ buat Liverpool setelah menolak pemain lawan sebelum musuh sejati Liverpool, Wayne Rooney menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-77. Tanpa ingin membuang lebih banyak masa, mari kita lihat 5 pemain yang berjaya meraih mata tertinggi pada minggu perlawanan ke-16.

1. Son Heung-Min (Tottenham Hotspurs) – 16 Mata

Pemain berusia 25 tahun yang berasal dari Korea Selatan ini sangat produktif pada perlawanan menentang Stoke City yang menyaksikan beliau menyumbang 1 gol dan 2 bantuan gol yang bernilai 11 mata. Setelah ditambah mata minit bermain dan mata bonus (3), 16 mata berjaya dikutip Son Heung-Min.

Son Heung-Min | Kredit Foto : The Independent

FAKTA : Son Heung-Min merupakan salah seorang pemain tengah/sayap yang berjaya mengutip mata melebihi angka 15. Pemain tengah/sayap lain yang berjaya mengutip mata melebihi angka 15 ialah Hazard (18) dan Salah (16).

2. Jermain Defoe (Bournemouth) – 13 Mata

Walaupun sudah berusia  35 tahun, Defoe masih ingin menyumbang sesuatu untuk kelabnya dan terbukti Defoe masih berbisa dengan 2 gol yang dijaringkannya dan 2 gol tersebut berjaya memberikan 8 mata buat Defoe. Salah satu gol Defoe dikatakan menyerupai gol Marco Van Basten pada perlawanan UEFA Euro 88’ menentang USSR Soviet Union.

Jermain Defoe | Kredit Foto : Daily Mirror

FAKTA : 13 mata yang dikutip Jermain Defoe minggu ini merupakan mata tertinggi yang pernah dikutip beliau sepanjang musim FPL 2017/2018. Sebelum ini, mata tertinggi Jermain Defoe hanya 7 mata sahaja bagi satu minggu perlawanan.

3. Steve Mounie (Huddersfield) – 13 Mata

Pendatang baru EPL, Huddersfield patut berbangga kerana memiliki penyerang muda berusia 23 tahun dari Benin ini sebagai salah seorang penyerang mereka apabila 2 gol jaringannya berjaya menamatkan rentetan 4 perlawanan kalah berturut-turut mereka di EPL. 2 gol Mounie juga berjaya memberikan Mounie 8 mata seperti Defoe.

Steve Mounie | Kredit Foto : The Sun

FAKTA : Sepanjang minggu perlawanan ke-2 sehingga ke-15, Steve Mounie (37) hanya mengutip 0-2 mata tetapi masih memiliki jumlah mata yang lebih tinggi daripada Giroud (33), Bony (26) dan Benteke (19) yang setara atau lebih mahal harganya.

4. Harry Kane (Tottenham Hotspurs) – 12 Mata

Penjaring terbanyak EPL 2015/2016, Harry Kane yang nampaknya mengalami masalah untuk kekal konsisten menjaringkan gol, berjaya menjaringkan 2 gol dalam perlawanan menentang Stoke City.

Harry Kane | Kredit Foto : The Independent

Seperti Mounie dan Defoe, Kane juga mendapat 8 mata bagi 2 golnya tetapi beza mata bonusnya meletakkan Kane di tangga ke-4 dengan 12 mata.

FAKTA : Kali terakhir Harry Kane meraih jumlah mata mingguan yang melebihi angka 10 adalah pada minggu perlawanan ke-9 apabila menang 4-1 menentang Liverpool dan matanya ketika itu ialah 16 mata.

5. Dwight Gayle (Newcastle United) – 12 Mata

Dwight Gayle hampir menjadi hero buat Newcastle United apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan menentang Leicester City sebelum rakan sepasukannya, Ayoze Perez menjadi penyelamat buat Leicester City menerusi jaringan sendirinya. 1 gol dan 1 bantuan gol peribadinya berjaya mengutip 7 mata buat pengurus FPL yang menggunakan khidmat Dwight Gayle.

Dwight Gayle | Kredit Foto : The Sun

FAKTA : Setiap kali Dwight Gayle mendapat mata, Newcastle tewas atau seri dalam perlawanan tersebut kecuali sekali, iaitu ketika menentang Stoke yang mana menyaksikan Newcastle menang 2-1 dalam perlawanan tersebut.

Baca Juga

Baca Juga