Frank Lampard Percaya ‘England Baru’ Mampu Menangi Piala Dunia

Bekas pemain England dan Chelsea, Frank Lampard melaungkan keyakinan skuad Three Lions mampu mara lebih jauh, sejauh-jauhnya seterusnya menjuarai Piala Dunia 2018 serta edisi yang mendatang.

England membariskan skuad yang lebih muda di Russia dengan Gareth Southgate mengutamakan pemain yang menyerlah bersama kelab dan mengepikan nama besar seperti Jack Wilshere dan Joe Hart. Besar sangat ke nama dua ni?

Lampard dizaman emas England yang dibarisi pemain bintang yang power lagi sedap nyata gagal dalam usaha mencari kejayaan di pentas kejohanan utama dunia.

Lampard percaya skuad England ketika ini mampu mara sehingga ke peringkat akhir dan menjuarai Piala Dunia sejak kali terakhir memenanginya pada tahun 1966.

Percaturan Southgate nyata membuahkan hasil apabila England berjaya mempamerkan persembahan yang meyakinkan untuk memenangi dua perlawanan awal peringkat kumpulan menentang Tunisia dan Panama.

England akan bertemu Belgium dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Jumaat ini bagi menentukan juara kumpulan G. Cabaran sebenar bagi kedua-dua pasukan.

Salah satu faktor yang menyebabkan England bermain baik ketika ini adalah taktikal Southgate yang menerapkan formasi 3-5-2 bagi memastikan England bermain bola sepak dengan lebih cantik dan lancar.

Selepas melihat England mudah menewaskan Panama 6-1, Lampard percaya England memiliki ramuan yang lengkap untuk memenangi Piala Dunia 2018.

Lampard mahu penyokong England jangan terlalu negatif.

“Saya percaya England mampu mara sehingga ke peringkat akhir, saya benar-benar percaya.” Ujar Lampard kepada BBC’s World Cup Daily Podcast.

“Saya tidak tahu mengapa peminat England boleh berfikiran negatif dengan berkata pasukan ini hanya akan mampu mara sehingga ke peringkat suku akhir.”

“Saya percaya pasukan England ini telah menunjukkan potensi sebenar mereka. Dan saya bukan mahu terlalu berasa yakin dengan persembahan England, tetapi lihatlah bakat yang ada dalam skuad ini dan bagaimana mereka bermain sekarang. Kenapa kita hendak menafikan peluang mereka ?”

“Betul, para pemain akan fokus terhadap satu demi satu perlawanan dan itulah yang berlaku dalam mana-mana kejohanan. Itu merupakan perkara yang mereka harus lakukan.”

“Tetapi sebagai peminat England yang menonton dari luar, kita boleh melihat persembahan mereka dan berkata pasukan ini memang ada peluang untuk menjuarai Piala Dunia.”

“Saya percaya salah satu masalah utama England beberapa tahun kebelakangan ini adalah kita menilai semua perkara berdasarkan individu semata-mata. Akhirnya, kita hanya mencipta lebih banyak perdebatan dalam sukan yang memerlukan kerjasama. Kita hanya mahukan yang terbaik untuk pasukan ini.”

Kapten Kane sudah mengumpul 5 gol setakat ini, dengan 3 daripadanya dijaringkan melalui sepakan penalti. Belum campur gol klaim lagi

“Kredit harus diberikan kepada Gareth Southgate kerana berjaya membuatkan skuad England ini bermain dengan lancar. Beliau berjaya menukar filosofi pasukan England dalam masa dua tahun sehingga mereka mampu bermain seperti sekarang.”

“Kita mempunyai begitu banyak pilihan ketika mempunyai pegangan bola kerana kita tidak lagi beraksi dengan sistem 4-4-2 yang mana telah digunakan England buat sekian lama.”

“Sekarang, England hadir ke kejohanan ini dan yakin mereka berupaya menguasai penguasaan bola di bahagian tengah, sesuatu yang penting dalam kejohanan besar sebegini.”

Adakah anda penyokong England di Malaysia yang lebih England dari penyokong England original setuju dengan Lampard?

BACA:  Kane Ikat Kontrak Baru Selama 6 Tahun Untuk Bersama Spurs Sehingga 2024