Fred Anggap Man Utd Melalui Musim Yang Cemerlang Walau Tidak Menang Piala

Pemain midfield Manchester United, Fred menegaskan yang setan merah sebenarnya telah melalui musim yang sangat cemerlang walau tidak memenangi sebarang Piala.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer menamatkan aksi saingan liga di kedudukan kedua dengan 12 mata di belakang seteru sebandar mereka, Manchester City.

Manchester United turut dikejutkan dengan kekalahan kepada Villarreal dalam aksi perlawanan akhir Europa League bulan lalu.

Pengurus dari Norway itu sepanjang kariernya di Old Trafford, beliau telah tewas dalam empat aksi peringkat separuh akhir dan satu di perlawanan akhir.

Fred menegaskan yang United berada di landasan yang betul dengan beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ketika ditemu bual oleh laman rasmi kelab.

“Bagi saya, pasukan telah melakukan yang terbaik dan berkembang dengan cemerlang sepanjang musim.”

“Kami tidak bermula dengan begitu baik dan kami juga tidak melalui pra musim. Kami bermain di peringkat separuh akhir Europa League yang memanjangkan waktu kami pada musim lalu.”

“Kami tidak melalui pra musim dan beri persembahan yang baik dan semakin baik sepanjang musim ini dan mara ke perlawanan akhir.”

“Saya rasa, secara keseluruhannya pasukan telah melalui musim yang hebat, kita mungkin boleh capai sesuatu yang lebih baik, kita mahu menang lebih banyak Piala, tapi saya rasa secara umumnya ia merupakan musim yang cemerlang.”

Pemain kebangsaan Brazil itu beraksi sebanyak 30 perlawanan sepanjang musim ini dan turut berjaya menjaringkan satu gol.

Satu-satunya gol yang berjaya dijaringkan oleh Fred adalah ketika aksi bertemu Tottenham Hotspur pada April lalu.

Beliau kerap diturunkan untuk bergandingan bersama Scott McTominay dan memainkan peranan sebagai double pivot, dan Fred percaya ia telah membantu beliau mengeluarkan segala yang terbaik beliau miliki.

“Ia sangat penting untuk saya memulakan sesebuah perlawanan, berada dalam kesebelasan utama.”

Sambung Fred lagi.

“Saya sudah bermain dan bermula dalam banyak perlawanan musim ini. Saya sangat gembira dengan ini, gembira berada di tahap persembahan terbaik dan melalui musim yang cemerlang bersama rakan sepasukan yang lain.”

“Seperti apa saya katakan, saya mahukan yang lebih lagi, lebih banyak Piala bersama Manchester United, saya mahu capai pelbagai kejayaan di sini dan saya percaya masih banyak akan datang lepas ini.”

Solskjaer sendiri sedar yang skuad kendaliannya perlu diperkuatkan lagi pada musim hadapan seandainya mereka mahu mencabar sebarang kejuaraan.

Bercakap kepada TV2, Solskjaer menyatakan:

“Kami merupakan pasukan kedua terhebat, tapi terlalu jauh di belakang untuk mencabar kejuaraan liga. Kami perlu perkuat skuad sedia ada.”

“Sudah tentu, sesuatu akan berlaku pada jendela perpindahan ini nanti.”

“Dunia telah menjadi sangat berbeza berbanding 15 ke 16 bulan yang lalu, tapi kita perlu melakukan gerakan pada jendela perpindahan ini demi untuk kelangsungan pasukan.”

Piala terakhir yang dimenangi oleh Manchester United adalah pada tahun 2017 yang mana ketika itu Jose Mourinho membantu setan merah menjuarai Carabao Cup dan Europa League di musim yang sama.

Jika musim tanpa Piala dianggap musim yang hebat dan sempurna, Fred perlu segera ubah pemikiran beliau.

Beliau bukan bermain bersama pasukan bawahan yang akan berpuas hati dapat beraksi dalam perlawanan akhir sahaja.

BACA:  Fred Petualang Yang Menjadi Wira dan Nadi Kebangkitan Sensasi Man Utd