Gabriel Jesus Meniru Terjahan Razman Roslan ke Atas Safiq Rahim

Penyandang juara Copa America, Brazil, telah berjaya mempertahankan kedudukan 1-0 ke atas Chile meskipun bermain dengan 10 orang dalam perlawanan peringkat suku akhir kejohanan negara Amerika Selatan tersebut.

Pemain gantian, Lucas Paqueta, muncul wira selepas menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan tersebut, tidak lama sebelum Gabriel Jesus dilayangkan kad merah pada awal separuh masa kedua.

Paqueta melepaskan rembatan ke ruang sempit di sebelah kiri penjaga gol Chile, Claudio Bravo, pada mini ke-46, memberikan penyokong Brazil satu harapan yang kelegaan untuk layak ke separuh akhir ketika itu.

Namun dua minit kemudian, tidak semena-mena Gabriel Jesus melakukan satu aksi ganas bertaraf WWE ke atas pemain Chile Eugenio Mena sekaligus menyebabkannya dilayangkan kad merah.

Dalam kejadian tersebut, Mena sedang menunggu bola jatuh dan Jesus pula berlari sambil melihat bola di atas. Tanpa menyedari Mena di depannya, Jesus menghulurkan kaki untuk menyambut bola, namun kakinya menerjah dada pemain Chile tersebut.

Pengadil tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepada pemain Manchester City tersebut.

Selepas perlawanan tersebut, Neymar dan jurulatih Brazil, Tite mengatakan Jesus tidak perasan keberadaan Mena di situ dan dia sebenarnya ikhlas ingin mendapatkan bola.

Walaupun terpaksa beraksi selama 10 pemain selama lebih 30 minit, Brazil bertahan dengan penuh berdisiplin dan layak ke perlawanan separuh akhir untuk menentang Peru pada 5 Julai nanti.

“Bertahan dengan baik adalah sifat kami,” ujar pertahanan Brazil, Thiago Silva selepas perlawanan.

“Tak termasuk dengan apa yang kami buat hari ini, kami hanya lepaskan sedikit gol sahaja. Walaupun bermain dengan 10 orang, kami masih mampu mencipta peluang.

“Aku rasa bangga dengan pasukan ini di atas semangat melawan yang ditunjukkan.”

Kata-kata Silva itu ada benarnya. Walaupun kekurangan seorang pemain, Brazil masih mampu mengancam pasukan Chile menerusi gerakan-gerakan daripada Neymar dan juga serangan balas.

Pada suatu ketika, Chile hampir pasti mendapat gol penyamaan apabila gol Eduardo Vargas dibatalkan oleh pengadil kerana dia sudah berada dalam posisi ofsaid.

Neymar yang keletihan berkata selepas perlawanan, bermain dengan 10 pemain adalah satu ujian yang bagus untuk pasukan Brazil.

“Kita perlukan ujian dalam setiap perlawanan untuk menjadikan kita lebih kuat, tunjukkan yang kita boleh buat apa sahaja dalam apa jua keadaan,” kata Neymar.

“Kami berdiri bersama. Memang sukar untuk hadap tu.”

Bagi pemain Chile, Arturo Vidal, dia menganggap pasukannya terkeluar daripada saingan Copa America kali ini dengan sedikit bermaruah dan bangga.

“Kami tewas kepada pasukan yang hebat, pasukan pilihan, yang bermain di tanah air sendiri.

“Kalau kami main seperti mana yang kami tunjukkan pada hari ini, dengan tambahan sedikit masa, pasukan ni akan dapat intensiti dia balik.

“Kami harap dapat layak ke Piala Dunia. Akan sukar, tapi kami yakin.”

Ada sumber rapat dengan pasukan Brazil mengatakan bahawa sebenarnya Gabriel Jesus meniru aksi yang ditampilkan oleh Razman Roslan, ketika dia bermain untuk Pahang pada tahun 2014.

Dalam perlawanan menentang JDT, Razman secara tidak sengaja ter-flying kick pemain tengah sensasi, Safiq Rahim. Tidak seperti Jesus yang dilayangkan kad merah, Razman hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama pemain bola sepak menerajang lawan dalam perlawanan besar. Pada tahun 2010, dalam perlawanan akhir antara pasukan Belanda menentang Sepanyol, Nigel de Jong turut melakukan aksi yang sama seperti Jesus ke atas Xabi Alonso. Walaubagaimanapun, De Jong bernasib baik kerana hanya dilayangkan kad kuning.

Perlawanan tersebut kemudiannya dimenangi pasukan Sepanyol selepas Andres Iniesta menjaringkan gol tunggal pada masa tambahan, sekaligus membawa Piala Dunia buat kali pertama ke bumi Sepanyol.

Sumber : stuff

BACA:  Rahsia Disebalik Rambut Si Pekan Ronaldo Di Piala Dunia 2002