Gaji Siling – Kenapa Kita Kena Contohi Liga Australia?

Isu gaji siling menjadi buah cadangan bagi menyelesaikan masalah gaji yang berkurun lama terjadi, ramai berpendapat A-League sebagai contoh terbaik dan kenapa kita kena contohi liga Australia?

Sejak permulaan era professionalisasi bola sepak Malaysia pada tahun 1994, paradigma bola sepak Malaysia masih lagi di takuk sama, sama ada dari segi kewangan, kualiti permainan, kualiti pemain dan paling penting, kualiti pengurusan.

Saban tahun kita akan disajikan dengan berita-berita masalah kewangan persatuan bola sepak di seluruh negara yang menyebabkan pemotongan mata sehingga perkara ini diadu kepada FIFA.

Secara keseluruhannya, tradisi bola sepak kita lebih kepada menyalin cetakan biru liga-liga eropah, terutamanya Liga Perdana Inggeris tentang format, peraturan liga dan juga gaji pemain.

Gaji pemain di Malaysia sama jumlahnya dengan gaji pemain di liga Jepun, walaupun perbezaan kualiti yang sangat ketara bagaikan bumi dan langit, bukan bagaikan aur dengan tebing.

Disebabkan gaji yang terlampau tinggi ini, pasukan terpaksa berbelanja besar untuk menarik minat pemain-pemain yang dirasakan mampu untuk membawa cabaran pasukan.

Akibatnya, banyak pasukannya yang nasibnya ibarat sirih naik junjungan patah, kerana perbelanjaan terbesar sesuatu pasukan ialah gaji pemain.

Ini adalah gergaji bukan gaji.

Jadi, untuk mengatasi masalah yang semakin tidak terkawal ini, salah satu langkah penyelamatan yang boleh diambil ialah dengan pengenalan gaji maksimum dan gaji minimum.

Bayangkan ada pemain yang dibayar RM50,000 hanya untuk bermain tiga minit setiap perlawanan!

Contoh liga yang mengamalkan dasar gaji maksimum ini antaranya Liga Australia (A-League) dan juga Amerika Syarikat (Major League Soccer).

Kenapa gaji maksimum dan minimum atau gaji Siling diwujudkan?

Dalam A-League, sistem gaji maksimum diwujudkan untuk memudahkan setiap pasukan merancang pasukan tahun demi tahun, di samping mengelakkan kewujudan jurang besar antara pendapatan di antara setiap pemain dan dengan praktis ini persaingan liga akan lebih kompetitif dan menarik minat syarikat-syarikat besar untuk turut serta terlibat.

Salary Cap atau gaji siling atau topi gaji ini diwujudkan bukan sebagai manifesto kerana A-League bukanlah satu pilihanraya tetapi satu liga bola sepak yang menjaga serta melindungi daya maju ekonomi A-League.

Untuk melindungi A-League dan kemandirian pasukan dari sebarang permasalahan kewangan maka pihak kelab yang bermain dipastikan bahawa tidak berbelanja melebihi kemampuan kewangan dan terus bersaing di padang.

Contoh gaji minimum (sekadar hiasan)

Kalau tidak dikawal akan jadi macam liga di negara kau la kan? Income RM3 juta musim ni belanja RM2.6 bilion. Musim depan berutang tapi masih berbelanja RM2.6 bilion lagi. Musim seterusnya minta derma.

Kutipan derma dapat RM30 lepas tu bubar pasukan tak pun main liga paling bawah. Tunggu ahli politik jadi hero naikkan pasukan. Kalau menang kepit Piala antara dua telur.

Kalau pasukan bertanding asyik berhutang, tarik diri dan bubar pasukan maka liga itu sendiri akan terjejas dan penaja akan menjauhkan diri. Dasar tak sedar diri. Bak kata perpatah :

“Duduk rumah sewa pakai kereta mewah amboi! Pasukan dah hampir seabad tapi masih sewa stadium amboi!”

Kita mengambil contoh Pulau Pinang suatu ketika dulu sebelum bergelar Penang FC yang mendapat dana RM34 juta namun akhirnya terciduk dan tersingkir dari Liga Super.

Selepas itu Penang mula mengalami masalah kewangan namun Alhamdulillah kini kembali sihat di Liga Super untuk tempoh yang agak singkat.

Perlukah berbelanja sehingga RM34 juta untuk semusim hanya sekadar untuk turun liga? Ketika itu bukan zaman penswastaan sepenuhnya lagi dan duit jatuh dari langit.

Berapakah jumlah gaji siling A-League?

Gaji Siling telah diperkenalkan di A-League sejak musim 2005/06 dan pada ketika itu had yang ditetapkan adalah AUD1.5 juta dan meningkat saban tahun lalu mencecah AUD3.2 juta untuk musim 2019/20.

Jumlah bagi musim 2020/21 demi kemandirian dan kelangsungan hidup pasukan gaji siling telah dilimitkan kepada AUD2.1 juta dan kau pun tahu sebab apa pengurangan agak besar dibuat.

Gaji siling seluruh pasukan yang ditetapkan oleh FFA ialah AUD3.2 juta untuk musim 2019/2020. Jumlah AUD3.2 juta ini adalah perbelanjaan maksimum dalam tempoh setahun yang boleh digunakan oleh kelab untuk membayar gaji kesemua pemain dalam pasukan tersebut.

Gaji Siling A-League

Tiada nilai spesifik untuk gaji maksimum seseorang pemain, asalkan perbelanjaan gaji keseluruhannya tidak melebihi AUD3.2 juta.

Selepas 6 tahun gaji siling diperkenalkan serta nilai A-League makin meningkat, gaji minimum telah diperkenalkan bagi menjaga kebajikan pemain setiap pasukan pada musim 2012/13.

Gaji minimum seluruh pasukan yang ditetapkan ialah 90% daripada jumlah gaji maksimum iaitu AUD2.88 juta. Jadi, perbelanjaan kelab mestilah lebih dari AUD2.88 juta, dan tidak melebihi AUD3.2 juta.

Untuk pemain pula, gaji minimum yang akan diterima pada musim 2019/20 tidak boleh kurang daripada AUD47,792 setahun.

Adakah ini bermaksud gaji semua pemain di liga Australia sama?

Tidak. Bajet AUD3.2 juta tersebut adalah untuk keseluruhan pemain yang didaftarkan. Pasti ada pemain yang mendapat gaji lebih tinggi atau lebih rendah berbanding pemain lain.

Namun tidak boleh kurang dari gaji minimun yang ditetapkan.

Jadi, berapakah jumlah pemain yang didaftarkan?

Dalam satu musim, satu pasukan A-League boleh mendaftar :

  1. 20 orang pemain, minimum.
  2. 23 orang pemain, maksimum.
  3. 2 penjaga gol, minimum.
  4. 3 orang pemain warganegara Australia berusia 20 tahun dan ke bawah.
  5. 5 orang pemain import, maksimum.

Maksudnya, AUD3.2 juta tadi jika dibahagikan kepada 23 orang pemain, maka purata tahunan adalah AUD139,130 dan purata sebulan gaji di Liga Australia ialah AUD11,594.00, atau bersamaan dengan RM36,545.30.

Purata gaji pemain di Malaysia ialah RM50,000.00!! Ye la kot kalau sampai RM30 juta semusim.

Walaubagaimanapun, ada beberapa kategori pemain dan situasi yang dibolehkan untuk tidak termasuk dalam pakej gaji maksimum dan minimum ini dan kategori ini sentiasa berubah mengikut kemampuan kelab.

Kategori ini diperkenalkan bagi menaikkan kualiti dan nilai A-League serta menarik minat pemain terbaik dunia datang beraksi di A-League.

Inilah kebimbabangan yang diutarakan oleh seorang individu ketika ada yang mencadangkan gaji Syiling diperkenalkan di Liga Malaysia.

Antara kategori istimewa ini ialah :

Pemain bintang (Designated player)

Kelab boleh berbelanja gaji tanpa had, untuk DUA pemain, sama ada import atau tempatan untuk didaftarkan sebagai pemain bintang.

Antara bintang import  yang pernah bermain ialah Alessandro Del Piero, Romario dan David Villa. Manakala pemain bintang tempatan yang pernah bermain ialah Harry Kewell, Bret Emerton dan Nurshahrul Idlan Talaha.

Seseorang pemain itu hanya layak didaftarkan sebagai bintang bergantung kepada kelulusan FFA.

Pemain jemputan (Guest player)

Kelab boleh berbelanja tanpa had untuk seorang pemain jemputan, dengan kata lain pemain pinjaman, yang mampu menaikkan reputasi A-League dan mendapat kelulusan FFA. Pemain jemputan ini tidak boleh bermain melebihi 14 perlawanan dalam A-League dalam satu musim.

Pemain jemputan musim 2016/2017

Kelab boleh berbelanja tanpa had untuk seorang pemain jemputan khas untuk musim 2016/2017, dan tiada hak perlawanan maksimum. Pemain jemputan ini mestilah mempunyai nilai kebolehpasaran liga Australia.

Pendaftaran pemain ini semestinya tertakluk kepada kelulusan FFA.

Pemain tempatan (Homegrown player)

Pemain homegrown ialah pemain yang berusia 23 tahun dan ke bawah, dan dihasilkan daripada akademi kelab. Untuk pemain-pemain ini, kelab boleh berbelanja AUD150,000 setahun untuk tiga pemain di bawah kategori ini.

Pemain setia

Jika seseorang pemain itu telah bermain bersama kelab yang sama selama lima tahun berturut-turut dan ke atas, maka pemain tersebut layak untuk mendapat gaji yang tinggi, dan di luar perbelanjaan gaji maksimum pasukan.

Pendatang baru (Mature Age Rookie)

Mature Age Rookie (MAR) merujuk kepada pemain yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang pernah bermain di mana-mana liga di Australia tetapi tidak pernah bermain secara professional dalam tempoh 18 bulan sebelumnya.
Maka pemain ini boleh diberikan gaji yang kurang daripada gaji minimum.

Pemain biasiswa

Setiap kelab boleh mengambil seramai enam orang pemain bawah 20 tahun, berwarganegara Australia dan dibayar mengikut gaji minimum remaja.

Ranking Gaji Maksimum

Jika kelab tidak berbelanja sepenuhnya AUD3.2 juta pada musim lalu, maka bakinya boleh dibawa ketahun hadapan, dengan syarat nilai keseluruhan perbelanjaan tidak boleh lebih 5% daripada gaji maksimum.

Perbelanjaan perpindahan

Kelab boleh berbelanja membantu pemain untuk meyediakan rumah, kereta, tambang keretapi dan lain-lain lagi utnuk pemain yang baru berpindah menyertai kelab mereka dan ini adalah untuk membantu pemain membiasakan diri dengan tempat baru.

Kesimpulan

Apa yang dibebelkan diatas adalah gaji maksimum bagi musim 2019/20 dan bagi musim 2020/21 gaji maksimum pasukan semusim telah diturunkan kepada AUD2.1 juta dan pengurangan ini wajar kerana masalah ekonomi global yang melanda disebabkan wabak.

Pengurangan gaji siling ini sudah tentu memberi impak kepada A-League di mana sudah pasti ramai pemain yang akan keluar untuk beraksi di liga yang menawarkan gaji yang lumayan.

Dengan kualiti liga Malaysia yang dicanang-canang itu pasti akan dapat menarik ramai pemain dari A-League.

A-League tidak mengabaikan kualiti liga dan sentiasa bersedia menarik pemain bintang untuk beraksi walaupun mengenakan gaji siling kepada pasukan dengan mewujudkan kategori istimewa yang mengikut pertimbangan FFA.

A-League bukan sahaja menjaga kantung rakan kongsi untuk terus kembang subur malah tidak menghalang rakan kongsi untuk berbelanja besar selagi mana perbelanjaan itu tidak melampau dan membantu kebolehpasaran liga Australia.

Di Liga Australia tiada istilah kualiti liga menurun dan pemain terbaik tidak mahu datang disebabkan gaji siling sebagaimana di Macedonia.

Rujukan : A-League

Baca Juga

Baca Juga