Gambaran Jelas Yang Zidane Bakal Jadi Pengurus Manchester United

Spekulasi berkait pelantikan Zinedine Zidane sebagai pengurus Manchester United, menggantikan Ole Gunnar Solskjaer terus hangat diperkatakan pada ketika ini.

Terbaru, The Mirror melaporkan yang Zidane sedang belajar bahasa Inggeris dan ia jelas memberi petunjuk yang beliau bakal memulakan kehidupan baru di England.

Bekas pemain dan pengurus Real Madrid itu mempunyai sejarah karier yang sungguh luar biasa menakjubkan sepanjang kariernya.

Beliau berjaya memimpin Los Blancos untuk memenangi tiga gelaran Champions League dan dua gelaran La Liga sepanjang dua kali kariernya sebagai pengurus Real Madrid.

Zidane merupakan pengurus yang dianggap terhangat di pasaran pada ketika ini dengan beliau sendiri baru sahaja menolak tawaran dari Al-Sadd untuk menggantikan Xavi sebagai pengurus kelab.

Mundo Deportivo melaporkan yang Zinedine Zidane sudah ditawarkan jawatan sebagai pengurus di Al-Sadd namun legenda Perancis itu memilih untuk menolak tawaran tersebut.

Pemenang Piala Dunia 1998 itu pada ketika ini merupakan pengurus berstatus free ejen dengan beliau menegaskan ilmu bahasa Inggeris sangat penting untuk kariernya.

Hal ini memberi harapan kepada Manchester United untuk mencuba nasib dalam meneruskan usaha mereka melamar bekas pengurus Real Madrid itu.

Melihat kepada situasi Solskjaer pada ketika ini, tidak akan mengejutkan andai United memecat beliau dalam masa terdekat ini.

Antonio Conte sebelum ini dianggap sebagai calon pengganti Ole Gunnar Solskjaer namun beliau kini sudah menerima tawaran untuk mengendalikan Tottenham Hotspur.

Zidane dan Brendan Rodgers merupakan dua nama yang hangat dikaitkan dengan bakal menjadi pengurus Manchester United selepas ini, namun para peminat lebih memilih legenda Perancis itu untuk dilantik sebagai pengurus baru kelab.

Melihat berita yang Zidane sedang belajar bahasa Inggeris, ditambah pula beliau mahu belajar demi untuk kariernya, maka secara tidak langsung ia menghidupkan harapan peminat untuk melihat beliau datang ke Old Trafford.

Tambahan pula beliau turut menolak tawaran mewah dari gergasi Qatar ketika beliau masih belum ada pekerjaan, secara tidak langsung ia menambah lagi spekulasi yang mengatakan bahawa Zidane sebenarnya turut menunggu tawaran rasmi dari Man Utd.

Namun Ole Gunnar Solskjaer pada ketika ini masih terus diberi kepercayaan untuk mengendalikan Manchester United, dengan beliau diharapkan akan dapat mengutip tiga mata ketika aksi bertemu Watford minggu ini.

Mesyuarat tergempar Man Utd menjelang aksi bertemu Watford

Cristiano Ronaldo dan lima lagi pemain Manchester United telah mengadakan mesyuarat tergempar bersama pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer menjelang pertemuan bertemu Watford hujung minggu ini.

Menjelang lawatan mereka ke Vicarage Road, Ole Gunnar Solskjaer telah mengadakan mesyuarat tergempar bersama enam pemain utamanya, bagi membincangkan tentang krisis yang sedang mereka hadapi.

Ekoran kekalahan memalukan bertemu Liverpool dan Manchester City di Old Trafford, setan merah sepertinya boleh menarik nafas lega kerana mereka selepas ini bakal berdepan dengan pasukan yang lebih bermasalah.

Bertemu skuad yang sedang bergelut dengan masalah prestasi dan sedang berada di zon penyingkiran merupakan satu hal yang sangat diperlukan oleh Ole Gunnar Solskjaer pada ketika ini.

Walau bagaimanapun, ia sebenarnya satu tekanan yang luar biasa tinggi untuk United bawa bersama mereka berkunjung ke Vicarage Road pada hujung minggu ini.

Seandainya mereka gagal mencatatkan kemenangan, para peminat, media dan pelbagai lagi pihak tidak akan teragak-agak membantai skuad setan merah bagai tiada hari esok.

Maruah Ole Gunnar Solskjaer dan kepimpinan Cristiano Ronaldo juga akan dipijak-pijak jika mereka mencatatkan keputusan seri atau lebih memalukan lagi tewas kepada pasukan seperti Watford.

Dek kerana hal ini menjadi sesuatu yang mengganggu pemikiran, segelintir pemain senior kelab berkumpul dan mengadakan mesyuarat tergempar, untuk membincangkan bagaimana mereka mahu mengelak dari dimalukan.

Setan merah hanya memenangi satu sahaja dari enam perlawanan terakhir mereka, dan mereka juga hanya berharap kepada gol minit akhir Ronaldo untuk mengelak dari keciciran mata dalam dua aksi bertemu Atalanta sebelum ini, dalam saingan Champions League.

Terlalu berharap kepada gol jaringan dari pemain berusia 36 tahun itu juga bukanlah satu hal yang baik untuk Manchester United pada ketika ini.

Ia merupakan perkara yang tidak mahu dilihat oleh pimpinan kelab, dan para penyokong terutama sekali, kerana mereka memiliki ramai lagi pemain atau penjaring gol berkelas dunia.

Bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu telah berjaya menjaringkan sembilan gol dari semua pertandingan sepanjang musim ini, selepas beliau meninggalkan saingan Serie A pada musim panas lalu.

Walaupun kepulangan semula Ronaldo dianggap berjaya untuk beliau secara peribadi, namun ia tidak untuk sepasukan kerana United dilihat bergelut dengan masalah prestasi.

Oleh yang demikian, Ronaldo dilihat sangat terdesak untuk membantu skuadnya yang sedang bermasalah pada ketika ini, untuk kembali menemui rentak kemenangan.

Setan merah jelas sekali sudah hampir terlepas kesempatan untuk mencabar kejuaraan dalam saingan Premier League, namun mereka di landasan yang tepat untuk mencabar kejuaraan Premier League.

Menurut sumber laporan dari Daily Mail, mesyuarat tergempar tersebut telah dilakukan oleh Ole Gunnar Solskjaer sebaik kesemua pemain skuadnya tiba dari tugasan antarabangsa.

Bersama beliau, Ronaldo, ketua pasukan Harry Maguire, Bruno Fernandes, Nemanja Matic, Luke Shaw dan Victor Lindelof antara mereka yang terlibat dengan mesyuarat tersebut.

Dalam mesyuarat tersebut, Solskjaer dilaporkan bertanya kepada semua pemain senior tentang bagaimana mereka rasakan berkait situasi kelab pada ketika ini.

Beliau turut meminta cadangan dari para pemain, tentang bagaimana skuad setan merah yang sedang bergelut dengan masalah prestasi itu mahu kembali bangkit.

Solskjaer juga turut mahu mendapatkan reaksi dari para pemain berkait sistem back-three yang beliau mula pakai sejak beberapa perlawanan terakhir United sebelum ini.

Taktikal menggunakan back-three sepertinya berjalan dengan sangat baik ketika aksi bertemu Tottenham Hotspur sebelum ini, namun ia sepertinya gagal ketika berdepan skuad seperti Man City.

Hasil dari mesyuarat masih belum diketahui dan ia hanya boleh dilihat dari apa yang akan dipersembahkan oleh skuad Manchester United ketika aksi bertemu Watford hujung minggu ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  5 Calon Pengurus Paling Sesuai Jika Zidane Dipecat Real Madrid