Gara-Gara Memandu Selepas Meminum Arak, Drinkwater Bakal Berdepan Hukuman

Pemain tengah Cheslea, Danny Drinkwater bakal berdepan dakwaan polis selepas ditahan ketika memandu dalam keadaan mabuk dalam insiden yang berlaku awal pagi tadi di Cheshire.

Drinkwater yang pernah mewakili England sebanyak 3 kali, ditahan polis namun dibebaskan tidak lama kemudian dengan ikat jamin dan perlu menghadiri pendengaran kes tersebutdi Mahkamah Majistret Stockport pada 13 Mei nanti.

Drinkwater bersalah kerana memandu selepas minum. Memang kena dengan nama

Satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh Polis Cheshire bagi mengesahkan penangkapan Drinkwater atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

“Seorang individu berusia 29 tahun yang berasal dari Nether Alderley telah didakwa atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dalam satu insiden yang berlaku di Cheshire.”

“Danny Drinkwater telah ditahan sejurus selepas beliau terbabit dalam kemalangan yang melibatkan satu kenderaan di Ashley Road berdekatan dengan Mere pada pukul 12.30 a.m, 8 April hari Isnin.”

“Beliau telah dibebaskan menerusi ikat jamin tanpa syarat dan perlu hadir ke Mahkamah Majistret Stockport pada hari Isnin, 13 Mei nanti.”

Drinkwater mencium trofi yang belum pernah dicium mana-mana pemain Liverpool

Menurut laporan The Sun, Drinkwater berada dalam keadaan mabuk selepas menghadiri satu parti pada tengah malam hari Ahad.

Jika didapati bersalah, Drinkwater mungkin boleh dikenakan hukuman penjara 6 bulan maksimum dan lesen memandunya digantung.

Menurut The Sun lagi, ini bukanlah kali pertama Drinkwater berhibur sehingga lewat malam. Pada hari Jumaat lalu, Drinkwater dapat dilihat meninggalkan sebuah kelab malam VIP di London pada pukul 1.40 pagi sambil diiringi dua wanita, masing-masing berambut blonde dan brunette.

Beberapa jam kemudian, beliau turun menjalani latihan bersama skuad utama Chelsea.

Drinkwater menyertai Chelsea pada tahun 2016 selepas membantu Leicester memenangi Liga Perdana Inggeris. Musim ini menyaksikan beliau bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama The Blues di bawah Maurizio Sarri dan sudah hampir setahun tidak beraksi untuk pasukan tersebut.

Sejak menyertai Chelsea, karier Drinkwater semakin suram dan sendu

Kali terakhir beliau beraksi untuk Chelsea adalah ketika perlawanan Community Shield, dimana Chelsea tumpas 2-0 di tangan Manchester City.

Drinkwater merupakan produk akademi Manchester United dan berpindah ke Leicester City pada Januari 2012. Beliau melalui zaman kegemilangannya ketika bermain di bawah Claudio Ranieri dimana mereka berjaya mencatat kejayaan luar biasa memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/2016.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh pihak pemain mahupon Chelsea.

BACA:  Sarri Mengaku Tidak Tahu Menahu Mengenai Perpindahan Pulisic