Gara-Gara Ronaldo, Coca Cola Rugi RM16.5 Billion

Cristiano Ronaldo mencipta sensasi di internet pada hari Isnin selepas tindakannya yang melibatkan dua botol minuman berjenama Coca Cola ketika sidang media, tular di laman sosial.

Ronaldo yang bercakap menjelang perlawanan pertama Portugal dalam kempen Euro 2020 menentang Hungary, terpandang dua botol minuman bikarbonat tersebut sebaik sahaja duduk di kerusi di hadapan wartawan.

Dia kemudiannya mengalihkan dua botol minuman tersebut ke tepi dan mengeluarkan sebotol air mineral sambil berkata, “Agua!”.

Agua bermaksud air, dalam bahasa Portugis.

Sebelum ini juga, Ronaldo agak terbuka dalam bilamana berbicara tentang minuman manis.

Pemain berusia 36 tahun itu memang dikenali sebagai seorang yang begitu menjaga badannya dan hasilnya dapat dilihat pada potongan badannya yang sungguh kemas dan padat.

Ronaldo juga tidak suka anak sulungnya meminum minuman seperti Coca Cola.

“Aku tegas dengan dia kadang-kadang sebab dia minum Coca Cola dan Fanta kadang-kadang, dan aku bengang dengan dia,” akui Ronaldo.

“Aku marah dia bila dia makan snek dan makanan ringan, dia tahu aku tak suka benda tu.”

Rentetan daripada tindakan Ronaldo ketika sidang media tersebut, Coca-Cola mengalami kejutan di bursa saham.

Media Sepanyol, Marca, telah melaporkan dan membandingkan nilai saham syarikat minuman gergasi dunia tersebut sebelum dan selepas tindakan Ronaldo tersebut, dan akibatnya, nilai saham Coca Cola susut berbillion ringgit!

Menurut Marca, nilai pasaran Coca Cola telah menjunam daripada $242 billion kepada $238 billion – kejatuhan sebanyak 1.6% yang sangat ganas bagi syarikat tersebut.

Hanya kerana satu detik tindakan Ronaldo, syarikat gergasi mampu hilang $4 billion (RM16.5 billion) macam tu je. Gila!

Saham Coca Cola ditutup pada nilai $56.10 ketika pasaran saham Eropah dibuka pada 3 petang waktu tempatan.

Tetapi 30 minit kemudian selepas Ronaldo dan Fernando Santos menghadiri sidang media tersebut di bilik media Stadium Ferenc Puskas di Budapest, saham dilaporkan menjunam di bawah paras $55.22 setiap saham.

Adakah Coca Cola atau UEFA mengambil tindakan terhadap Ronaldo?

Setakat ini masih tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat minuman terkenal di seluruh dunia tersebut.

Manakala dari pihak UEFA pula, mereka juga masih mengambil pendekatan mendiamkan diri walaupun satu laporan dari akhbar British, Daily Mail, mengatakan bahawa kedua-dua pihak, UEFA dan Coca Cola sangat tidak gembira dengan apa yang berlaku.

Ada kemungkinan bahawa syarikat tersebut mengambil tindakan undang-undang ke atas Ronaldo kerana telah menjatuhkan kredibiliti jenama minuman yang dikeluarkan mereka.

Untuk makluman, Coca Cola sudah menjadi rakan penaja dalam Kejohanan Eropah sejak tahun 1988 lagi, dan sebagai seorang yang mempunyai pengaruh yang sangat besar di atas talian, tindakan Ronaldo itu sememangnya memberikan kesan negatif kepada jenama tersebut.

Dalam perlawanan Portugal menentang Hungary, Ronaldo telah berjaya menjaringkan dua gol, kedua-duanya lewat di hujung permainan.

Perlawanan tersebut menyaksikan Hungary bermain dengan begitu berdisiplin dan mengunci segenap ruang dan peluang untuk pemain Portugal membocori gawang mereka.

Namun pada minit ke-84, gawang Hungary akhirnya bocor juga selepas rembatan Rapahel Guerreiro tertampan kaki pertahanan lalu bola bergolek masuk dan hanya mampu dipandang oleh penjaga gol.

Tiga minit kemudian, Portugal dihadiahkan sepakan penalti dan Ronaldo dengan tenang menolak bola ke sebelah kiri gol, sekaligus menjadikannya pemain pertama yang menjaringkan gol dalam lima edisi Euro, selepas melakukannya pada tahun 2004, 2008, 2012 dan 2016.

Ketika perlawanan memasuki minit kedua masa kecederaan, Ronaldo menambah derita Hungary di depan penyokong mereka sendiri dalam stadium yang penuh, apabila dengan mudah menolak bola ke gol yang terbuka selepas menggelecek penjaga gol Hungary.

Dengan ini, Ronaldo kini memegang rekod sebagai penjaring terbanyak dalam Kejohanan Eropah dengan 11 gol, mengatasi rekod yang dipegang Michel Platini selama berpuluh tahun.

Berita dipetik dari : GMS

BACA:  Kerana Temuramahnya Bersama Piers Morgan Ronaldo Bakal Hilang RM81 Juta