Gareth Bale Beri Bayangan Bakal Berpindah Selepas Diketepikan Menentang Liverpool

Penyerang Real Madrid, Gareth Bale memberi bayangan masa depannya mungkin bukan bersama Real Madrid lagi selepas diketepikan dari berada dalam kesebelasan utama bagi perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool awal pagi tadi.

Dalam aksi final tersebut pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane memilih untuk meletakkan Isco bermain bersama Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema di bahagian serangan dan mengenepikan Bale walaupun beliau cergas untuk diturunkan bermain.

Supersub Bale bantu Real Madrid menangi UCL buat kali ke-3 berturut-turut

Dalam perlawanan yang bakal diingati kerana dua kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Liverpool Loris Karius, impak Bale juga tidak boleh dinafikan dalam membantu Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut dan kali ke-13 secara keseluruhan.

Bale masuk pada minit ke-61 menggantikan tempat Isco yang gagal menyerlah ketika perlawanan terikat 1-1. Pemain antarabangsa Wales itu hanya mengambil masa selama 3 minit sahaja untuk meletakkan kembali Los Blancos di hadapan menerusi sepakan gunting yang sangat cantik.

Liverpool yang kehilangan khidmat Mohamed Salah pada babak pertama dilihat bergelut untuk mencari gol penyamaan dan Bale mengambil kesempatan tersebut dengan menjaringkan gol ke-3 Real Madrid pada minit ke-83 menerusi sepakan jarak jauh yang gagal ditampan dengan baik oleh Karius.

Gol terbaik sepanjang zaman ?

Riak wajah Bale jelas menggambarkan beliau berasa sangat puas selepas menjaringkan dua gol walaupun bermula dari bangku simpanan. Bekas pemain Tottenham Hotspurs dan Southampton ini dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan berikutan impak yang dihasilkannya dalam perlawanan tersebut.

Ketika ditemu ramah selepas tamat perlawanan, Bale mengakui beliau tidak gembira diletakkan di bangku simpanan dan akan berbincang dengan ejen beliau, Jonathan Barnett dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Saya perlu bermain setiap minggu. Ia merupakan perkara yang ingin saya lakukan tetapi musim ini ia tidak berlaku kerana beberapa sebab. Jika perkara ini tidak dapat diselesaikan, saya akan duduk berbincang dengan ejen saya dan menilai pilihan yang ada.”

Spurs punyai ‘pilihan pertama’ untuk membeli Bale sekiranya pemain tersebut ingin meninggalkan Real Madrid

“Saya mempunyai banyak masa untuk memikirkan mengenai masa depan saya dan kita akan lihat apa yang akan berlaku tidak lama lagi.”

“Buat masa sekarang, saya tidak tahu dimana saya akan berada musim hadapan. Saya akan duduk berbincang dengan ejen saya terlebih dahulu. Mungkin saya akan kekal di Real Madrid, mungkin juga tidak. Kami akan berbincang mengenai masa depan saya musim panas nanti dan saya berharap isu ini dapat diselesaikan.”

Bale menyertai Real Madrid dari Tottenham Hotspurs pada tahun 2013 dalam perjanjian rekod dunia ketika itu yang dianggarkan berjumlah £86juta.

Walau bagaimanapun, menurut satu sumber, Spurs meletakkan pilihan dalam kontrak Bale untuk membeli kembali pemain tersebut sekiranya ada kelab Liga Perdana Inggeris membuat tawaran terhadap beliau.

Jose Mourinho dilaporkan berminat untuk membawa masuk Gareth Bale ke Manchester United musim panas nanti disamping Bayern Munich.

BACA:  Jurgen Klopp Mengaku Terpaksa Menjilat Ludah Sendiri Dan Memberi Sebabnya