Garnacho Belanja Pasukan Sebagai Hukuman – Reaksi Amorim

Garnacho Akan Belanja Makan Malam Sebagai Tanda Maaf –  Ruben Amorim

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mendedahkan bahawa Alejandro Garnacho akan membayar makan malam untuk pasukan sebagai tanda permohonan maaf selepas reaksinya ketika dikeluarkan dalam perlawanan menentang Ipswich Town.

Garnacho dikeluarkan selepas Patrick Dorgu dilayangkan kad merah sebelum separuh masa pertama dalam kemenangan 3-2 United pada Rabu lepas. Amorim terpaksa mengorbankan pemain sayap Argentina itu bagi membawa masuk Noussair Mazraoui untuk mengekalkan sistem pertahanan berlima.

Selepas dikeluarkan, Garnacho berjalan di tepi padang dan terus masuk ke terowong menuju bilik persalianan di Old Trafford, bukannya duduk di bangku simpanan. Pemain berusia 20 tahun itu kemudian memuat naik gambar dirinya sedang berjalan ke arah terowong dalam Instagram Story pada malam tersebut.

Amorim berkata selepas perlawanan bahawa beliau akan bercakap dengan Garnacho mengenai tindakannya. Beliau juga menjelaskan bahawa keputusan menggantikannya dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap situasi bola mati.

Pada hari Jumaat, menjelang perlawanan Piala FA menentang Fulham, Amorim mengesahkan bahawa beliau telah berbincang dengan Garnacho untuk memahami situasi sebenar.

“Dia datang kepada saya ke pejabat keesokan harinya,” kata Amorim. “Saya menyiasat dan mendapati dia pergi ke bilik persalinan, menukar pakaian kerana basah, kemudian menonton perlawanan tetapi bukan dari bangku simpanan. Selepas tamat perlawanan, dia berada di sana sebelum pulang ke rumah. Jadi, tiada isu besar di sini.”

Menurut Amorim, Garnacho masih muda dan sedang belajar. Namun, beliau menekankan bahawa setiap tindakan kecil mempunyai kesan besar di kelab seperti Manchester United.

“Saya memberitahunya bahawa di Manchester United, setiap perkara adalah penting dan persepsi orang terhadap sesuatu tindakan juga sangat penting. Jadi, sebagai hukuman kecil dia akan belanja makan malam untuk seluruh pasukan,” jelas Amorim.

Ketika ditanya sama ada Garnacho memahami mesej tersebut, Amorim menjawab,

“Saya rasa dia faham. Tetapi seperti yang saya katakan, pemain membaca semua perkara termasuk hal kecil. Saya tahu mereka kecewa apabila dikeluarkan lebih-lebih lagi jika mereka sedang bermain dengan baik. Tetapi mereka perlu belajar menghadapinya dan tugas saya adalah membantu mereka menjadi pemain bola sepak yang lebih baik.”

Kemenangan ke atas Ipswich membantu United naik ke tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris. Selepas bertemu Fulham, mereka akan berkunjung ke Real Sociedad pada hari Khamis ini untuk aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Europa sebelum menghadapi Arsenal di Old Trafford pada 9 Mac.

BACA:  Manchester City Tumpas di City Ground, Hudson-Odoi Wira Forest