Gary Cahill Mungkin Tinggalkan Chelsea Januari Nanti Kerana Kurang Bermain

Pemain pertahanan Chelsea, Gary Cahill berkata beliau mungkin akan meninggalkan Chelsea pada jendela perpindahan Januari nanti kerana sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama sejak kebelakangan ini.

Pemain pertahanan berusia 32 tahun itu berpindah ke Stamford Bridge dari Bolton Wanderers pada tahun 2012. Cahill dianggap sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik di Liga Perdana Inggeris sejak sekian lama.

Cahill mengakui sukar untuk menerima hakikat yang beliau bukan lagi pemain utama skuad Chelsea

Namun demikian, sejak Maurizio Sarri mengambil alih teraju pasukan, Cahill dilihat sering memanaskan bangku simpanan sahaja dan masih gagal melakukan sebarang penampilan dalam kesebelasan utama Chelsea setakat musim ini.

Cahill merupakan sebahagian daripada anggota skuad England yang beraksi di Piala Dunia 2018 namun bukan berada dalam kesebelasan utama. Beliau turut mengumumkan persaraan dari bola sepak antarabangsa beberapa minggu yang lalu untuk memberi ruang kepada pemain yang lebih muda untuk mewakili England.

Walaupun tumpuan Cahill kini seratus peratus terhadap kariernya bersama Chelsea, ia masih gagal untuk membantu beliau memeanangi hati Sarri. Melihat kepada situasi semasa yang dihadapinya, Cahill mengakui beliau mungkin terpaksa mencari kelab baru pada Januari nanti kerana peluang untuk beliau beraksi di Stamford Bridge musim ini dilihat agak sukar dengan Sarri lebih gemar menggunakan gandingan David Luiz dan Antonio Rudiger.

“Saya tidak mahu terburu-buru tetapi jika dilihat pada keadaan semasa, saya mungkin akan meninggalkan kelab ini [Chelsea] pada jendela perpindahan Januari nanti.” Ujar Cahill ketika ditemu ramah The Daily Mirror.

Cahill bermain untuk England ketika menentang Belgium di Piala Dunia yang lalu

“Pertama sekali, perkara paling penting adalah Chelsea bermain dengan sangat baik ketika ini. Selepas menjadi pemain utama Chelsea sejak 6, 7 tahun yang lepas, saya mengakui sukar menerima situasi sukar yang saya harungi sekarang.”

Cahill merupakan pemain pertahanan tengah pilihan ke-4 Chelsea ketika ini dibelakang David Luiz, Antonio Rudiger dan Andreas Christensen. Cahill mengakui kadang kala anda perlu mengambil keputusan yang sukar supaya karier bola sepak anda mampu berkembang.

Namun begitu, Cahill berkata beliau masih lagi belum berbincang dengan Sarri mengenai idea untuk meninggalkan Chelsea dan sedang menunggu sehingga Sarri berasa ‘selesa’ untuk meletakkan beliau dalam kesebelasan utama skuad.

Luiz kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama Chelsea selepas dibekukan Antonio Conte musim lalu

“Untuk bermain di bawah pengurus baru dan sistem pertahanan dan idea yang baru, saya yakin Sarri masih lagi belum selesa untuk meletakkan saya dalam kesebelasan utama pasukan.”

“Sebab itulah saya masih belum berjumpa Sarri lagi untuk berbincang mengenai perkara ini. Apabila pasukan sedang memenangi perlawanan, anda perlu duduk diam dan belajar untuk menerima hakikat.”

“Tetapi bagi saya, agak sukar untuk melakukannya sepanjang musim.”

BACA:  Chelsea Tidak Dapat Terima Kenyataan Selepas Hazard Gagal Tersenarai Dalam Pasukan Terbaik