Ketua Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso mengesahkan pemain yang menjadi sasaran Chelsea, Gonzalo Higuain ingin meninggalkan kelab tersebut.
Higuain menyertai Milan secara pinjaman pada jendela perpindahan musim panas lalu selepas ketibaan Cristiano Ronaldo dengan Milan mempunyai pilihan untuk menjadikan perpindahan tersebut kekal pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, Higuain gagal mempamerkan persembahan seperti yang dikehendaki peminat Milan dan pemain antarabangsa Argentina itu hanya mampu menjaringkan 8 gol sahaja dalam semua pertandingan setakat ini.
“Apabila pemain sudah membuat keputusan, amat susah untuk kami mengubahnya. Saya mempunyai hubungan dengan Higuain yang berlandaskan kejujuran. Jika kami ingin mengatakan sesuatu, kami bercakap depan-depan.”
BREAKING: @acmilan head coach Gennaro Gattuso confirms @ChelseaFC target @G_Higuain has decided to leave club. #SSN pic.twitter.com/PQgiAQKubm
— Sky Sports News (@SkySportsNews) January 12, 2019
“Buat masa sekarang, Higuain masih lagi pemain kami dan kami berpegang teguh terhadapnya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku nanti.”
Bekas pemain Real Madrid itu dilaporkan ingin kembali bersatu dengan pengurusnya di Napoli dahulu, Maurizio Sarri yang kini menjadi ketua jurulatih di Chelsea.
Higuain mengharungi musim terbaik sepanjang kariernya ketika bermain di bawah Sarri dimana beliau berjaya memecahkan rekod Serie A dengan menjaringkan 36 gol pada musim 2016/2016.
“Saya sudah bercakap dengan Higuain panjang lebar tetapi agak sukar untuk memberi nasihat kepadanya kerana karier seorang pemain hanya bertahan selama 13-14 tahun.” Tambah Gattuso lagi.
“Ia keputusan Higuain, bukan saya. Perkara paling penting adalah kami berbincang seperti anak jantan, memandang mata ke mata dan bercakap perkara yang sebenar.”
“Saya masih lagi tidak faham mengapa Higuain berasa kurang gembira kerana dari apa yang saya lihat, beliau kelihatan gembira dan bercampur dengan baik dalam bilik persalinan.”
“Kita akan lihat apa yang akan berlaku nanti. Jika segala-galanya terletak di bahu saya, saya akan simpan Higuain di rumah saya dan menghidangkan makan malam kepada beliau.”
Sekiranya Chelsea ingin mendapatkan khidmat Higuain secara tetap, duit berjumlah £32 juta mungkin perlu dibayar kepada Juventus bagi seorang pemain yang sudah berusia 31 tahun.
Dalam perlawanan terakhir Milan, Higuain berjaya membantu pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas Sampdoria. Namun begitu, impak Higuain tidak berapa kelihatan dalam perlawanan tersebut yang mana mungkin menjadi perlawanan terakhirnya sebagai pemain ‘The Rossoneri’.