[GEMPAR] Jose Mourinho Dipecat Manchester United

Jose Mourinho telah dipecat Manchester United berikutan kekalahan pasukan tersebut di tangan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.

Pemecatan ini sekali gus menamatkan perjalanan Mourinho di Old Trafford yang bermula pada Mei 2016 apabila beliau dinamakan sebagai pengganti kepada Louis Van Gaal yang juga dipecat walaupun berjaya membantu Red Devils memenangi Piala FA pada musim sebelumnya.

Sumpahan musim ke-3 Mourinho kembali berulang dengan Manchester United

Kekalahan di tangan Liverpool akhirnya tidak dapat lagi membendung kemarahan pihak lembaga pengarah terhadap Mourinho yang didakwa gagal mempamerkan permainan menyerang sinonim dengan pasukan tersebut sejak sekian lama.

Sepanjang dua tahun lebih bersama United, Mourinho berjaya membimbing pasukan tersebut memenangi Piala Liga dan Europa League. Kedua-dua trofi tersebut dimenangi dalam musim pertamanya manakala musim lalu menyaksikan United gagal memenangi sebarang trofi tetapi berjaya menamatkan musim di tempat ke-2.

Walau bagaimanapun, langit tidak selalu cerah buat Mourinho. Musim ini menyaksikan pelbagai masalah melanda skuad Setan Merah dan menyebabkan mereka mencatatkan permulaan musim paling buruk sejak 28 tahun yang lalu.

United kini berada di tangga ke-6 dalam Liga Perdana Inggeris, 19 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool yang menewaskan mereka 3-1 pada hujung minggu lalu.

Mereka juga 11 mata ditinggalkan penghuni tangga ke-4, Chelsea dan lebih dekat dengan zon relegasi berbanding kedudukan teratas dalam liga.

Antara konflik yang melanda United musim ini adalah permasalahan yang wujud di antara Paul Pogba dan pengurus berasal dari Portugal itu. Kemuncaknya adalah ketika menentang Liverpool dimana Mourinho langsung tidak memasukkan Pogba walaupun mereka bergelut untuk melakukan serangan.

We want you to stay ! We want you stay

Manchester United telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi untuk mengucapkan terima kasih kepada Mourinho atas jasa beliau selama ini dan mengesahkan Michael Carrick akan menjadi pengurus sementara buat masa sekarang sehingga mereka melantik pengurus yang baru.

“Pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Jose atas segala kerja beliau selama menguruskan Manchester United dan semoga beliau memperoleh kejayaan pada masa hadapan.”

“Seorang pengurus sementara akan dilantik sehingga penghujung musim ini, sementara pihak kelab melakukan proses recruitment yang lebih terperinci bagi mencari pengurus sepenuh masa yang baru.”

Menurut sumber Sky Sports, pembantu Mourinho, Michael Carrick akan menjalankan tugas menguruskan pasukan buat sementara waktu sehingga pihak kelab melantik pengurus sementara. Pengurus sementara dijangkan akan dilantik dalam masa 48 jam yang akan datang.

Awal tahun ini menyaksikan Mourinho menandatangani kontrak baru selama dua tahun sehingga 2020 tetapi masalah bermula apabila beliau membuat kritikan terbuka kepada pihak pengurusan kelab kerana tidak menyokongnya untuk membeli pemain ketika tirai perpindahan musim panas lalu.

BACA:  Mourinho: Tiada Pemain Lebih Besar Daripada Kelab