Gerard Pique Umum Tinggalkan Barcelona Dan Bersara: “Takkan Ada Kelab Lain”

Gerard Pique tampil mengumumkan persaraannya dengan satu video khas yang dimuatnaiknya.

Pique yang sudah kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama Barca, sebelum ini sudah diberitahu bahawa peranannya sebagai pemain musim ini akan mengecil.

Barca tidak dapat melepaskan pemain itu sebelum ini kerana masih ada tunggakan gaji yang besar dengan kelab itu.

Kecuali Pique setuju menamatkan kontraknya atas persetujuan bersama dan setuju untuk menerima ansuran bayaran untuk baki gajinya daripada beberapa musim lalu.

Barcelona pastinya kesukaran menjual Gerard Pique kerana gajinya yang tinggi ditambah dengan usianya yang sudah sangat lanjut.

Walaupun dikaitkan dengan beberapa pasukan di Sepanyol, Pique akhirnya memutuskan untuk meninggalkan Barcelona dan bersara.

Pique juga setuju untuk melupakan baki kontraknya pada musim ini yang akan berakhir pada Jun 2023.

Ini bermakna, Barca tidak perlu membayar baki kontraknya musim ini, cuma perlu membayar ansuran untuk tunggakan gajinya sebelum ini.

Pique mengumumkan persaraannya menerusi video menyentuh hati di media sosial, di mana dia berkata perlawanan Sabtu ini akan menjadi perlawanan terakhirnya di Camp Nou.

Dalam video yang disiarkan selama lebih dua minit itu, Pique mengimbas kembali masanya bersama kelab yang disertainya pada 2008 dari Manchester United.

Pemain berusia 35 tahun itu telah membuat lebih 600 penampilan untuk kelab itu.

Dan dia telah menjadi salah seorang pemain yang banyak menyokong kelab sepanjang perkhidmatannya yang lama. Dia sanggup dikurangkan gaji beberapa kali dan ditangguhkan bayaran gajinya ketika kelab berdepan krisis kewangan.

Bersama kelab gergasi Sepanyol itu, Pique telah memenangi segala galanya. Dia memiliki koleksi 31 trofi termasuk empat Liga Juara-Juara Eropah dan lapan gelaran La Liga.

Pada penghujung video penuh emosi itu, Pique berkata: “Saya selalu mengatakan bahawa selepas Barcelona tidak akan ada pasukan lain dan begitulah keadaannya.”

Pique berharap peminat akan hadir ke Nou Camp sempena hari perpisahan dengannya.

Pique berkata: “Sabtu ini akan menjadi perlawanan terakhir saya di Camp Nou.”

“Saya akan menjadi peminat setia. Saya akan menyokong pasukan. Saya akan menyerahkan cinta saya kepada Barca kepada anak-anak saya seperti keluarga saya lakukan dengan saya.

“Dan awak semua kenal saya. Cepat atau lambat. Saya akan kembali.”

“Saya akan jumpa awak di Camp Nou. Hidup Barca. Selamanya.”

Pique memulakan kerjaya bola sepaknya di akademi ikonik La Masia Barcelona. Dia kemudian dipancing oleh gergasi Inggeris, Manchester United pada usia muda.

Namun Man United memutuskan untuk menjual semula Pique ke Barca selepas pemain itu tidak mendapat jaminan akan menjadi pemain utama Sir Alex Ferguson.

Kembali ke Barcelona, dia menjadi bek tengah yang luar biasa. Dan seringkali berada di kalangan antara bek tengah terbaik dunia pada era kemuncaknya.

Dalam video tanda perpisahannya, Pique turut memuatkan klip ketika dia masih muda di akademi Barca.

Selain menjadi legenda Barcelona, Pique juga menjadi antara pemain penting dalam sejarah Sepanyol ketika negara itu mendominasi bola sepak antarabangsa buat seketika ketika dia memenangi Kejohanan Eropah 2012 dan Piala Dunia 2010.

Secara keseluruhannya, Pique akan bersara dengan rekod mengagumkan berbanding dengan ramai pemain lain – dengan koleksi 37 trofi untuk kelab dan negaranya.

Selain bergelar pemain bola sepak, Pique juga usahawan yang sangat berjaya. Dia melabur dalam beberapa bidang perniagaan termasuk hartanah untuk projek mewah.

Jadi, Pique nampaknya akan terus sibuk dengan perniagannya selepas bersara.

BACA:  Nacho: Setiap Sentuhan Ronaldo Bertukar Menjadi Gol