Giorgi Mamardashvili, Perjalanan Menuju ke Puncak
Giorgi Mamardashvili bukan seorang penjaga gol yang kurang keyakinan diri. Ketika dia menghadiri majlis anugerah Ballon d’Or tahun lalu, dia percaya bahawa suatu hari nanti dia akan memenangi anugerah tersebut. Sejak 1963, tiada penjaga gol yang memenangi Ballon d’Or selepas Lev Yashin. Yasmin merupakan penjaga gol legenda Kesatuan Soviet dan dia masih menjadi penanda aras dalam dunia bola sepak.
Mamardashvili dibeli oleh Liverpool dengan harga £29 juta pada musim panas lalu dipinjamkan semula ke Valencia. Dia mahu mengubah keadaan itu. Pemain berusia 24 tahun itu beraksi dengan kelab yang bergelut di zon penyingkiran La Liga namun dia tetap menyimpan impian besar.
Perpindahan Besar Tanpa Jaminan Tempat Utama
Liverpool tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan Mamardashvili terutama selepas Valencia mengalami masalah kewangan. Kelab Inggeris itu menyelesaikan perpindahan bernilai £25 juta serta tambahan £4 juta dalam bentuk bonus. Pemain itu menarik perhatian ramai selepas beraksi cemerlang di Euro 2024 bersama pasukan kebangsaan Georgia.
Walaupun terdapat perbincangan dengan beberapa kelab seperti Bournemouth mengenai kemungkinan peminjaman, keputusan bersama dibuat agar dia kekal di Valencia untuk tempoh setahun lagi. Keadaan itu agak luar biasa kerana kebiasaannya penjaga gol yang berpindah dengan harga tinggi akan terus bersama dengan kelab baharu mereka.
Di Valencia, Mamardashvili menjadi salah satu pemain yang tidak dipersalahkan atas prestasi buruk pasukan. Walaupun Valencia telah bolow 44 gol musim ini (kedua terbanyak dalam liga) punca utama bukanlah dirinya tetapi kelemahan benteng pertahanan di pasukannya. Pada musim lepas, walaupun Valencia hanya menamatkan saingan di tempat ke-9, Mamardashvili berada di kedudukan ke-4 dalam senarai clean sheet terbanyak di La Liga.
Fokus Utama, Membantu Valencia Kekal di La Liga
Buat masa ini, Mamardashvili mahu membantu Valencia mengelak penyingkiran. Kehadiran jurulatih baharu, Carlos Corberan telah memberi sedikit harapan kepada pasukan itu. Dalam 8 perlawanan pertama di bawah kendaliannya, Valencia berjaya mengutip 12 mata tetapi masih belum selamat daripada ancaman penyingkiran.
Selain itu, statistik hantaran Mamardashvili juga menarik perhatian penyokong Liverpool. Walaupun kadar ketepatan hantarannya hanya 63%, 44% dari jumlah tersebut adalah hantaran jauh ke kawasan lawan. Ia menunjukkan dia gemar mengambil risiko berbanding penjaga gol lain yang cenderung melakukan hantaran pendek. Jika dibandingkan, Alisson mempunyai ketepatan hantaran 81% tetapi hanya 20% daripadanya sampai ke kawasan lawan.
Ketika ini, Liverpool memantau setiap perlawanan Mamardashvili dan sudah merancang penyertaannya dalam latihan pramusim. Sejak perpindahan ke Liverpool diumumkan pada Ogos lalu, dia telah mula mengambil kelas bahasa Inggeris dan mencari tempat tinggal di UK.
Cabaran Besar di Liverpool
Keadaan di Liverpool agak mencabar kerana kelab itu sudah memiliki 2 penjaga gol utama iaitu Alisson dan Caoimhin Kelleher. Mereka juga mempunyai Vitezslav Jaros, penjaga gol muda berbakat yang telah tampil bersama skuad utama musim ini.
Namun, Mamardashvili tidak melihat dirinya sebagai pilihan kedua. Dalam satu rakaman selepas perlawanan menentang Barcelona pada bulan lalu, Ferran Torres bertanya kepadanya mengapa dia tidak berpindah ke Liverpool lebih awal. Jawapan Mamardashvili ringkas tetapi jelas.
“Kerana Alisson.”
Walaupun Alisson masih berada pada prestasi terbaik dan mempunyai kontrak sehingga 2026, Liverpool perlu membuat keputusan mengenai masa depan Kelleher. Kontrak Kelleher akan tamat pada tahun depan. Jika mereka tidak memperbaharui kontraknya, kelab itu berisiko kehilangan pemain itu secara percuma pada 2026. Ia sesuatu yang pasti mahu dielakkan selepas berdepan isu kontrak dengan Trent Alexander-Arnold, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk.
Mamardashvili mungkin disiapkan untuk masa depan Liverpool tetapi prestasinya bersama Valencia dan Georgia membuktikan beliau sudah bersedia sekarang.
Persediaan Menuju Kejayaan
David Webb, penolong jurulatih Georgia pernah memuji sikap profesional dan etika kerja Mamardashvili.
“Berpindah ke Liverpool akan membantunya berkembang dan saya yakin dia akan menjadi antara 3 atau 4 penjaga gol terbaik dunia,” katanya dalam satu temu bual pada Ogos lalu.
Liverpool telah mula menjejaki Mamardashvili sejak awal 2023 tetapi ketika itu terdapat kebimbangan mengenai ketepatan hantarannya. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia telah bekerja keras untuk meningkatkan kemahirannya dalam aspek tersebut.
Jurulatih Liverpool, Arne Slot masih belum membincangkan perancangan spesifik untuk Mamardashvili secara terbuka. Namun dia telah menyatakan bahawa musim pertamanya di Liverpool lebih kepada menilai pasukan sedia ada sebelum membuat perubahan besar pada masa hadapan.
Mamardashvili adalah pengecualian kepada pendekatan itu. Tidak lama lagi, dia akan meninggalkan pergelutan di zon penyingkiran La Liga untuk memasuki persekitaran yang lebih mencabar di Anfield. Jika Liverpool berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini, tekanan untuk mempertahankan kejuaraan akan menjadi lebih besar.
Namun bagi Mamardashvili, tekanan bukan satu masalah. Dia telah membuktikan kebolehannya dan bercita-cita besar. Selepas menduduki tempat ke-7 dalam anugerah Yashin Trophy pada tahun lalu, dia mahu mencapai kedudukan lebih tinggi pada masa depan.
Membantu Valencia kekal di La Liga adalah langkah pertama dalam mencapai impiannya. Tetapi apa yang bakal berlaku di Liverpool nanti akan menjadi penentu masa depannya.