Giorgio Chiellini Berjaya Memiliki Ijazah Sarjana

Pemain pertahanan Juventus dan Itali, Giorgio Chiellini, berjaya mendapat Ijazah Sarjana (Masters) dalam kursus Pengurusan Perniagaan dari Sekolah Pengurusan dan Ekonomi Universiti Turin.

Chiellini melakukan tesis yang bertajuk “Model Perniagaan Kelab Bola Sepak Juventus dalam Konteks Antarabangsa”, dan telah mempersembahkan dan mempertahankan tesis tersebut di hadapan Professor Pietro Paolo Biancone, Professor Alberto Gallatari dan Ketua Jabatan Hubungan Awam Juventus, Stefano Bertola.

Setelah berhempas pulas bersoal jawab, Chiellini akhirnya berjaya lulus dengan kepujian. Pada tahun 2010, Chiellini berjaya menamatkan ijazah Sarjana Muda dalam kursus yang sama, juga di universiti yang sama.

Kejayaan Chiellini ini wajar dijadikan ibrah buat pemain-pemain muda dan remaja bahawa bola sepak dan pelajaran boleh dilakukan seiring, tanpa perlu mengorbankan salah satu daripadanya.

Mungkin selepas bersara daripada bermain bola sepak, Chiellini akan menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah pula. Sekiranya semuanya berjalan lancar, Chiellini bakal bergelar Dr. Chiellini, dan harap-harap Chiellini tidak menggunakan kesempatan tersebut untuk menganjurkan seminar perniagaan dengan yuran yang berbelas ribu Euro.

Baca Juga

Baca Juga