Penyerang Arsenal, Olivier Giroud berkata pasukan kebangsaan Perancis berazam mahu memperbaiki pencapaian mereka pada Piala Dunia yang lepas dengan mara sehingga peringkat separuh akhir pada temasya yang bakal diadakan di Russia tahun hadapan.
Giroud menjelaskan Perancis telah meletakkan sasaran untuk mara paling kurang peringkat separuh akhir dan turut mendakwa pasukan England takut untuk berdepan dengan skuad kendalian Didier Deschamp itu.
Juara Piala Dunia 1998 itu telah diundi dalam satu kumpulan bersama-sama Australia, Peru dan Denmark dan mereka berazam untuk memperbaiki pencapaian pada 2014 dahulu di mana Perancis hanya mampu mara sehingga peringkat suku akhir selepas ditewaskan juara Piaa Dunia edisi tersebut, Jerman dengan jaringan 1-0.
Giroud berjaya menjaringkan 4 gol dari 8 perlawanan ketika peringkat kelayakan zon Eropah dan memenangi kumpulan mereka di hadapan Sweden dan Netherlands, yang gagal melayakkan diri ke edisi Piala Dunia 2018.

Penyerang berusia 31 tahun ini percaya dengan bakat yang ada dalam skuad Perancis sekarang, mereka mampu meraih kejayaan bermakna di Russia tahun hadapan.
“Sudah tentu kami mahu keluar dari kumpulan kami nanti dengan kejayaan, tetapi saya masih menghormati pihak lawan sepanjang karier saya. Untuk bercakap mengenainya mungkin kelihatan agak senang, tetapi untuk melakukannya adalah perkara lain.”
“Saya sudah memberitahu pada pihak media beberapa minggu yang lepas yang saya mahu meraih sesuatu yang lebih tinggi dari tahun 2014, jadi kali ini minimum, kami mahu mara sehingga peringkat separuh akhir.”
“Dalam bilik persalinan England, saya sudah mengetahui yang mereka agak gusar dengan kemampuan Perancis kerana kami mempunyai generasi pemain yang amat berbakat dan juga pemain yang sangat bagus.”

Ketika ditanya mengenai kekuatan pasukan lawan yang bakal dihadapi Perancis dalam peringkat kumpulan nanti, Giroud berkata Peru mempunyai kemampuan yang tidak diketahui mereka tetapi sudah mendapatkan nasihat dari rakan sepasukannya di Arsenal, David Ospina mengenai kekuatan pasukan berasal dari benua Amerika Selatan itu.
“Jika dibandingkan dengan pasukan yang boleh diundi bersama dengan kami, undian kali ini mungkin memberikan kami sedikit kelebihan. Walaupun demikian, saya mempunyai sedikit keraguan mengenai keupayaan pasukan Peru terutamanya.”
“Saya ada berbincang denga Ospina mengenai Peru, dan beliau berkata Peru mempunyai pasukan yang bagus. Kami sudah biasa berdepan dengan Denmark, tetapi Australia juga adalah pasukan yang tidak diketahui kekuatan sebenar mereka. Mereka mempunyai corak bolasepak yang mungkin berbeza tetapi kami akan bersedia dengan segalanya.”