Giroud Mahu Tinggalkan Arsenal Januari Ini Bagi Memastikan Tempat ke Piala Dunia

Penyerang Arsenal, Olivier Giroud mengakui beliau mungkin terpaksa berpindah keluar dari Arsenal untuk mendapatkan lebih banyak aksi pasukan utama bagi memastikan tempat beliau dalam pasukan kebangsaan Perancis tidak terancam.

Walaupun pahit untuk ditelan, Giroud berkata beliau sedang menilai pilihan yang ada Januari depan bagi memastikan impiannya untuk beraksi di Piala Dunia Russia tahun hadapan terlaksana.

Dalam perlawanan terakhir Arsenal menentang Southampton, Giroud berjaya menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan untuk mengikat kedudukan walaupun hanya masuk sebagai pemain gantian.

Gol tersebut juga adalah jaringan beliau yang ke-17 apabila masuk sebagai pemain gantian, menyamai rekod Liga Perdana Inggeris yang dicatatkan oleh bekas pemain Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini.

Gambar : Metro.co.uk

Impak Giroud sebagai pemain gentian menunjukkan beliau adalah pemain penting dalam pasukan Arsenal sekarang walaupun sering digunakan dari bangku simpanan. Giroud mengakui keadaan ini tidak boleh berterusan kerana persembahan musim ini amat penting bagi penilaian pemain untuk ke Piala Dunia.

Beliau sebelum ini hampir menyertai Everton pada tirai perpindahan musim panas lalu, tetapi menolak tawaran Ronald Koeman pada saat terakhir kerana masih sayangkan Arsenal. Giroud dipetik berkata kepada L’Equipe mengenai situasi semasa beliau di Arsenal.

“Saya memikirkan Piala Dunia setiap minggu, hampir setiap hari. Setiap kali saya memasuki padang, saya berazam untuk menjadi lebih klinikal bagi memastikan tempat saya ke Piala Dunia tahun hadapan. Sebab utama saya tidak berpindah musim panas lalu bukanlah kerana saya tidak menerima tawaran yang bagus. Saya tidak mahu berpindah kerana dipaksa keluar.”

“Akan tetapi apabila Januari tiba tidak lama lagi, saya harus bertanya kembali soalan tersebut kepada diri sendiri. Bukan mudah untuk mencari jalan penyelesaian yang tepat dan membuat keputusan yang betul, tetapi saya akan melihat peluang lain yang ada.”

Walaupun bersedia untuk menimbang mana-mana tawaran yang tiba terhadapnya Januari ini, Giroud mendakwa pengurus Perancis, Didier Deschamps telah menasihatkan beliau supaya tidak berpindah keluar dari kelabnya sekarang.

“Ketika minggu antarabangsa, biasanya Deschamps akan memberi amaran supaya tidak meninggalkan Arsenal. Beliau memberitahu saya perkara yang harus beliau beritahu kepada pemain, yang mana adalah perkara yang logik dan saya fahami. Beliau mahu saya bermain dengan lebih kerap.”

Giroud telah berjaya menjaringkan lebih 100 gol buat Arsenal, dan telah menemui gawang sebanyak 29 kali dalam 69 penampilan bersama pasukan kebangsaan. Walaupun demikian, musim ini menyaksikan kelibat beliau dalam pasukan utama Arsenal terhad hanya dalam saingan Europa League dan Piala Carabao sahaja.

Beliau masih gagal diturunkan dalam kesebelasan utama untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini, dan hanya mengumpul 252 minit permainan sebagai pemain gentian dalam 16 perlawanan liga setakat ini.

Baca Juga

Baca Juga