GLC Mampu Merangsang Perkembangan Sukan Negara

Apa juga jenis sukan yang ingin dimajukan ke peringkat lebih tinggi, pastinya memerlukan suntikan dana yang bukan sedikit untuk membolehkan semua usaha diatur menuju ke arah kecemerlangan.

Ini dapat dilihat melalui sukan – sukan popular diseluruh dunia dipayungi oleh pelbagai jenama besar dan memudahkan segala macam promosi dan kempen dapat dibuat bagi menggalakkan masyarakat dunia untuk terus minat dalam sukan.

Perbelanjaan besar dalam sukan bukan sahaja menjurus kepada penganjuran kejohanan dan pengiklanan, tetapi sejumlah besar dari dana perlu dilaburkan kepada proses penggalakan dan pembangunan bakat.

Hal sebegini selalu diabaikan kerana ia dilihat satu proses pelaburan jangka panjang dan membuatkan pemain industri enggan terlibat sama.

Rakyat negeri Selangor sangat beruntung kerana Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) akan melaksanakan program ‘Sukan Untuk Semua’ di bawah Rangsangan Sukan Selangor (RSS) 2017 dengan menyasarkan sejumlah 8,000 penyertaan di dalam 8 jenis sukan iaitu badminton, boling, skuasy, renang, bola sepak, berbasikal, sepak takraw dan memanah.

Ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian bersama pengendali dan pelaksana program ‘Sukan Untuk Semua’, Ketua Pegawai Operasi, Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin berkata,

“Di atas sambutan yang amat menggalakkan serta peningkatan penyertaan di antara 10% – 15% setiap tahun (sejak 2014), program Sukan Untuk Semua akan diteruskan pada tahun ini dengan tumpuan diberikan terhadap golongan terpinggir terutama Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, anak yatim dan pelajar orang asal di seluruh Selangor”.

“Bagi melaksakan program tersebut, Perangsang Selangor telah melantik 8 penyedia latihan iaitu J World Sports, JAB Bowling Academy, Kelab Skuasy Elit Astaka, Supersharkz Swim School, Munro Sports, Clever Speda, Kelab Masyarakat Bola Rotan dan Kelab Memanah Alpha Brothers dengan melibatkan tajaan bernilai RM1.37 juta”, jelas beliau

.

Matlamat utama program antara lain adalah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan gaya hidup sihat. Selain itu, ia juga bertujuan menanamkan minat dan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di Selangor untuk mempelajari ilmu sukan.

“Program ‘Sukan Untuk Semua’ telah berjaya menarik sejumlah 13,873 penyertaan daripada pelbagai golongan menerusi 105 program yang telah dilaksanakan di seluruh negeri Selangor sejak 2014. Jumlah tersebut termasuk penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala DYTM Raja Muda Selangor untuk pelajar bawah 12 tahun dan Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari bagi pelajar bawah 18 tahun”, tambah Suzila.

Sehingga kini, Perangsang Selangor telah membelanjakan dana berjumlah RM5.05 juta khusus untuk RSS termasuk program pembangunan sukan, pembangunan pasukan elit dan ‘Sukan Untuk Semua’,

Diharapkan lebih banyak GLC akan tampil untuk bekerjasama dengan penggiat sukan tanah air. Langkah Kumpulan Perangsang Selangor ini amat wajar dicontohi dan antara hasil yang dapat dilihat ialah sebahagian besar perenang negara yang bakal beraksi di Sukan SEA bulan hadapan lahir dari program pembangunan yang mendapat tajaan Perangsang Selangor ini.

Maka, jelas sekali ia adalah satu usaha berbaloi dan perlu diperluaskan demi mengangkat nama Malaysia ke persada dunia menerusi sukan.

Baca Juga

Baca Juga