Godin Kecewakan Hati Peminat United Dengan Menyertai Inter Milan

Pemain idaman Manchester United, Diego Godin dilaporkan telah menjalani pemeriksaan perubatan bersama Inter Milan dan akan menyertai kelab tersebut sebaik sahaja kontraknya tamat penghujung musim nanti.

Menurut laporan daripada Sky Sports Italia, pemain antarabangsa Uruguay itu akan menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Inter Milan dengan pilihan untuk tahun ketiga dan dijangka bakal memperolehi gaji tahunan berjumlah €5.5 juta.

Godin bakal meninggalkan Atletico Madrid hujung musim nanti selepas 9 tahun bersama.

Jika benar, ia pasti menghampakan harapan peminat Manchester United yang sudah lama ingin melihat Godin berpindah ke Old Trafford. Pada awal musim ini, bekas pengurus United, Jose Mourinho dilaporkan meletakkan Godin sebagai pemain sasaran utama beliau tetapi ia tidak berlaku atas faktor-faktor tertentu.

Walaupun sudah mencecah usia 32 tahun, Godin masih lagi dianggap antara pemain pertahanan tengah terbaik dunia ketika ini.

Musim ini menyaksikan barisan pertahanan Atletico Madrid hanya melepaskan 13 gol dari 20 perlawanan La Liga, iaitu jumlah terendah dalam liga ketika ini.

Walaupun masih mampu beraksi di tahap tertinggi, Godin dilaporkan kecewa dengan tawaran kontrak daripada Atletico Madrid.

Untuk rekod, Atletico Madrid mempunyai polisi untuk hanya menawarkan kontrak selama setahun kepada pemain yang berumur 30 tahun ke atas.

Manchester United mungkin akan mengalihkan perhatian mereka terhadap rakan sepasukan Godin, Lucas Hernandez. Hernandez merupakan sebahagian daripada skuad Perancis yang berjaya memenangi Piala Dunia 2018 dan mampu beraksi sebagai bek kiri dan juga bek tengah.

Bakal Setan Merah ?

Selain Hernandez, Red Devils juga dilaporkan menaruh minat terhadap pemain pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly dan pemain AS Roma, Kostas Manolas.

BACA:  Cristiano Ronaldo Berpotensi Untuk Sertai Atletico Madrid Pada Musim Panas Ini