Gol Faisal Halim Yang Sungguh Jahat vs Korea

Malaysia telah pun tersingkir dari saingan Piala Asia 2023 pada perlawanan kedua lagi namun gol yang sungguh jahat dari Faisal Halim menjadi pengubat duka buat seluruh peminat Harimau Malaya.

Dua gol tambahan lagi dari Arif Aiman melalui sepakan penalti dan gol penyamaan penuh dramatik dari rembatan Romel Morales membolehkan ekor Harimau Malaya ada sesuatu untuk diraikan.

Tiada harapan diletakkan untuk Malaysia meraih mata menentang Korea Selatan apatah lagi tiga mata dan menjadi dambaan peminat adalah gol di Piala Asia ini sebagai ole-ole.

Corak permainan agresif dan pantas Korea Selatan seperti tidak memberi peluang kepada Malaysia untuk bernafas tambahan pula dengan gol pendahuluan pada minit ke-21 Jeong Woo Yeong.

Enam minit bersambung permainan separuh masa kedua Faisal Halim telah menjaringkan gol penyamaan, jaringan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh ekor Harimau Malaya.

Bukan biasa-biasa gol dijaringkan oleh Faisal Halim selepas Darren Lok berjaya menjolok bola dari kaki pemain Korea Selatan dan bola terus disambar Arif Aiman.

Arif Aiman lewat untuk melakukan percubaan dan sempat dihadang, Faisal Halim berjaya merampas bola dan menyelinap ke kiri memaksa penjaga gol Korea keluar.

Pertahanan Korea Selatan berjaya diayamkan begitu sahaja, penjaga gol Korea mengangkang untuk menutup ruang namun Faisal Halim bijak.

Berjoget-joget Faisal Halim mencari ruang dan dari sudut sukar Faisal melakukan percubaan jahat dan berjaya meletakkan bola di dalam gawang Korea untuk gol penyamaan.

Faisal Halim menyamakan kedudukan dengan jaringan yang jahat dari sudut sukar. VAR meneliti kesahihan gol itu kerana Darren Lok seperti mengasari pemain Korea ketika gol terhasil. Dan jaringan Faisal Halim sah.

Faisal Halim menjadi pemain Selangor kedua menjaringkan gol di Piala Asia selepas Indra Putra Mahyuddin melakukannya pada 2007.

Malaysia datang lagi melalui Faisal Halim yang melakukan hantaran mecari Arif Aiman yang sedikit ke depan namun pemain Korea Selatan melakukan sepakan ke kaki Arif Aiman untuk mengeluarkan bola.

VAR terus melakukan kerjanya untuk menegakkan keadilan. Pengadil perlawanan ke tepi padang untuk melakukan siasatan lanjut dan keputusannya penalti untuk Malaysia.

Arif Aiman tampil menggalas tanggungjawab dan tenang menghantar penjaga gol Korea Selatan terbang ke arah yang bertentangan untuk Malaysia mendahului 2-1.

Arif Aiman datang lagi dan menolak kepada Faisal Halim namun kali ini percubaan lencongnya tersasar. Berbaki 15 minit Korea Selatan melakukan asakan menggila namun masih berjaya dineutralkan.

Minit ke-83 Korea Selatan menyamakan kedudukan kembali dengan sepakan percuma bertaraf dunia yang tepat ke penjuru kanan atas. Bola berjaya ditepis Syihan Hazmi terkena palang melantun terkena tangan Syihan dan masuk ke gawang.

Malaysia terus ditekan Korea Selatan yang menggila menyerang dan tekanan makin bertambah dengan 12 minit masa kecederaan disebabkan permainan banyak dihentikan untuk memberi laluan kepada VAR.

Korea Selatan dianugerahkan sepakan penalti selepas Junior Eldstal melakukan sedikit terjahan yang agak lembut dan VAR mengesahkannya. Son Heung Min merembat deras menewaskan Syihan yang melakukan terbangan badan yang tepat namun tetap tertewas.

3 gol tidak cukup buat Korea Selatan yang memanfaatkan masa berbaki untuk mecari gol tambahan. Stuart Wilkin dan Paulo Josue berusaha dan mendapat peluang untuk mendapatkan gol penyamaan namun dinafikan.

Malaysia memperoleh gol penyamaan pada minit ke-114 hasil rembatan Romel Morales. Jurgen Klinsman hanya mampu menggeleng kepala dan Son Heung Min hampir menangis

Gila Malaysia 3-3 Korea Selatan. Tahniah juga buat barisan pertahanan Malaysia yang kental bertahan yang menahan 19 percubaan Korea dengan 8 percubaan tepat serta 20 sepakan penjuru.

Dalam satu lagi perlawanan kumpula E, Bahrain berjaya menundukkan Jordan 1-0 sekaligus muncul juara kumpulan dengan enam mata menolak Jordan ditangga ketiga dan Korea Selatan muncul naib juara.

Baca Juga

Baca Juga