Golden Boy Yang Pernah Dianggap ‘Next Henry’ Hampir Pasti Tinggalkan Old Trafford Januari Ini

Selepas enam tahun menabur bakti di Old Trafford, Anthony Martial akhirnya bakal mengakhiri karier beliau bersama Manchester United.

Beliau ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £36 juta ketika di usia baru 19 tahun dengan beliau memperkenalkan dirinya dengan cara yang sungguh menakjubkan.

Martial memperkenalkan namanya kepada para peminat selepas meledak gol solo yang cukup cantik ketika beraksi bertemu seteru utama kelab, Liverpool.

Beliau cemerlang melepasi dua pemain pertahanan sebelum meledak gol di hadapan para penyokong United, seterusnya mengesahkan tempat menjadi antara pahlawan terhandal di ‘Theatre of Dreams’.

Beliau dengan segera menutup mulut para pengkritik yang mempersoalkan keputusan Manchester United mengeluarkan dana yang besar untuk mendapatkan khidmatnya.

Jelas sekali nilai £36 juta pada ketika itu sangat besar untuk seorang pemain muda yang belum tentu boleh memberikan impak seperti yang diharapkan oleh kelab.

Beliau pada ketika itu turut dianggap sebagai ‘The Next Thierry Henry’ dek kerana aksi dan persembahan mantap yang beliau pamerkan di usia baru 19 tahun.

Martial berjaya menjaringkan enam gol dari 19 perlawanan awal, seterusnya membantu beliau merangkul anugerah Golden Boy pada tahun 2015.

Harus diingat bukan mudah untuk memenangi anugerah ini dengan ramai bintang handalan dunia seperti Wayne Rooney, Lionel Messi, Sergio Aguero dan Paul Pogba turut pernah memenanginya sebelum itu.

Walau bagaimanapun, selepas enam tahun bersama kelab, sukar untuk menganggap yang Martial sudah berjaya di Old Trafford.

Bahkan untuk menganggap nilai yang kelab bayar untuk beliau itu berbaloi juga sepertinya agak keterlaluan kerana beliau gagal memberi impak seperti yang diharapkan.

Beliau sempat membantu kelab memenangi tiga Piala, FA Cup, League Cup dan Europa League sepanjang kariernya di Old Trafford.

Walau sudah pernah memenangi tiga Piala, namun antara pencapaian terbaik beliau yang masih dikenang sehingga hari ini adalah gol ketika aksi debutnya untuk setan merah.

Dari 268 penampilan bersama Manchester United, Anthony Martial berjaya menjaringkan 79 gol dan sejujurnya, rekod itu tidaklah begitu teruk.

Namun melihat kepada sembang kencang peminat yang menganggap beliau bakal menjadi jelmaan semula Thierry Henry, statistik tersebut sebenarnya tersangat lemah.

Ia seolah-olah langsung tidak layak untuk disamakan dengan Thierry Henry dan Martial turut menjadi mangsa kritikan para peminat sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Kurang mendapat minit permainan, tidak mampu memberikan impak seperti yang diharapkan dan sering dikecam menyebabkan pemain berusia 25 tahun itu memutuskan untuk meninggalkan kelab.

Memandangkan beliau pada ketika ini baru berusia 25 tahun dan masih belum mendapat kemuncak prestasinya, maka pihak kelab masih boleh mencari keuntungan dengan menjualnya kepada gergasi Eropah yang lain.

Dengan adanya Jadon Sancho, Mason Greenwood dan Marcus Rashford dalam skuad pada ketika ini, sepertinya sudah agak mustahil untuk Martial bersaing merebut tempat.

Kelab juga tidak akan terkesan dengan pemergian Martial memandangkan mereka sudah ada pemain yang cukup di bahagian jentera serangan.

Ke mana Martial selepas ini?

Perpindahan untuk menyertai kelab terkaya dalam dunia bola sepak, Newcastle United sepertinya berpotensi untuk jadi kenyataan.

Beliau mungkin bakal menjadi pemain terawal yang akan membantu menaikkan Newcastle selepas diambil alih oleh Syarikat konsortium Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, laporan dari pelbagai media di Sepanyol dan UK telah mendedahkan yang Martial sebenarnya sudah semakin hampir pasti untuk sertai Sevilla.

Beliau sudah tentu bakal menjadi pemain utama untuk gergasi La Liga itu dan corak permainan pantas kelab jelas sekali sangat sesuai dengan gaya permainan Martial.

Perjanjian secara lisan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan kini mereka sedang berunding berkait gaji sahaja.

Satu hal yang harus diingat, Martial merupakan pemain yang ada klausa Ballon D’or dalam kontraknya, dan beliau juga pernah dianggap calon pemain terhebat dunia.

Hal itu tidak dilihat sepanjang kariernya bersama Manchester United, namun begitu, siapa tahu sisi hebatnya akan muncul ketika beraksi di luar Old Trafford.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Jurulatih Perancis Mahu Anthony Martial Pertimbang Sertai Juventus