Goran Pandev Diberikan Penghormatan ‘Guard Of Honor’, Tampil Kali Terakhir Buat Makedonia Utara

Penyerang veteran Makedonia Utara diberikan penghormatan oleh rakan sepasukan dan mereka yang hadir di Johan Cruyff Arena apabila pemain itu dikeluarkan pada minit ke-68 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan C di pertandingan Euro 2020 sebentar tadi.

Penyerang Genoa itu beraksi untuk kali ke-122 bersama negaranya, dan selepas 20 tahun beraksi bersama negaranya Makedonia Utara, ini adalah kali pertama Pandev berjaya membawa pasukan kebangsaan negaranya beraksi di kejohanan utama.

Makedonia Utara tidak pernah beraksi di dalam mana-mana kejohanan utama antarabangsa sebelum ini.

Penyerang berusia 37 tahun yang turut pernah menyarung jersi Inter Milan menerima penghormatan Guard of Honor daripada rakan sepasukan yang lain ketika dikeluarkan pada minit ke-68 perlawanan untuk digantikan oleh Tihomir Kostadinov.

Malah sebelum perlawanan dimulakan lagi, Pandev sudah menerima penghargaan dari pasukan Belanda yang menyerahkan jersi khas sempena penampilan ke-122 pemain itu.

Turut hadir ketika perlawanan dan menghargai Pandev ialah legenda pasukan Belanda, Wesley Sneijder yang pernah beraksi bersama Pandev ketika kedua-duanya beraksi bersama di Inter Milan.

Untuk rekod, Pandev menjaringkan gol pertama antarabangsanya untuk Makedonia Utara juga dalam perlawanan menentang Belanda 17 tahun yang lalu.

Ia seperti satu kebetulan pemain itu menamatkan karier antarabangsanya dalam perlawanan menentang lawan yang sama.

Dalam perlawanan sebentar tadi, dua gol oleh Georginio Wijnaldum membantu Belanda menewaskan Makedonia Utara 3-0 sekaligus mengesahkan meraka juara Kumpulan C.

Belanda mendahului perlawanan melalui Memphis Depay pada minit ke-24 perlawanan. Memphis yang baru sahaja mengesahkan menyertai Barcelona untuk saingan musim hadapan terus beraksi dengan cemerlang, menghasilkan dua assist selepas itu untuk disudahkan Georginio Wijnaldum pada minit ke-51 dan minit ke-58 perlawanan.

Makedonia Utara pula sudah tidak mempunyai apa-apa untuk dipertaruhkan di dalam perlawanan ini setelah tewas 3-1 kepada Austria pada perlawanan pertama, diikuti kekalahan 2-1 kepada Ukraine selepas itu.

Pandev sempat menjaringkan satu gol dalam kejohanan ini dalam kekalahan 3-1 kepada Austria. Pandev tampil di dalam 121 perlawanan untuk negaranya, dan menjaringkan 38 gol di peringkat antarabangsa.

Baca Juga

Baca Juga