Xhaka Dan Shaqiri Mungkin Dikenakan Hukuman Daripada FIFA

Badan bola sepak dunia, FIFA telah membuka kes disiplin terhadap dua pemain Switzerland, Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri berhubung keraian penuh kontroversi sejurus menjaringkan gol ketika menang ke atas Serbia 2-1 tempoh hari.

Xhaka merupakan pemain Arsenal sejak tahun tahun 2016 manakala Shaqiri merupakan sebahagian daripada pasukan Stoke City yang mengalami relegasi musim lepas.

Kedua-dua pemain ini mempunyai darah campuran Albania dan Kosovo tetapi memilih untuk bermain dengan  Switzerland.

Xhaka menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan jarak jauh yang cantik

Xhaka dan Shaqiri masing-masing menjaringkan satu gol untuk membantu Switzerland  meraih 3 mata ke atas Serbia bagi mencerahkan lagi peluang mereka untuk mara ke peringkat kalah mati.

Tetapi apa yang mencetuskan kontroversi adalah keraian menjaringkan gol yang dilakukan mereka berdua selepas berjaya menjaringkan gol.

Sebaik sahaja menjaringkan gol, mereka meletakkan kedua-dua tangan di bahagian dada untuk membentuk figura seperti helang, yang mana merupakan salah satu lambang yang ada pada bendera Albania.

Simbol ini menimbulkan kemarahan di kalangan segelintir warga Balkans yang kini menetap di Serbia. Sehingga ke hari ini, Serbia tidak mengiktiraf kemerdekaan Kosovo dan etnik Albania.

FIFA melarang sekeras-kerasnya sebarang tindakan berunsur politik dibawa ke dalam padang dan Switzerland mungkin menerima tindakan berhubung tindakan dua pemainnya ketika menentang Serbia.

Helang ! Shaqiri meraikan jaringan kedua Switzerland menerusi counter attack pantas yang memerangkap pertahanan Serbia

“Badan Disiplin FIFA telah membuka kes disiplin terhadap dua pemain Switzerland, Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri berhubung keraian gol mereka ketika perlawanan Switzerland menentang Serbia.” Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA.

“Dalam perlawanan yang sama, kes disiplin juga dibuka bagi menyiasat kekacauan yang ditimbulkan penyokong Serbia selain menayangkan bendera berunsurkan politik oleh penyokong Serbia.”

“Selain itu, siasatan awal telah dibuka terhadap jurulatih skuad kebangsaan Serbia, Mladen Krstajic berhubung kenyataan beliau dalam sidang media selepas tamat perlawanan tersebut.”

Pemain tengah Stoke, Shaqiri dilahirkan di Kosovo manakala ibu bapa Xhaka merupakan warga Albania yang berasal dari Serbia.

Bapa Xhaka merupakan tahanan politik berikutan demonstrasi pelajar yang berlaku pada tahun 1968 di Yugoslavia bagi membantah tindakan kerajaan komunis di Belgrade.

Abang kepada Granit Xhaka, Taulant Xhaka juga seorang pemain bola sepak profesional dan bermain untuk Albania.

Pergaduhan di antara penyokong Argentina dan Croatia di dalam stadium

Dalam perkembangan lain pula, badan disiplin FIFA juga telah meluluskan usul untuk mengenakan tindakan terhadap Persekutuan Bola Sepak Poland.

Denda sebanyak £7600 dikenakan kerana peminat Poland mempamerkan sepanduk berunsur politik dan offensive ketika pertemuan menentang Senegal.

Argentina FA dan Croatia FA juga bakal mengetahui nasib mereka tidak lama lagi kerana siasatan telah dijalankan bagi menyiasat pergaduhan yang berlaku di antara kedua-dua penyokong ketika Argentina tewas 3-0 di tangan Croatia Khamis lalu.

BACA:  FIFA Perkenalkan Teknologi Ofsaid Semi Automatik Dalam Piala Dunia Qatar