Griezmann Mahu Ke Inter Miami Kerana Beckham

Antoine Griezmann telah memberi tanda-tanda besar bahawa beliau mungkin akan sertai kelab milik David Beckham, Inter Miami suatu hari nanti.

Beliau turut mendedahkan bahawa dirinya sudah mula mengintai peluang untuk mencuba beraksi di pentas Major League Soccer di masa hadapan.

Penyerang Barcelona itu akhirnya berjaya menyempurnakan perpindahan beliau yang melibatkan dana yang besar dari Atletico Madrid musim panas lalu.

Beliau sebelum itu beberapa kali dilaporkan akan meninggalkan Atletico tetapi tidak pernah menjadi kenyataan.

Tetapi perpindahan beliau ke pasukan gergasi Sepanyol itu tidak memberikan impak dan kejayaan seperti apa yang diharapkan.

Griezmann cuma menjaringkan lapan gol dan mencatatkan empat assist dari 26 penampilan dalam saingan La Liga musim ini. Beliau turut berjaya menjaringkan dua gol dalam kempen saingan Liga Juara-juara.

Walaupun beliau sebenarnya masih banyak yang boleh disumbangkan di Nou Camp, namun pemain berusia 29 tahun itu dilaporkan sudah mengintai peluang untuk keluar meninggalkan Barcelona.

“Memenangi saingan La Liga dan Liga Juara-juara bersama Barcelona merupakan impian dan juga matlamat utama saya.”

Jelas Antoine Griezmann kepada LA Times.

“Selepas dari itu saya mahu memenangi apa saja Piala yang ada termasuk satu lagi FIFA Club World Cup di Qatar dan kemudiannya saya mahu menjulang piala MLS.”

“Saya sendiri tidak pasti bersama pasukan mana, tetap saya betul-betul teringin untuk bermain di sana. Bagi saya secara peribadinya, saya mahu menamatkan kerjaya saya di United States dengan kebarangkalian saya masih boleh beraksi dengan baik dan menjadi nadi penting untuk pasukan lalu membantu memenangi Piala.”

Pemenang kasut emas Euro 2016 itu menjelaskan dia tidak tahu pasukan mana yang bakal disertainya melalui kenyataannya sendiri.

David Beckham sendiri pernah mendedahkan bahawa dirinya sangat berminat untuk menandatangani Griezmann pada bila-bila masa sahaja asalkan pemain itu bersedia.

Pada tahun 2017, Antoine Griezmann mengakui bahawa bekas pemain sayap pasukan Manchester United, David Beckham merupakan alasan mengapa beliau minat dalam dunia bola sepak dengan menyatakan:

“Saya sangat meminati David Beckham, beliau adalah idola saya. Itulah alasan mengapa saya memakai baju lengan panjang dan memakai jersi bernombor 7.”

Musim panas lalu beliau sekali lagi berbicara tentang David Beckham sebagai role modelnya dan menyatakan:

“David Beckham merupakan pemain sayap sejati dan terbaik dalam dunia bola sepak. Dengan penampilan dan budi bahasa yang ditunjukkan, ia sangat mengagumkan. Beliau turut memenagi anugerah fashion dan pengiklanan bertaraf dunia. Beliau jelas merupakan role model saya. Dia satu-satunya pemain yang paling saya impikan untuk beraksi bersama.”

“Saya selalu melihat Beckham sebagai seorang yang sempurna, tidak kira dalam mahupun luar padang. Beliau mempunyai karisma dan kelas tersendiri dalam apa saja yang dia lakukan, dan dia selalu berpenampilan menarik.”

Musim ini merupakan musim pertama bekas ketua pasukan England itu bersama pasukan Inter Miami, namun sayangnya mereka tewas dalam dua perlawanan pembukaan sebelum kesemua saingan bola sepak digantung.

Beckham dan kelabnya masih belum mengeluarkan dana yang besar untuk menandatangani mana-mana pemain bintang namun sejak kebelakangan ini mereka kerap dikaitkan dengan para pemain berprofil tinggi.

Antoine Griezmann, Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan James Rodriguez antara nama yang pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami dan mungkin mereka akan membuat duit dengan kehadiran pemain-pemain tersebut.

BACA:  Antoine Griezmann Kena 'Boo' Ketika Debutnya Bersama Atletico