Guardiola Beri Petanda Akan Kembali Dapatkan Mahrez Musim Panas Nanti

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memberi gambaran beliau akan cuba mendapatkan Riyad Mahrez sekali lagi pada musim panas nanti.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris ini gagal dalam percubaan mereka untuk meyakinkan Leicester City untuk melepaskan Mahrez selepas beberapa tawaran ditolak kelab berkenaan.

Impian Mahrez untuk merangkul Liga Perdana Inggeris musim ini terkubur

Pemain antarabangsa Algeria ini menghabiskan minggu terakhir jendela perpindahan dengan cuba memaksa Leicester melepaskannya dan turut menghantar permohonan rasmi untuk berpindah.

Walaubagaimanapun, kedegilan Leicester untuk melepaskan pemain pada pertengahan musim menyebabkan Mahrez terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan hajatnya. Tambahan pula, Leicester meletakkan nilai yang sangat tinggi terhadap Mahrez, dalam usaha mereka menakutkan kelab yang berminat.

Musim panas lalu menyaksikan AS Roma terpaksa melupakan hajat mereka untuk membawa Mahrez ke Itali kerana permintaan melampau Leicester. Kali ini, giliran Manchester City pula dikecewakan atas sebab yang sama.

Xpe Rez. Kita try sekali lagi bulan 7 nanti

City meyakinkan Leicester untuk melepaskan Mahrez pada saat-saat terakhir selepas mengetahui pemain sayap mereka, Leroy Sane tidak akan bermain selama 6 minggu kerana mengalami kecederaan ketika menentang Cardiff City tempoh hari.

Ketika ditanya mengenai kegagalan City untuk membawa masuk Mahrez ke Etihad Stadium pada jendela perpindahan Januari, Guardiola berkata beliau akan mencuba sekali lagi pada penghujung musim nanti.

“Mahrez adalah pemain Leicester City. Semua pihak tahu kami berusaha untuk mendapatkan beliau, tetapi buat masa sekarang, nilai yang diminta Leicester diluar kemampuan kami. Saya faham situasi mereka.”

“Kami cuba mendapatkan Mahrez musim panas lalu. Kami cuba sekali lagi hari ini. Tetapi seperti musim panas lalu, Leicester mengunci segala pintu perbincangan.”

Bukan £26juta, tapi £95juta nilai yang diminta Leicester. Gilo

“Perpindahan tersebut mustahil untuk berlaku. Kami berjaya dapatkan Aymeric Laporte tetapi kami gagal dengan Mahrez. Kita akan lihat apa yang bakal berlaku musim panas nanti.”

Selepas mengetahui minat serius yang ditunjukkan City terhadap Mahrez, pemain sayap Leicester ini bertindak menghantar permohonan rasmi untuk berpindah kepada kelabnya. Ini adalah permohonan kedua yang pernah dihantar Mahrez kepada Leicester, kali pertama adalah pada Mei 2017.

City sanggup menawarkan harga setinggi £65juta untuk mendapatkan khidmat Mahrez, tetapi bekas juara Liga Perdana Inggeris dilaporkan hanya akan melepaskan Mahrez jika menerima tawaran berjumlah £95juta.

BACA:  Tonton Aksi Luar Biasa Joe Hart Untuk Menambat Hati Guardiola, Salah Jadi Mangsa