Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata pasukannya tidak boleh kehilangan mata dalam baki 6 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris sekiranya mereka mahu menewaskan Liverpool dalam perebutan kejuaraaan liga.
Manchester City berjaya merampas kembali tempat teratas dari genggaman Liverpool selepas membenam Cardiff City di gelanggang sendiri awal pagi tadi. City menang 2-0 hasil jaringan Kevin De Bruyne dan Leroy Sane pada separuh masa pertama.
Selepas masing-masing mengharungi 32 perlawanan, Manchester City kini memiliki kelebihan 1 mata ke atas Liverpool dan perebutan kejuaraan liga musim ini dijangka akan ditentukan sehingga saat terakhir.
Manchester City dilihat mempunyai baki perlawanan yang lebih sukar berbanding Liverpool dimana mereka perlu menentang Tottenham dan Manchester United di tempat lawan selepas ini.
Kemenangan ke atas Cardiff menghidupkan peluang Guardiola untuk mencipta sejarah baru dalam bola sepak Inggeris dengan menjadi pasukan pertama mmemenangi ‘quadruple’, iaitu membolot kesemua 4 piala dalam satu musim.
Tiada pengurus yang mampu melakukannya sebelum ini, tetapi pasukan bimbingan Guardiola masih lagi bersaing dalam setiap pertandingan yang mereka sertai setakat ini.
Manchester City bakal berdepan Brighton dalam perlawanan separuh akhir Piala FA hujung minggu ini yang bakal dilangsungkan di Wembley. The Citizens berada dalam landasan terbaik untuk memenangi Piala FA memandangkan tiada lagi pasukan ‘Top 6’ yang masih bersaing dalam pertandingan tersebut.
“Kami mengjangkakan sekiranya kami melepaskan mata selepas ini, kami tidak akan muncul juara.” Ujar Guardiola kepada pemberita selepas menewaskan Cardiff.
“Saya tidak tahu keadaan pasukan ini apabila menentang Brighton nanti tetapi ketika menentang Cardiffi tadi, kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol. Itu sedikit kekesalan dari perlawanan tadi.”
Bagi perlawana penting Sabtu ini, Guardiola perlu membuat sedikit rombakan di bahagian pertahanan kiri selepas Oleksandr Zinchenko dirakam berjalan terhincut-hincut selepas beraksi 19 minit di atas padang.
Danilo terpaksa ditukar bermain di posisi Zinchenko tetapi Guardiola mengakui posisi bek kiri bukanlah posisi natural buat bekas pemain Real Madrid itu.
Kecederaan yang dialami Zinchenko mungkin membuka pintu untuk Benjamin Mendy kembali ke dalam pasukan selepas pemain itu dilaporkan sudah pulih dari kecederaannya.
Selain masalah kecederaan, Mendy turut berdepan masalah disiplin musim ini dimana beliau pernah didenda kerana lambat menjalani proses rawatan kerana menghadiri satu perlawanan tinju berprofil tinggi pada malam sebelumnya.
Mendy sekali lagi berdepan masalah apabila kelibatnya dirakam oleh paparazi di kelab malam pada awal pagi Sabtu minggu lalu.
“Zinchenko banyak membantu kami dan beliau adalah pemain penting untuk pasukan ini. Beliau tahu macam mana kami bermain.”