Guardiola Dakwa Ditawarkan Peluang Untuk Menandatangani Pogba Januari Lalu

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mendakwa beliau telah ditawarkan peluang untuk mendapatkan khidmat Paul Pogba & Henrikh Mkhitaryan pada jendela perpindahan Januari lalu.

Guardiola berkata tawaran tersebut datang daripada ejen pemain terbabit, Mino Raiola yang menghubunginya secara peribadi dan memberitahu beliau Pogba & Mkhi dibenarkan untuk berpindah.

Pogba ditawarkan kepada City beberapa bulan yang lalu, dakwa Pep.

Pogba dibeli Manchester United dari Juventus dua tahun yang lepas dalam perjanjian rekod dunia ketika itu sekitar £89 juta. Mkhitaryan pula berpindah ke Arsenal beberapa bulan lepas dalam perjanjian pertukaran pemain dengan Alexis Sanchez berpindah ke Old Trafford.

Raiola memberitahu BBC Sport yang beliau tidak menghubungi Guardiola mengenai perkara ini tetapi tidak menafikan ada memberitahu Manchester City tentang pemainnya yang bersedia dilepaskan Manchester United.

Sumber dalaman United turut mendedahkan yang mereka tidak akan melepaskan Pogba pada pertengahan musim lalu dan tidak akan sekali-kali menjual beliau kepada Manchester City.

Dalam satu sidang media di Etihad menjelang pertemuan Manchester Derby malam ini, Guardiola telah diminta untuk memberikan komen mengenai satu kenyataan daripada Raiola yang menggelar beliau sebagai ‘anjing’ dan ‘penakut’ berdasarkan cara beliau melayan segelintir pemainnya.

“Dua bulan lepas, Raiola ada menawarkan saya Paul Pogba dan Henrikh Mkhitaryan untuk bermain dalam pasukan Manchester City.”

“Membandingkan saya dengan anjing adalah perkara yang buruk – ia tidak bagus. Raiola perlu menunjukkan hormat kepada anjing.”

Raiola masih berdendam dengan Pep mengenai layanan Pep terhadap Zlatan ketika di Barcelona dahulu

Pogba merupakan pemain penting buat Red Devils sejak menyertai kelab tersebut pada musim panas 2016. Walaubagaimanapun, musim ini menyaksikan tempat beliau dalam kesebelasan utama United terjejas dengan kehadiran pemain muda, Scott McTominay.

Kemuncaknya adalah ketika menentang Sevilla dalam pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah dimana Pogba dinamakan di bangku simpanan untuk kedua-dua perlawanan. Sevilla berjaya melakar sejarah dengan mencatatkan kemenangan 2-1 di Old Trafford sekali gus menendang keluar United dari pertandingan tersebut.

Guardiola turut enggan memberikan komen lebih lanjut apabila ditanya adakah beliau berminat untuk mendapatkan Pogba. Tetapi bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu menggambarkan Pogba sebagai pemain yang hebat dan berkualiti tinggi.

Guradiola turut mendakwa jika beliau berminat untuk mendapatkan Pogba, Manchester City tidak mempunyai wang cukup untuk merealisasikan perpindahan tersebut.

Antara anak ikan Raiola

“Kami tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membeli Pogba kerana beliau terlalu mahal.”

Ejen bolasepak tersohor, Mino Raiola merupakan nama yang tidak asing lagi dalam pasaran perpindahan pemain. Beliau merupakan ejen kepada beberapa pemain terkenal seperti Zlatan Ibrahimovic, Romelu Lukaku dan Mario Balotelli. Raiola dipetik berkata kepada BBC Sport:

“Saya tidak pernah bercakap dengan Pep Guardiola. Saya tidak akan bercakap dengannya mengenai pemain. Saya hanya bercakap dengan Manchester City. Mereka merupakan kelab yang fantastik dan turut mempunyai pengurus yang hebat.”

BACA:  Mourinho: Sanchez Bergelut Dengan Masalah Prestasi Kerana Kecederaan