Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata pasukan City kendaliannya belum boleh dibandingkan dengan Barcelona kerana mereka hanya baru memenangi 1 trofi sahaja setakat ini.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris ini hanya memerlukan 4 kemenangan sahaja dari baki 9 perlawanan dan kini selesa mendahului penghuni tangga ke-2, Manchester United dengan kelebihan 16 mata.
Hanya keajaiban sahaja yang mampu menghalang Guardiola dari mendakap trofi liga pertamanya di England. Ia bakal menjadi kejuaraan ke-3 liga buat Manchester City dalam masa 6 tahun. Musim ini menyaksikan anak buah Guardiola hanya melepaskan 9 mata sahaja kepada pihak lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Mereka baru sahaja dinobatkan sebagai juara Piala Carabao selepas mengenepikan cabaran Arsenal dua minggu lalu dengan kemenangan selesa 3-0, sebelum sekali lagi menewaskan lawan yang sama di Emirates dalam saingan Liga Perdana Inggeris, juga dengan jaringan yang sama.
Manchester City juga hanya selangkah dari memasuki peringkat suku akhir Liga Juara-Juara dimana mereka memiliki kelebihan 4-0 ke atas lawan mereka dari Switzerland, Basel. Perlawanan timbal balik akan berlangsung awal pagi esok di Etihad Stadium.
Walaubagaimanapun, Guardiola enggan terlalu mendabik dada dengan kejayaan pasukannya dan berkata Manchester City masih belum boleh dibandingkan dengan Barcelona yang pernah menguasai Eropah pada tahun 2009 dan 2011.
Dalam sidang media menjelang pertemuan menentang Basel awal pagi esok, Guardiola telah ditanya adakah pasukan Manchester City beliau berada pada tahap yang sama dengan Barcelona.
“Tidak. Pasukan Manchester City ini mempunyai pemain yang berlainan dan pemain Barcelona pada ketika itu telah memenangi banyak kejuaraan ketika saya mengambil alih pasukan.”
“Kebanyakan dari pemain saya sekarang tidak mempunyai sebarang trofi untuk ditunjukkan. Mereka masih baru. Mungkin sekarang kami boleh cakap yang kami telah mempunyai satu piala tetapi untuk dibandingkan dengan pasukan Barcelona pada era tersebut, tidak sama sekali.”
“Ia bukan perkara yang bagus untuk dibandingkan dengan Barcelona ketika itu. Mereka telah mendominasi Eropah sepanjang dekad yang lepas, mungkin 15 atau 20 tahun dengan pengurus yang berbeza dan pemain yang berlainan.”
“Mereka memenangi beberapa trofi setiap musim dan kami baru sahaja memenangi trofi kami yang pertama. Untuk diletakkan sebaris dengan pasukan sehebat Barcelona, kami perlu memenangi trofi secara konsisten selama bertahun-tahun.”
City akan menyambung aksi Liga Juara-Juara dengan menanti kunjungan Basel di gelanggang sendiri awal pagi esok, tetapi dilihat sudah selangkah berada di suku akhir kerana kelebihan 4 jaringan tanpa balas yang dimiliki mereka dalam perlawanan pertama.
Dalam peringkat domestik pula, Manchester City akan berkunjung ke Brittania Stadium Selasa ini untuk berhadapan dengan Stoke City yang berada di zon penyingkiran ketika ini.