Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata perebutan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris kini terbuka luas dan mendakwa ‘sesiapa’ sahaja mampu muncul juara berikutan kekalahan Manchester City di tangan Chelsea awal pagi tadi.
Dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam, rekod tanpa kalah The Citizens akhirnya berkecai di Stamford Bridge dengan Chelsea berjaya mencatatkan kemenangan selesa 2-0 di hadapan penyokong sendiri.
Jaringan N’Golo Kante pada penghujung babak pertama berjaya meletakkan Chelsea di hadapan walaupun Manchester City banyak menguasai perlawanan sebelum itu.
Babak kedua pula menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sehinggalah David Luiz berjaya menanduk masuk bola ke dalam gawang gol City menerusi satu sepakan penjuru.
Keputusan ini juga berjaya meletakkan Liverpool di tangga teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris selepas mereka berjaya membenam cabaran Bournemouth 4-0 di tempat lawan.
Chelsea menjadi pasukan pertama berjaya menewaskan Manchester City musim ini dalam saingan liga dan menamatkan rentetan rekod tanpa kalah 22 perlawanan skuad Guardiola yang bermula sejak kekalahan di tangan Manchester United hujung musim lepas.
Dalam sidang media selepas tamat perlawanan, Guardiola telah ditanya mengenai perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
“Kita masih lagi berada dalam bulan Disember. Jika anda tanya saya adakah Liverpool mampu memenangi Liga Perdana Inggeris, saya akan berkata ya.”
“Dan jika anda bertanya mengenai peluang Chelsea, Tottenham, dan Arsenal untuk memenangi liga, saya juga akan berkata ya. Semua pasukan mampu untuk memenangi Liga Perdana Inggeris.”
Jika menurut logik Guardiola, pasukan Setan Merah masih lagi mempunyai peluang untuk memenangi liga musim ini walaupun 16 mata ditinggalkan Liverpool. Sungguh murni hati mu Pep kerana tahu menjaga hati peminat Setan Merah.
Sebelum ini, kedengaran cakap-cakap sesetengah pihak yang mendakwa Manchester City mampu mengharungi musim ini tanpa mengalami sebarang kekalahan seterus menyamai pencapaian skuad ‘Invincibles’ Arsenal pada musim 2003/2004.
Guardiola mengulangi pendiriannya sebelum ini yang mendakwa Manchester City tidak akan mampu mengharungi musim tanpa sebarang kekalahan.
“Semua orang selalu tanya saya soalan tersebut. Musim lepas soalan ini juga diajukan pada waktu yang sama seperti sekarang. Saya beritahu ia tidak akan berlaku.”
“Semalam wartawan juga ada bertanya dalam sidang media dan sekali lagi saya beritahu yang ia tidak akan berlaku. Kami bukan berada di sini untuk menjadi ‘invincibles’, kami berada di sini untuk cuba menjadi juara. Dan cuba untuk mencari satu mata lebih banyak dari pasukan lawan.”
“Ini merupakan sebahagian daripada pertandingan, anda juga akan kalah. Tetapi paling penting adalah bagaimana anda tewas.”
“Adakah kami bermain seperti biasa ? Ya. Kami mendominasi bola seperti Chelsea, dan mencipta beberapa peluang.”