Guardiola: Manchester City Tidak Akan Letih Kerana Memiliki Skuad Yang Besar

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menolak sebarang andaian yang mengatakan skuad Manchester City kini keletihan dan bakal mengakhiri rentetan kemenangan mereka tidak lama lagi.

Dengan Manchester City sedang selesa mendahului carta Liga Perdana Inggeris ketika ini, Guardiola menegaskan faktor keletihan tidak akan menjadi satu isu buat pasukannya kerana penggiliran pemain yang dilakukannya ketika ini.

Pemain City tidak letih

City kini mempunyai kelebihan 13 mata di hadapan pencabar terdekat mereka iaitu Manchester United selepas memenangi 18 dari 19 perlawanan liga setakat ini. Mereka juga berjaya menjaringkan 60 gol setakat ini dalam saingan liga dan ianya adalah satu jumlah yang amat menakjubkan.

Oleh kerana Guardiola menekankan pasukannya supaya beraksi dengan penuh tenaga, terdapat kerisauan mengenai tahap kecergasan beberapa pemain utama City, ditambah pula jadual perlawanan yang sibuk sempena perayaan Krismas bakal mereka hadapi tidak lama lagi.

Walaubagaimanapun, Guardiola tidak melihat itu sebagai satu isu utama kerana percaya skuadnya mempunyai kualiti yang cukup untuk menghadapi jadual perlawanan yang sibuk selepas ini.

“Saya tidak rasa keletihan akan berlaku. Mungkin juga ia bakal berlaku tetapi kami mempunyai skuad yang cukup bagus. Gabriel Jesus tidak bermain ketika menentang Bournemouth.”

“Beliau bermain selama 120 minit ketika menentang Leicester dan beliau adalah pemain paling kuat berjuang menekan pertahanan lawan yang saya pernah lihat. Beliau banyak membantu pasukan dengan intensiti yang dimilikinya.”

Newcastle mangsa kami seterusnya

“Danilo, Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan telah banyak membantu pasukan ketika menentang Bournemouth. Kami juga mempunyai Yaya Toure. Pada perlawanan terakhir kami, Oleksandr Zinchenko adalah pemain terbaik perlawanan dan beliau tidak berada dalam skuad ketika menentang Bournemouth.”

“Sudah pasti saya akan menggilirkan pemain sepanjang musim perayaan ini. Kami bakal bermain perlawanan setiap empat hari. Semua pemain yang pernah bermain pada masa lepas akan bermain pada masa hadapan.”

Manchester City bakal membuat kunjungan ke St. James Park untuk berhadapan Newcastle United yang kini dibimbing Rafa Benitez. Guardiola dengan penuh keyakinan berkata pasukannya mampu meneruskan rekod kemenangan mereka.

“Saya memiliki skuad yang bagus ketika di Barcelona, Bayern Munich dan kini di Manchester City. Saya berjaya meyakinkan pemain saya yang bermain dengan aggresif dan menyerang adalah suatu perkara yang bagus untuk pasukan.”

BACA:  Zabaleta Kesian Tengok Rashford & Martial Sentiasa Turun Bertahan