Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan Manchester City tidak akan berjaya mengharungi musim ini tanpa sebarang kekalahan dan mengakui pasukannya akan kalah pada satu ketika.
Bekas pengurus Bayern Munich dan Barcelona ini turut memberitahu permulaan cemerlang yang dicatatkan Manchester City adalah satu perkara yang lain dari biasa dan prestasi tersebut tidak akan dapat dikekalkan sehingga musim ini tamat.
Pada perlawanan terakhir The Citizens, mereka telah berjaya memecahkan rekod kemenangan secara berturut-turut Liga Perdana Inggeris yang selama ini dipegang Arsenal iaitu sebanyak 14 perlawanan.
City berjaya memenangi perlawanan ke-15 mereka selepas membelasah Swansea 4-0 gi gelanggang lawan. Keputusan itu juga mengekalkan kelebihan 11 mata yang dimiliki mereka ke atas pencabar terdekat, Manchester United yang turut mencatat kemenangan beberapa hari lalu.
Permainan yang dipamerkan anak buah Guardiola dalam perlawanan tersebut amat menakjubkan dan mereka akan menyambung aksi liga dengan melayan kunjungan Tottenham Hotspurs di Etihad hujung minggu ini.
Guardiola dalam sidang media menjelang pertemuan menentang Spurs memberitahu City tidak akan dapat mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga penghujung musim ini. Beliau mendakwa persaingan sengit antara pasukan atasan dan bilangan perlawanan yang banyak membuatkan pencapaian ‘Invincibles’ amat sukar untuk dilakukan hari ini.
“Ia [Invincibles] tidak akan berlaku kepada kami. Pencapaian tersebut adalah hak milik Arsene Wenger dan skuad Arsenal pada tahun 2004. Kami akan mengalami kekalahan. Bolasepak hari ini amat berbeza dari segi intensiti dan bilangan perlawanan. Prestasi semasa pasukan ketika ini mungkin satu perkara yang tidak akan berlaku lagi. Apa yang kami lakukan ketika ini [memenangi perlawanan 15 kali berturut-turut] bukanlah normal.”
“Kami gembira ketika ini dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan rekod ini selama yang mungkin. Akan tetapi, setiap pasukan bolasepak akan kalah pada suatu ketika.”
Dalam perkembangan lain, Guardiola memberitahu pihak media kapten Manhcester City, Vincent Kompany tidak akan beraksi dalam perlawanan menentang Spurs kerana masih lagi belum cergas sepenuhnya. Kompany semakin pulih dari kecederaan yang dialaminya dan Guardiola berkata beliau tidak akan mengambil sebarang risiko untuk menurunkan pemain ini dalam masa yang terdekat.
“Kecederaan Kompany semakin pulih. Tetapi masih lagi ada masalah yang sangat,sangat kecil. Saya tidak tahu sama ada beliau sempat sembuh atau tidak untuk perlawanan Spurs tetapi saya berharap beliau akan kembali dalam pasukan untuk perlawanan seterus ini.”