Pengurus Manchester City, Pep Guardiola telah memberi amaran kepada pasukannya mengenai ancaman Manchester United dalam perebutan untuk menjadi juara Liga Perdana Inggeris sekiranya mereka tewas lagi selepas ini.
City hanya memerlukan 5 mata dari baki 6 perlawanan bagi mengesahkan status mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini. Walaubagaimanapun, City perlu berhadapan cabaran sukar dari Tottenham Hotspurs hujung minggu ini di Wembley Stadium dalam usaha mereka mendapatkan 3 mata.
Anak buah Guardiola berkunjung ke Wembley dalam keadaaan goyah selepas tewas 3 perlawanan berturut-turut sebelum in. Ia bermula dengan kekalahan 3-0 di tangan Liverpool dalam Liga Juara-Juara disusuli dengan kekalahan 3-2 di tangan Manchester United hujung minggu lalu di hadapan penyokong sendiri.
Dalam perlawanan timbal balik Liga Juara-Juara, mereka disingkirkan dari kejohanan selepas Liverpool mencatatkan kemenangan 2-1 di Etihad untuk menjadikan aggregat 5-1.
Ketika bercakap kepada wartawan menjelang pertemuan penting menentang Spurs, Guardiola tidak menolak kemungkinan pasukannya akan tewas sekali lagi dan memberi contoh apa yang telah berlaku di La Liga dan NBA untuk menyokong dakwaannya itu.
“Ia masih boleh berlaku [terlepas gelaran juara liga]. Bolasepak adalah sukan yang dimainkan dengan emosi. Apa yang mampu kami lakukan sekarang adalah fokus untuk menang di Tottenham dan kemudian Swansea.”
“Ramai berkata kami sudah mengesahkan gelaran juara liga sejak bulan November, Disember lagi. Ada pengulas sukan berkata kami telah memenangi liga pada bulan November, dan mustahil untuk kami terlepas mata. Tetapi dalam masa seminggu, segalanya berubah apabila kami tewas sebanyak 3 kali.”
“Kami mampu memenangi 2 perlawanan untuk mengesahkan gelaran juara dan itu yang akan kami lakukan. Kami berjaya menangani tekanan dengan baik sepanjang musim, bukan hanya ketika waktu ini sahaja.”
“Menangani tekanan pada penghujung musim adalah baik untuk masa depan pasukan ini. Kami perlu menangani tekanan ini dengan baik.”
“Jika kami tidak mampu melakukannya dengan baik, dan Manchester United berjaya muncul juara Liga Perdana Inggeris, perkara pertama yang akan kami lakukan adalah mengucapkan tahniah kepada mereka.”
“Sudah tentu ia boleh berlaku [United muncul juara liga], saya beri jaminan. Beberapa tahun yang lepas, Real Madrid tewas 6 perlawanan berturut-turut dan mereka gagal memenangi liga. Ia boleh berlaku. Pemain saya tahu mengenai perkara ini dan saya tidak perlu mengingatkan mereka.”
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah NBA pasukan berjaya bangkit daripada ketinggalan 3-1 dalam aksi Final. Setahun yang lepas, Cavaliers berjaya melakukannya dengan menewaskan Golden State Warriors 4-3, selepas menang 3 perlawanan berturut-turut.”
“Segalanya terletak di tangan kami sendiri dan itu adalah kelebihan kepada kami. Jika kami tewas, kami akan melakukannya sama seperti kami tewas ketika bertemu Manchester United dan Liverpool. Tahniah kepada pasukan lawan sekiranya mereka menewaskan City.”