Guardiola Pernah Ditolak Wigan Kerana Tidak Cukup Bagus

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mendedahkan beliau hampir menyertai Wigan ketika masih bergelar pemain bolasepak, tetapi pengurusan kelab menganggap Guardiola tidak cukup bagus untuk bermain dengan Wigan.

Hari ini, Guardiola dianggap salah seorang pengurus terbaik dalam dunia bolasepak dan turut mempunyai karier yang bagus sebagai seorang pemain, dimana beliau bermain sebanyak 250 perlawanan untuk Barcelona.

Tidak cukup bagus punca Guardiola tidak dapat beraksi di England

Pada tahun 2005, ketika Guardiola masih lagi bergelar pemain dan tidak mempunyai sebarang kelab, beliau telah dikaitkan dengan perpindahan ke Wigan. Wigan pada masa itu merupakan pasukan baru dalam Liga Perdana Inggeris dan perbincangan telah diadakan untuk membawa Guardiola ke DW Stadium.

Guardiola akan bertandang ke Wigan dalam pusingan ke-5 Piala FA awal pagi Selasa, dalam misi Manchester City untuk merangkul ‘quadruple’ musim ini.

Dalam sidang media menjelang pertemuan tersebut, Guardiola telah ditanya adakah beliau pernah menerima tawaran untuk bermain dengan Wigan suatu masa dahulu.

Wigan tidak mahu ayam tua, ujar Guardiola

“Benar, Ia berlaku beberapa tahun yang lepas. Sebenarnya, saya tidak cukup bagus buat mereka. Ketika itu, saya sudah tua.”

“Saya cuba untuk datang bermain di England tetapi malangnya, tidak dapat. Perkara yang sama berlaku ketika saya cuba untuk bermain dengan Manchester City, untuk bermain dibawah Stuart Pearce. Mereka sangat bijak ! Saya tidak cukup bagus buat mereka.”

Mengenai pasukannya untuk berhadapan dengan Wigan, Guardiola mengesahkan Claudio Bravo akan menjaga gawang The Citizens dalam perlawanan tersebut, dan bukannya penjaga gol utama, Ederson.

Jasa Bravo dikenang Guardiola

“Claudio Bravo akan bermain. Kami berjaya mara ke final Piala Carabao kerana beliau. Saya tidak boleh lupakan jasa beliau menyelamatkan kami dalam dua penentuan penalti.”

“Semuanya bergantung pada persembahan dan kualiti pemain yang ada, tetapi untuk pertandingan ini [Piala FA dan Piala Carabao], Bravo yang akan bermain.”

“Di kelab besar, kamu memerlukan dua penjaga gol yang berkualiti tinggi kerana kamu tidak akan dapat bertahan dengan hanya mempunyai satu penjaga gol. Apa yang akan berlaku kepada pasukan jika penjaga gol utama cedera atau digantung dan penjaga gol kedua tidak berada pada tahap yang sepatutnya?”

“Semua kelab besar akan bermain dalam beberapa pertandingan dan mereka memerlukan dua penjaga gol yang bagus.”

BACA:  Pep Anggap Kelebihan 14 Mata City Miliki Sebelum Ini Sebenarnya Palsu