Guardiola ‘Terkejut’ Melihat United Masih Belum Bergelar Pencabar Utama Liga

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui beliau masih lagi ‘terkejut’ dengan kegagalan Manchester United memberikan saingan dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak beliau tiba di England tiga tahun yang lalu.

Bekas pengurus Bayern Munich dan Barcelona itu menyertai The Citizens pada tahun 2016 dan sejak itu, Red Devils hanya mampu menduduki ‘Top 4’ sekali sahaja iaitu tempat ke-2 pada tahun 2018, 19 mata di belakang Manchester City yang muncul juara pada tahun tersebut.

Xpayah terkejut sangat la Pep.. Setan Merah bukan lagi sebuah pasukan yang hebat sejak pemergian Sir Alex

Manchester United akan bertandang ke Etihad Stadium dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Ahad ini dan mereka dianggap sebagai pasukan ‘underdog’ walaupun baru sahaja mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Tottenham Hotspurs beberapa hari lalu yang kini dibimbing bekas pengendali kelab tersebut, Jose Mourinho.

Guardiola nyata berjaga-jaga dengan ancaman yang dibawa oleh anak buah Ole Gunnar Solskjaer dan memberi amaran mengenai keupayaan United terutamanya ketika melancarkan ‘counter-attack’ menjelang derby Manchester pertama musim ini.

Walaupun Manchester United bergelut dengan masalah prestasi musim ini, Guardiola mengakui apa sahaja boleh berlaku malam nanti dan berharap anak buahnya kekal fokus dalam misi mengutip 3 mata penuh seterusnya mengejar penghuni tangga teratas, Liverpool yang kini 11 mata meninggalkan mereka.

Dua-dua laju macam pelesit… Lingard terkecuali

“Saya membayangkan yang kami [Manchester City] adalah pasukan yang lebih bagus dari mereka. Sepanjang saya berada di sini, pasukan saya sentiasa lebih baik daripada mereka.” Beritahu Guardiola.

“Pada penghujung musim, kutipa mata kami menjadi bukti kepada perkara tersebut,  dan tahap konsistensi yang ditunjukkan kami adalah menakjubkan.”

“Saya juga terperanjat dengan kegagalan United memberikan cabaran dalam saingan liga. Tetapi dalam perlawanan derby seperti ini, apa sahaja boleh berlaku.”

“Saya bukan berada di sini untuk menilai keputusan atau jurang antara pasukan pada masa kini dan lepas. Tumpuan saya hanya pada perlawanan malam esok dan saya akan cuba untuk menewaskan mereka.”

Walaupun bergelut dengan masalah prestasi, Manchester United di bawah bimbingan Solskjaer mempunyai rekod yang agak baik apabila berhadapan dengan pasukan ‘Top 6’. Mereka berjaya menewaskan Chelsea, Spurs, dan Leicester dan muncul satu-satunya pasukan setakat ini yang berjaya mencuri 1 mata daripada Liverpool.

Adakah United mampu mengikut jejak langkah Newcastle yang berjaya mencuri mata dari Man City minggu lalu?

Guardiola percaya United akan menerapkan permainan ‘counter-attack’ ketika berkunjung ke Etihad malam nanti dan memberi amaran kepada pemainnya supaya berjaga-jaga dengan kepantasan Marcus Rashford dan Daniel James.

“Sudah jelas mereka adalah pasukan ‘counter-attack’. Mereka menekan dari atas dan juga aggresif. Apabila mereka bertahan dari bawah, mereka mampu melancarkan serangan pantas melalui James dan Rashford. Mereka agak klinikal dan pandai menggunakan ruang yang ada untuk membuat larian.”

BACA:  Zinedine Zidane Tak Minat Untuk Sertai Manchester United