Guardiola Umumkan Tarikh Perpisahannya Bersama Manchester City

Pengurus yang paling hebat dalam arena bola sepak moden, Joseph Guardiola, telah  mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Manchester City sebaik sahaja kontraknya bersama juara England itu tamat dan ingin menyatakan hasratnya untuk berehat daripada saingan Liga Perdana Inggeris yang disebutnya sangat memenatkan.

Guardiola yang kini berusia 50 tahun, telah menandantangani kontrak baru pada bulan November tahun lalu dan akan kekal di Ettihad sehingga penghujung musim 2022-23.

Pada waktu tersebut, pengurus yang telah memenangi pelbagai kejuaraan ini bakal melengkapkan tempoh selama tujuh tahun bersama kelab tersebut – tempoh yang paling lama buat Guardiola di satu-satu kelab.

Guardiola menyatakan bahawa dia perlu mengambil rehat daripada saingan liga yang memerlukan tumpuan sepenuhnya dan pada masa yang sama turut berkongsi hasratnya untuk bertanding di peringkat pasuka kebangsaan – satu kebanggaan yang tinggi buatnya, ketika ditanya oleh XP Investimentos pada hari Rabu.

Ketika ditanya ke mana hala tujunya selepas City, dia menjawab;

“Pasukan kebangsaan, ya. Langkah selepas ini adalah pasukan kebangsaan, kalau ada peluang. Pasukan kebangsaan adalah destinasi berikutnya.

“Aku kena berehat selepas tujuh tahun (di City). Aku kena berhenti dan melihat, belajar daripada jurulatih lain, dan mungkin ambil jalan tu.

“Aku macam minat nak melatih pasukan untuk Kejohanan Eropah, atau Copa America atau Piala Dunia.”

Sebelum tiba menjadikan City sebagai pasukan yang cukup dominan di persada bola sepak Inggeris, Guardiola pernah melatih pasukan Barcelona selama empat musim, dan kemudiannya Bayern Munich selama tiga musim.

Menjadi jurulatih Barcelona selepas dinaikkan pangkat dari pasukan B kelab tersebut, Guardiola telah menekankan gaya permainan yang dipanggil tiki-taka yang mampu membuatkan para pemain lawan berteka-teki untuk mengekang pasukannya.

Dia juga tidak takut untuk menjual pemain senior seperti Ronaldinho, Samuel Eto’o dan juga Zlatan Ibrahimovic jika mereka gagal bermain dengan sistem yang ingin digunakannya.

Dalam musim pertamanya sebagai jurulatih pasukan senior kelab Catalan tersebut, Guardiola telah menempa sejarah di mana dia berjaya membawa Barcelona memenangi kejayaan trebel di mana mereka telah muncul juara La Liga, Copa Del Rey dan juga menumpaskan Manchester United dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA.

Pada tahun 2011, dia sekali lagi hampir berjaya membawa Barcelona mencatatkan kejuaraan trebel selepas berjaya memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara, namun dalam perlawanan akhir Copa Del Rey, pasukannya tewas kepada Real Madrid.

Selepas empat tahun dan memenangi 14 piala bersama Barcelona, Guardiola memutuskan untuk berehat daripada arena kejurulatihan selama setahun, sebelum kembali menjadi jurulatih bersama kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Bersama Bayern selama tiga musim, Guardiola telah memenangi liga dalam setiap musim dan mencipta tujuh kejuaraan secara total. Pun begitu, dia tidak berjaya membawa pasukan tersebut menjulang piala paling berprestij di Eropah, Liga Juara-Juara.

Selepas Bayern, Guardiola menerima lamaran daripada Manchester City dan menjadi pengurus kelab tersebut. Sejak kelab ini diambil alih oleh seorang Pak Arab yang dikenali sebagai Sheikh Mansour, Guardiola muncul sebagai pengurus yang paling lama kekal di kerusi tersebut.

Dia telah berjaya membawa kelab yang berpangkalan di Ettihad tersebut memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim 2017-18, 2018-19 dan 2020-21. Selepas berkali mencuba, dia akhirnya berjaya membawa City mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA pada musim lalu, namun sayang mereka dikecewakan oleh seteru domestik, Chelsea 1-0 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Porto.

Setakat ini, dia telah memenangi 10 piala bersama The Citizens, termasuk dua Perisai Masyarakat.

Pada musim ini, pasukannya dilihat antara calon utama untuk memenangi liga, sambil disaingi oleh Chelsea, Liverpool dan Manchester United. Dengan pertambahan pemain baru, Jack Grealish, City dilihat mempunyai rangkaian serangan yang menakutkan pihak lawan.

Mampukah Guardiola memenangi Liga Juara-Juara bersama pasukan selain Barcelona pada musim ini? Tengok je la ek.

Sumber berita : Mirror

BACA:  Jesus Kecewa Tidak Dibenarkan Mengambil Sepakan Penalti