Gusti Professional – Sukan Yang Semakin Berkembang di Malaysia

Bila kita membuka cerita berkenaan gusti professional, pasti watak-watak klasik era WWF seperti Hulk Hogan, The Ultimate Warrior, Ranny The Kuloop, Sting, Giant, Undertaker, Jimmy Snuka, Macho Man, Mankind, Paul Pogba, Dudely Guys  dan Goldust pasti menerpa ingatan kita.

Kemudian zaman mereka disambung pula oleh Stone Cold Steve Austin, Chris Benoit, Kane, The Rock, Randy Orton, Triple H, Booker T- setiap Khamis malam jumaat di TV3, sehinggalah jagoan terkini seperti John Cena, Chris Jericho, Sheamus, Kevin Owens, AJ Styles, Jamal Pak Tongkol, Dean Ambrose dan ramai lagi.

Sebenarnya tidak ramai yang tahu dan ambil tahu tentang kewujudan penggusti professional di negara kita, Malaysia.

Bernaung di bawah Malaysia Pro Wrestling (MYPW), para penggusti professional ini sering mengadakan pertandingan untuk merebut tali pinggang kejuaraan seperti mana yang dilakukan di negara luar.

MYPW ditubuhkan pada tahun 2014 oleh Ayez Shaukat Fonseka, atau lebih dikenali sebagai Shaukat, yang juga merupakan bekas pelakon aksi atau dalam bahasa orang putihnya stuntman untuk industri drama dan filem Malaysia dan pada awalnya, MYPW ibarat sekolah khas buat mereka yang berminat dengan sukan gusti di mana mereka dilatih oleh Shaukat sendiri.

Logo rasmi Malaysia Pro Wrestling

Dengan bayaran yuran yang minimum, para pelajar diajar dan diasah segala teknik asas dan ansur maju ke teknik yang lebih kompleks. Kalau di Amerika penggusti mereka terbang, melompat, melibas dan menerkam, begitu juga penggusti Malaysia ini.

Walaupun berbayar, MYPW tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan gelaran ‘Penggusti Professional’ sewenang-wenangnya seperti kolej-kolej swasta menganugerahkan ijazah sarjana muda kepada pelajar mereka. Para pelajar akan diajar dan dinilai dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan kemudian mereka akan ditentukan sama ada akan diterima sebagai penggusti professional atau tidak.

Para pelajar di MYPW diajar dan dilatih dengan syarat dan disiplin yang tinggi dan setiap pelajar diletakkan Key Perfomance Index(KPI) yang perlu dipenuhi.

Hari ini, selepas hampir tiga tahun penubuhan MYPW, sekurang-kurangnya 27 orang penggusti professional berdaftar dengan badan ini dan lebih menarik lagi, ada penggusti yang baru berusia 15 tahun!

Antara penggusti-penggusti yang lahir daripada program MYPW ini ialah The Kid, Serigala, Baki, Gotham, Double K, Razza dan tidak lupa Shaukat sendiri. Tidak lupa juga penggusti wanita yang tidak kurang lincahnya seperti Phoenix dan Poppy.

Kalau kena libas dengan penggusti wanita ni tak kurang senaknya.

Antara pertandingan yang pernah dianjurkan ialah MYPW Uprising, Resistance, WrestleCon dan terbaru yang akan diadakan pada 28 Januari ini ialah Reckoning.

Ada yang berkata bahawa gusti professional ini sebenarnya satu penipuan untuk menarik penonton. Sebenarnya pernyataan ini tidak benar.

Jika kita lihat WWE, mereka mempunyai jalan cerita yang sangat panjang sehinggakan Stone Cold pun dah dapat cucu tetapi ketika mereka berlawan, mereka berlawan secara serius. Mereka melompat, terbang, menerajang, mencekik dan membidas lawan dengan teknik hasil daripada latihan yang cukup keras.

Lagi pula, jika kita saksikan pertandingan gusti ini di depan mata, kita akan dapat saksikan aksi-aksi yang ‘real’ bak kata orang putih. Jadi, bersempena dengan acara Reckoning pada 28 Januari 2017 nanti, The Sukan mengajak para sahabat The Sukan untuk sama-sama memeriahkan lagi acara dengan sorakan gemuruh buat para penggusti professional.

Acara Reckoning nanti bakal menampilkan penggusti-penggusti dari Singapura, Filipina, Thailand dan Iran! Nak tengok anak Malaysia bantai Pak Arab kat mana lagi selain di Reckoning!

Selain untuk tontonan penonton, scout dari luar negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah juga bakal berada di Reckoning untuk mengenal pasti bakat-bakat dari Malaysia untuk dibawa ke negara mereka.

Nanti 5 tahun nanti, kalau kita tengok The Kid bertempur dengan John Cena, pasti kita akan berkata, “Aku ingat lagi masa dia umur 15 tahun dulu…..”

Baca Juga

Baca Juga