Haaland Dianggap Bukan Pemain Berkelas Dunia Dan Tak Setaraf Dengan Kylian Mbappe

Salah seorang legenda Borussia Dortmund menganggap Erling Haaland masih belum berada di tahap pemain berkelas dunia, walaupun beliau mempunyai rekod jaringan yang luar biasa.

Haaland merupakan produk paling hangat pada jendela perpindahan musim panas ini, selepas beliau mengharungi musim yang sungguh menakjubkan pada musim lalu.

Beliau berjaya menjaringkan 41 gol dalam semua pertandingan musim lalu bersama Borussia Dortmund, dengan Haaland ketika ini menjadi rebutan kelab-kelab gergasi dunia bola sepak.

Chelsea dikatakan antara pasukan paling berminat untuk menandatangani bintang berusia 21 tahun itu pada jendela perpindahan musim panas ini.

Thomas Tuchel mahukan penyerang berkelas dunia sebagai keutamaan beliau untuk ditandatangani musim panas ini, sebagai persiapan untuk menghadapi saingan musim hadapan.

Beliau merasakan kehadiran Erling Haaland akan membantunya untuk mencapai lebih banyak kejayaan dengan beliau telah membantu The Blues menjuarai Champions League musim lalu.

Walau bagaimanapun, menurut Jurgen Kohler, bintang Norway itu masih belum berada di tahap sebagai pemain berkelas dunia, dan beliau percaya Kylian Mbappe lebih berpotensi berbanding Haaland.

Bercakap tentang Haaland, Kohler menjelaskan kepada Goal bahawa:

“Dia masih belum boleh dianggap sebagai pemain berkelas dunia. Dia hanya seorang top striker dan mempunyai kesemua skill untuk menjaringkan gol, tapi dia masih perlu buktikan sesuatu.”

“Dia masih kekurangan beberapa ciri tambahan tertentu. Di usia 21 tahun, dia sudah sampai tahap yang agak jauh.”

“Itu luar biasa. Saya yakin yang dia akan sentiasa mencari cara untuk kekalkan momentum dia dan dia tak akan berhenti. Dengan pengalaman, dia akan jadi pemain berkelas dunia.”

Legenda berusia 55 tahun itu pernah memenangi gelaran Champions League ketika kariernya bersama Borussia Dortmund, dan beliau selain menganggap Haaland bukan pemain berkelas dunia, beliau turut membandingkannya dengan Kylian Mbappe.

Kohler mendakwa yang bintang Paris Saint Germain, Kylian Mbappe mempunyai potensi yang jauh lebih besar dan layak untuk dianggap sebagai pemain berkelas dunia.

“Kylian Mbappe mempunyai potensi yang paling menakjubkan.”

“Saya melihat dia lebih kepada pemain bola sepak berkelas dunia, kerana dia tidak hanya bergantung kepada kelajuan.”

“Apa lagi dia lakukan? Rembatan kencang, kawalan rembatan, Mbappe tak pernah melakukan sesuatu dengan terburu-buru.”

Walau bagaimanapun, sepertinya dakwaan Kohler tidak boleh begitu diguna pakai kerana menolak Haaland sebagai pemain berkelas dunia kerana beberapa hal tertentu, antaranya pengalaman.

Namun beliau menganggap Mbappe sebagai pemain berkelas dunia kerana tidak hanya bergantung kepada kelajuan dan tidak membuat keputusan secara terburu-buru.

Haaland tak dinafikan antara mesin pencetak gol terhebat dunia pada ketika ini

Hakikat yang pasti, kelebihan yang beliau anggap ada pada Mbappe sebenarnya juga ada pada Haaland, namun mengapa beliau menafikan itu?

Haaland terkenal dengan kemampuan beliau untuk menjaringkan gol dan bukan hanya kerana kepantasan lariannya.

Beliau bukan hanya cemerlang ketika beraksi bersama Dortmund, bahkan sejak dari ketika kariernya bersama RB Salzburg lagi Haaland sudah mencuri perhatian peminat.

Lihat saja rekod jaringan beliau dalam saingan Champions League, ia sudah cukup untuk membuktikan yang Erling Haaland selayaknya untuk dianggap sebagai pemain berkelas dunia.

Apa yang pasti, kedua-dua Haaland dan Kylian Mbappe merupakan pemain yang bakal memimpin dunia bola sepak selepas ini, dan tidak keterlaluan untuk katakan mereka berdua bakal menggantikan perseteruan Ronaldo dan Messi.

Jadi andai Kohler perdebatkan siapa lebih hebat ia boleh diterima, namun bila beliau terus menganggap Haaland sebagai pemain bukan berkelas dunia, dan membandingkannya dengan Mbappe, ia agak sedikit tidak adil.

Sumber: SPORTbible

Goal

BACA:  PSG Didakwa Sengaja Sensasikan Berita Mbappe Ke Barcelona Untuk Buat Real Madrid Cuak