Haiqal Hanafi Calon Pengganti Saat Akhir Yang Membutirkan Emas

Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu, itulah perumpamaan yang tepat buat Raja Pecut Asia Tenggara yang baru, Muhammad Haiqal Hanafi yang menjadi calon pengganti saat akhir bagi acara 100 meter.

Semua orang tahu dan ayam yang bertuah nampak dikaki juga mungkin sudah tahu bahawa Muhammad Haiqal Hanafi telah berjaya meraih pingat emas dalam acara lari pecut 100 meter lelaki di Sukan SEA 2019 yang berlangsung di Filipina.

Muhammad Haiqal Hanafi berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA dalam acara lari pecut 100 meter lelaki yang sebelum ini menjadi milik Khairul Hafiz Jantan pada Sukan SEA 2017.

Sejarah tercipta

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Khairul Hafiz Jantan tidak dapat mempertahankan gelarannya tahun ini apabila tidak melepasi had kelayakan dan gagal mendapat prestasi terbaiknya selepas kembali daripada kecederaan panjang.

Pada mulanya Muhammad Haiqal Hanafi dibawa ke Sukan SEA 2019 untuk acara 4×100 meter bersama Zulfiqar Ismail, Khairul Hafiz Jantan dan Nixon Kennedy dan 4 pelari ini gagal melepasi had kelayakan untuk ke Sukan SEA.

Keempat-empat pelari ini disenaraikan dalam kategori B.

Hanya Jonathan Nyepa sahaja yang berjaya melepasi had kelayakan dan mengisi satu daripada dua slot untuk acara 100 meter dan selepas itu satu lagi slot itu diberikan kepada Zulfiqar Ismail.

Pada 22 November 2019, ketika Sukan SEA akan bermula secara rasmi kurang beberapa hari, Zulfiqar Ismail telah digugurkan pada saat akhir bagi acara 100 meter lelaki kerana kecederaan paha masih belum pulih.

Muhammad Haiqal Hanafi yang mempunyai catatan masa yang lebih baik berbanding Khairul Hafiz Jantan dan Nixon Kennedy telah dipilih sebagai calon pengganti saat akhir dan peluang ini digunakan sebaiknya.

Zulfiqar Ismail nyata kecewa dengan pengguguran saat akhir beliau dan menegaskan bahawa beliau sudah pulih daripada kecederaan yang dialami pada bulan September dan bersedia untuk berlumba.

Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad telah mempersoalkan tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kerana menggugurkan Zulfiqar Ismai.

Namun pada tanggal 8 Disember 2019, Muhammad Haiqal Hanafi telah membuktikan beliau calon pengganti yang memikul tugas diberikan dengan cemerlang walaupun tidak diletakkan harapan pingat.

Dalam acara 100 meter ini, Jonathan Nyepa disebut-sebut sebagai prospek utama pingat negara namun kejutan telah dilakarkan oleh Muhammad Haiqal Hanafi.

Jonathan Nyepa menamatkan saingan diperingkat akhir hanya dikedudukan ke-4.

Harapan emas di Sukan SEA 2019 Filipina untuk Muhammad Haiqal Hanafi raih mula bersinar selepas beliau mencatatkan masa kedua terpantas di pusingan saringan dengan catatan masa 10.39 saat.

Stadium Olahraga New Clark City, menyaksikan Muhammad Haiqal Hanafi muncul juara acara lari pecut 100 meter dengan satu kemenangan yang selesa dengan catatan masa 10.35 saat.

Permulaan dan lonjakkan yang begitu baik daripada Muhammad Haiqal Hanafi ketika memulakan perlumbaan sebelum beliau meneruskan momentum larian meninggalkan pelari lain dengan begitu selesa.

Ruttanapon Sowan dari Thailand merupakan pesaing utama dan pelari yang dijangkakan akan meraih pingat namun akhirnya ditapau Muhammad Haiqal Hanafi.

Pelari pecut Thailand itu mencatatkan masa terbaik ketika peringkat saringan dengan catatan masa 10.35 saat namun gagal mengekalkan rentak larian di pusingan akhir.

1. Muhammad Haiqal Hanafi – 10.35 saat
2. Cpl. Ruttanapon Sowan – 10.49 saat
3. Lacn Bandit Chuangchai – 10.52 saat
4. Jonatha Nyepa – 10.60 saat

Baca Juga

Baca Juga