Manchester City menyambut kedatangan Claudio Echeverri dengan penuh keterujaan.
Pemain berusia 19 tahun itu merupakan kapten pasukan Argentina yang muncul naib juara Kejohanan Bawah-20 Amerika Selatan pada bulan lalu. Dengan 6 gol sepanjang kejohanan dia mendapat perhatian yang sewajarnya.
Pada minggu lalu Echeverri terus menyertai sesi latihan bersama skuad utama kendalian Pep Guardiola dan akan menghabiskan baki musim ini di Manchester. Namun, ia tidak bermakna dia akan terus mendapat peluang dalam pasukan utama.
“Dia tiba semalam dan dia ada kemahiran yang baik,” kata Guardiola pada hari Jumaat. “Selamat datang, kami akan melihat perkembangannya. Saya tidak tahu bila dia akan bermain kerana ini adalah bahagian penting musim ini, setiap perlawanan adalah seperti final.”
Guardiola kemudian terus bercakap mengenai perlawanan menentang Nottingham Forest dan Brighton & Hove Albion, menunjukkan betapa sukarnya untuk pemain baharu menyesuaikan diri dengan segera.
“Kita perlu fokus,” tambahnya. “Kami ada beberapa minggu latihan, semua orang perlu memberi tumpuan sepenuhnya.”
Beberapa hari sebelumnya, Guardiola menyatakan bahawa Echeverri mungkin akan diturunkan “mungkin pada penghujung musim, mungkin semasa Piala Dunia Kelab”. Jadi, kemungkinan untuknya beraksi tetap ada cuma City akan mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.
Manchester City dan River Plate telah bersetuju untuk membenarkan Echeverri terus bermain secara pinjaman di Argentina apabila mereka memeterai perjanjian awal bernilai £12.5 juta pada penghujung 2023. Ketika itu, City tidak menjangka pemain muda ini akan memberikan impak serta-merta dan perkara itu masih tidak berubah.
Sejak awal lagi, perancangan City adalah memberi masa kepada Echeverri untuk menyesuaikan diri dengan skuad utama. Mereka juga tidak menolak kemungkinan meminjamkannya ke kelab lain bergantung pada kadar adaptasinya.
Perbandingan dengan Julian Alvarez agak sukar dielakkan apabila perpindahan ini dimuktamadkan kerana (pertama) nilai perpindahan mereka hampir sama, (kedua) kedua-duanya berasal dari River Plate dan (ketiga) kedua-duanya dibenarkan kekal di kelab asal sebelum berpindah ke Manchester. Namun, perbezaannya ialah Alvarez berusia 22 tahun dengan lebih 100 penampilan senior, manakala Echeverri baru 18 tahun dengan hanya 1 penampilan dalam kesebelasan utama ketika itu.
Walaupun dia mempamerkan aksi cemerlang bersama Argentina di kejohanan bawah-20 dan kini telah mengumpul lebih 50 penampilan senior bersama River Plate, prestasinya sepanjang 12 bulan lalu tidak mencapai tahap yang diharapkan di Argentina.
Jika dilihat dari kompilasi video aksi bersama pasukan bawah-20 Argentina, jelas bakat yang dimiliki City. Kebanyakan hantaran bantuan (assist) yang dihasilkannya adalah daripada larian solo yang menarik dan semua jaringannya disempurnakan dengan baik termasuk satu sepakan penalti Panenka ketika menentang Brazil.
Namun, buat masa ini, dia lebih menyerlah dalam kategori umurnya — seperti mana dia turut bersinar dalam Piala Dunia Bawah-17 ketika City menandatanganinya — berbanding dalam perlawanan peringkat senior.
Echeverri merupakan pemain yang gemar menyerang setiap kali dia mendapat bola, biasanya dia bermain di posisi nombor 10 di belakang barisan tengah lawan. Dia memiliki keupayaan yang baik untuk melepasi kawalan ketat menggunakan kawalan bola yang pantas dan pergerakan badan yang licik. Ia menjadikannya seorang pemain yang berbakat dalam membawa bola, yang boleh dianggap sebagai kelebihan utamanya.
Dia juga gemar melakukan hantaran ke hadapan untuk mencipta peluang tetapi sering kehilangan bola, walaupun hakikatnya pemain kreatif memang cenderung untuk membuat lebih banyak kesilapan hantaran berbanding pemain lain di atas padang.
Dari segi bertahan, masih banyak yang perlu diperbaiki termasuk dalam aspek tekanan kepada lawan. Liga Argentina sememangnya terkenal dengan cabaran fizikal yang keras dan dia perlu menguatkan tubuhnya untuk lebih berdaya saing. Dia masih belum mencapai tahap fizikal yang cukup kuat untuk menyerlah di Liga Perdana Inggeris.
Meskipun berjaya menembusi pasukan utama River Plate, dia masih belum memberi impak yang konsisten, seperti yang ditunjukkan dalam statistiknya dengan 4 gol dan 6 bantuan dalam 41 perlawanan musim lalu.
River Plate melalui musim yang sukar dan seperti mana kebanyakan pemain Manchester City juga tidak menampilkan prestasi terbaik musim ini, Echeverri tidak berada dalam persekitaran yang sesuai untuk menyerlah. Ini bermaksud dia tiba di Manchester dengan banyak aspek permainannya yang masih perlu diperbaiki.
Jika ingin mencari perbandingan, mungkin boleh melihat kepada 2 pertahanan muda yang ditandatangani City pada Januari lalu. Abdukodir Khusanov, 20 sudah mula menunjukkan peningkatan selepas penampilan sulung yang sukar. Walaupun masih mentah, dia berjaya menyesuaikan diri dan menunjukkan kebolehan hantaran yang jarang dapat dilihat semasa di Lens.
Khusanov sudah beraksi menentang Chelsea, Real Madrid, Liverpool dan Tottenham Hotspur. Sebaliknya, Vitor Reis, 19 diberi laluan yang lebih perlahan, dengan hanya 2 penampilan di Piala FA menentang pasukan liga bawahan.
Echeverri mungkin berada di tengah-tengah antara Reis dan seorang lagi pemain muda, Juma Bah dari Sierra Leone yang dipinjamkan semula ke Lens selepas dibeli oleh City pada Januari. Bah berkemungkinan besar akan dipinjamkan lagi pada musim depan dan tidak dianggap sebagai calon skuad utama buat masa ini.
Tidak seperti Bah, Echeverri akan berada di Manchester, yang memberinya peluang lebih baik untuk menembusi pasukan utama. Namun, situasi James McAtee mungkin boleh dijadikan rujukan. McAtee telah berada di City sejak berusia 10 tahun dan mempunyai 2 tahun pengalaman bola sepak senior bersama Sheffield United,mbtetapi masih sukar mendapat tempat dalam pasukan Guardiola, walaupun bahagian tengah City kelihatan keletihan pada penghujung tahun lalu.
Dalam konteks pemain Argentina yang tiba pertengahan musim, Echeverri mungkin lebih mirip dengan Maximo Perrone berbanding Alvarez.
Alvarez tiba pada usia 22 tahun, menyesuaikan diri dengan pantas dan menjadi sebahagian daripada kejayaan besar City dan Argentina. Perrone pula menyertai City dari Velez Sarsfield setahun selepas Alvarez dan setahun sebelum Echeverri.
Perrone sempat membuat debut Liga Perdana Inggeris sebulan selepas tiba, diikuti dengan penampilan dalam Piala FA tetapi walaupun mendapat pujian daripada jurulatih City, dia telah menghabiskan 2 musim terakhir secara pinjaman. Secara teknikal, dia sesuai dengan gaya permainan City tetapi mungkin belum mempunyai profil fizikal yang mencukupi.
Ini tidak bermaksud Echeverri akan mengalami nasib yang sama atau dia akan terus dipinjamkan ke kelab lain. Dia memiliki kualiti yang tinggi dan mungkin seperti Khusanov, dia dapat memperbaiki permainannya dengan cepat dalam persekitaran baru.
Namun, terdapat kesedaran bahawa dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam pasukan utama City terutama kerana Guardiola jarang bereksperimen selepas bulan Februari — sesuatu yang telah disebutnya sendiri ketika bercakap tentang jadual perlawanan yang semakin mencabar.
City kini sedang bersaing untuk tempat keempat liga dan bukannya kejuaraan, jadi mungkin keadaan ini membuka ruang untuk Echeverri. Namun, kemungkinan besar dia hanya akan diberi peluang untuk menyerlah dalam Piala Dunia Kelab, yang boleh menjadi pentas terbaik untuk memperkenalkan dirinya kepada dunia.