Harry Kane Percaya Spurs Mampu Menang Liga Perdana Inggeris Selepas Membelasah Liverpool

Penyerang Tottenham Hotspurs, Harry Kane meletakkan target untuk memenangi piala musim ini dan percaya pasukannya lebih dari mampu untuk memenangi Liga Perdana Inggeris.

Bintang England ini mahu rakan sepasukannya percaya mereka boleh menggapai impian tersebut selepas melihat mereka beraksi cemerlang ketika membelasah Liverpool 4-1 tempoh hari di Wembley.

Dalam perlawanan tersebut, Kane berjaya menjaringkan dua gol untuk Spurs pada setiap separuh masa dan dua gol lagi disumbangkan oleh Dele Alli dan Son Heung-Min. Gol tunggal Liverpool dijaringkan Mohamed Salah.

Spurs telah berkembang menjadi pasukan yang digeruni di bawah kendalian Mauricio Pochettino. Di bawah bimbingan pengurus dari Argentina tersebut, mereka telah berjaya menduduki tempat ketiga dan kedua dalam dua musim sebelum ini. Mereka kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan ketinggalan 5 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.

Harry Kane sedang mengungguli carta penjaring gol Liga Perdana Inggeris setakat ini dengan 8 gol diikuti Sergio Aguero dengan 7 gol. Beliau berjaya menjadi penjaring terbanyak untuk dua musim berturut-turut dan kini dalam landasan terbaik untuk mengekalkan gelaran yang dimenanginya itu.

Untuk rekod, Spurs tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan liga semenjak tahun 1961. Kane percaya masanya hampir tiba untuk mereka membawa kejayaan tersebut ke White Hart Lane.

“Dua musim sebelum ini, kami sangat hampir untuk memenangi Liga Perdana Inggeris. Jadi saya amat berharap tahun ini merupakan tahun kami memenanginya. Saya amat yakin pasukan ini lebih dari mampu untuk memenangi liga dan apa yang harus kami lakukan adalah terus bekerja keras. Target ini boleh dicapai jika kami mampu mengekalkan prestasi baik kami ketika ini.”

“Menewaskan Liverpool memberikan kami lebih keyakinan untuk mencabar kejuaraan liga musim ini. Perjalanan masih lagi jauh. Kami sangat hampir untuk memenanginya dua musim sebelum ini. jadi harapan saya kami boleh memenanginya tahun ini.”

Penyerang utama England ini turut menambah Tottenham boleh berkembang menjadi antara kelab terbesar dunia di bawah jagaan Mauricio Pochettino.

“Matlamat utama saya adalah untuk memenangi seberapa banyak piala yang boleh, menjadikan kelab ini sebagai salah sebuah kelab terbesar di dunia dan akhir sekali menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia.”

“Saya percaya kami mempunyai asas yang sempurna untuk merealisasikan matlamat tersebut. Kami mempunyai pengurus yang hebat dan pasukan yang bagus. Masa depan kami amat cerah.”

Walaubagaimanapun, peminat Spurs masih perlu risau dengan prospek kehilangan Kane kepada kelab-kelab besar. Persembahan cemerlang Harry Kane telah membuka mata kelab besar dunia seperti Real Madrid dan Manchester United untuk mendapatkan khidmatnya.

Spurs telah banyak melahirkan bintang bertaraf dunia seperti Luka Modric dan Gareth Bale. Menariknya, kedua-duanya telah dibeli oleh Real Madrid dan tidak mustahil Kane akan mengikut jejak langkah Bale dan Modric untuk berhijrah ke Sepanyol.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga