Harry Maguire Tolak Barcelona Kerana Mahu Berjaya Bersama Man United

Ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire menolak kesempatan untuk menyertai Barcelona pada jendela perpindahan musim panas ini.

Laporan mengejutkan itu telah dilaporkan oleh pelbagai media di Sepanyol dan UK yang mendakwa Maguire tidak mahu ke Nou Camp dan mahu berjuang mendapat tempat di Old Trafford.

Harry Maguire bergelut untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya pada musim lalu, dan ramai pihak yang mendesak Man United supaya menjual sahaja bintang England itu pada musim panas ini.

Bahkan ada segelintir peminat yang meminta agar pihak kelab beri sahaja Maguire kepada sesiapa secara percuma, asal sahaja beliau meninggalkan Old Trafford.

Sebaik ketibaan Erik ten Hag, ramai yang percaya Maguire sudah tiada tempat dan beliau perlu segera meninggalkan kelab.

Walau bagaimanapun, pengurus dari Belanda itu sepertinya telah menyatakan sokongan beliau kepada Maguire, dan turut mengesahkan yang pemain centre back itu akan kekal menjadi ketua pasukan.

Ten Hag mengesahkan yang Maguire akan tetap menjadi ketua pasukan Manchester United pada musim baharu nanti.

Menurut sumber laporan dari The Mirror, Maguire teruja kerana beliau mendapat kepercayaan dari Ten Hag dan kerana itulah beliau memaklumkan kepada ejennya supaya menolak semua tawaran yang datang untuk mendapatkan khidmatnya.

Beliau bahkan turut menegaskan supaya ejennya menolak segala tawaran yang dibuat oleh Barcelona dalam masa terdekat ini.

Hal ini kerana gergasi Catalan itu dilaporkan sangat berminat mahu mendapatkan khidmat Maguire dari Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini.

Nama Maguire telah disebut-sebut sebagai calon potensi untuk dihantar ke Nou Camp sebagai sebahagian dari perjanjian pembelian pemain midfield, Frenkie de Jong.

Walau bagaimanapun, Maguire sama sekali tidak berminat mahu melengkapkan perpindahannya menyertai Barcelona pada jendela perpindahan musim panas ini.

Sumber terdekat mendedahkan kepada The Mirror bahawa:

“Segelintir pemain terutama kalau mereka teruk kena kecam, mereka akan sangat terdesak mahu ke Barcelona kalau ada tawaran datang.”

“Tapi Harry tidak dan dia mahu melalui musim yang berjaya bersama United. Ketika bercakap tentang kekuatan mental, Harry sungguh luar biasa.”

“Seperti biasa, dia akan turun dan lakukan apa yang terbaik mampu dia lakukan.”

Sahabat Harry Maguire itu kemudiannya menyatakan bahawa:

“Harry sebelum ini jadi kambing hitam untuk Manchester United kalau mereka bermain dengan teruk musim lalu.”

“Segelintir pemain yang dianggap bintang besar kadang kala bermain lebih teruk dari dia. Sepertinya hanya seorang sahaja yang perlu bayar untuk hal tersebut.”

“Musim itu juga hanya David De Gea sahaja yang melalui musim yang sungguh luar biasa menakjubkan untuk kelab.”

Maguire turut diturunkan dalam tiga aksi pra musim Manchester United pada musim panas ini, namun beliau tidak diturunkan ketika aksi kemenangan 4-0 menewaskan Liverpool sebelum ini.

Beliau sepertinya perlu berjuang untuk mendapatkan tempat dalam skuad United pada musim baharu ini selepas skuad setan merah berjaya melengkapkan pembelian Lisandro Martinez dari Ajax.

Walau bagaimanapun, Ten Hag sudah menjelaskan yang beliau melihat Maguire sebagai pemain yang akan menjadi pilihan utama beliau pada musim baharu nanti.

“Saya rasa memang dia. Harry telah buktikan sebelum ini, tapi dia juga perlu buktikan di masa sekarang dan hadapan.”

Jelas Ten Hag pada awal bulan lalu.

“Saya akan berikan sokongan kepada dia semampu saya. Pada akhirnya, dia juga perlu lakukan untuk dirinya sendiri, dan dia memang ada kualiti untuk lakukan itu. Dia dah tunjukkan sebelum ini. Dia bermain 60 kali untuk England. Harry memang sangat menakjubkan dan saya menjangkakan yang lebih dari dia.”

“Tapi ada juga persaingan dari dalaman dan itu memang satu hal yang kelab seperti United perlukan. Kamu tak boleh menang dengan 11 pemain.”

“Kita perlukan skuad, terutama musim ini dengan baki perlawanan yang masih banyak. Kita ada Europa League, Premier League dan kita ada Piala Dunia, jadi kita kena ada skuad lengkap dengan kualiti yang tinggi bukan sekadar kuantiti.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Barcelona Berminat Dapatkan Aubameyang Sebagai Pengganti Aguero