Harvey Elliott, Pemain ‘Terpinggir’ Liverpool Yang Akhirnya Muncul di Pentas Utama

Ketika Harvey Elliott menyertai rakan sepasukan yang lain untuk sesi pemanasan badan selepas perlawanan, namanya bergema di sekitar Parc des Princes. Kira-kira 2,000 penyokong Liverpool yang masih berada di dalam stadium selepas tamat perlawanan terus menyanyikan namanya dengan penuh semangat.

Jaringannya telah memastikan Liverpool meraih salah satu kemenangan paling tidak dijangka dalam sejarah Eropahnya.

Seorang pemain berusia 21 tahun yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan sepanjang musim pertama Arne Slot sebagai pengurus tiba-tiba menjadi tumpuan dan dia memang layak mendapat penghormatan itu.

Hanya 47 saat selepas menggantikan Mohamed Salah, Elliott menerima hantaran daripada Darwin Nunez dan dengan tenang menewaskan Gianluigi Donnarumma menerusi sentuhan pertamanya. Selepas itu, dia melakukan gelongsoran lutut dengan penuh kegembiraan sebelum dikerumuni rakan sepasukan.

Jaringan minit ke-87 itu menjadi satu-satunya percubaan tepat Liverpool sepanjang perlawanan tetapi ia sudah cukup untuk memberikan mereka kelebihan 1-0 menjelang aksi timbal balik di Anfield minggu hadapan.

Alisson Becker yang beraksi cemerlang dengan beberapa siri penyelamatan penting bagi memastikan Paris Saint-Germain (PSG) tidak mengambil kesempatan daripada dominasi mereka, terus mendapatkan Elliott sebaik wisel penamat dibunyikan dan mengangkatnya dengan penuh kegembiraan.

“Kita tak pernah terfikir untuk menjaringkan gol dengan sentuhan pertama tetapi bola itu datang tepat kepada saya selepas hantaran hebat daripada Darwin. Saya hanya perlu memastikan penyudahnya tepat,” kata Elliott kepada LFCTV.

“Saya hanya perlu pastikan saya menyambungnya dengan baik. Saya sasarkan ke penjuru bawah dan walaupun Donnarumma sempat menyentuh bola, nasib menyebelahi saya. Di bangku simpanan, kami berbincang tentang bertahan habis-habisan dan berharap mendapat satu peluang. Kami menunjukkan ketahanan sebagai satu pasukan dan akhirnya mendapat ganjaran.”

Musim Yang Sukar Buat Elliott
Secara peribadi, musim ini bukanlah yang terbaik untuk Elliott. Dia mengalami kecederaan patah tulang kaki yang menyebabkan dia terpaksa berehat selama 2 setengah bulan sebelum Krismas. Selepas pulih, dia masih sukar mendapat minit permainan.

Pada musim 2023-24 di bawah kendalian Jürgen Klopp, Elliott memulakan 27 perlawanan dalam semua kejohanan. Namun, di bawah Slot, dia hanya diberi peluang sebagai kesebelasan utama sebanyak 4 perlawanan dan itu pun hanya dalam saingan domestik serta perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang PSV.

Ketika Liverpool menghadapi 5 perlawanan Liga Perdana dalam tempoh 15 hari baru-baru ini, Elliott hanya bermain beberapa minit sahaja iaitu sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Manchester City.

Ini bukanlah sesuatu yang memalukan kerana persaingan dalam skuad Liverpool cukup sengit. Trio Ryan Gravenberch, Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai telah menjadi nadi utama pasukan manakala Curtis Jones juga mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila diberi peluang. Elliott boleh bermain di sayap kanan tetapi dengan kehadiran Salah yang hampir tidak pernah direhatkan, peluang untuknya beraksi di posisi itu cukup terhad.

Sebagai pemain muda yang bercita-cita tinggi, Elliott mungkin berasa sedikit kecewa dengan situasinya. Sejak tiba dari Fulham pada 2019, dia sudah mengumpul 137 penampilan bersama Liverpool tetapi masih belum berjaya menembusi kesebelasan utama secara tetap.

Spekulasi mengenai masa depannya pada musim panas ini tidak dapat dielakkan. Namun, Liverpool tidak bercadang untuk menjualnya dan Elliott sendiri tidak menunjukkan tanda-tanda ingin meninggalkan kelab dalam masa terdekat.

“Saya perlu gunakan rasa marah dan kecewa ini sebagai motivasi,” tambah Elliott.

“Saya sentiasa mahu bermain dalam Liga Juara-Juara. Ini bukan soal menunjukkan kepada semua orang bahawa saya kecewa, tetapi lebih kepada memastikan saya sentiasa bersedia untuk membantu pasukan. Walaupun saya hanya bermain 5 minit menentang PSG, saya masuk dengan mentaliti untuk memberi impak sebanyak mungkin.”

“Kita hanya perlukan detik-detik kecil yang boleh meningkatkan keyakinan dan membuka lebih banyak peluang. Pengurus mempunyai keputusannya sendiri dan sebagai pemain, kita perlu menghormatinya.”

Jaringan Bersejarah Untuk Elliott
Gol kemenangan Elliott menentang PSG mencipta sejarah sebagai jaringan paling lewat dalam perlawanan yang dijaringkan dan dibantu oleh pemain gantian sejak separuh akhir Piala Kelab Dunia 2019, ketika Trent Alexander-Arnold mencipta gol kemenangan Roberto Firmino menentang Monterrey.

Lebih mengagumkan, Elliott kini telah menjaringkan gol dalam 3 perlawanan berturut-turut Liga Juara-Juara untuk kali pertama dalam kariernyanselepas turut menemui sasaran menentang Lille dan PSV di peringkat kumpulan.

“Ini adalah detik besar buatnya,” kata Slot. “Saya faham dia kadang-kadang berasa kecewa kerana kurang bermain tetapi dia bersaing dengan pemain yang hampir mustahil untuk dikeluarkan.”

“Dominik Szoboszlai adalah pemain yang tidak pernah berhenti berlari dan turut menyumbang gol, sementara Mo Salah adalah pemain yang sangat penting buat pasukan. Jadi, Elliott terpaksa menerima hakikat bahawa minit permainannya terhad tetapi dia tetap bekerja keras.”

“Saya perlu beri pujian kepadanya, begitu juga kepada staf kejurulatihan saya yang sentiasa bekerja keras memastikan dia kekal bersedia.”

Slot juga layak dipuji kerana pertukaran taktikalnya yang berani. Walaupun Salah kurang berkesan sepanjang perlawanan, kebanyakan pengurus mungkin akan membiarkannya terus bermain. Namun, Slot mengambil keputusan berani dengan memasukkan Elliott pada saat genting.

Selain itu, memasukkan Jones dan Wataru Endo menggantikan Luis Diaz dan Gravenberch memberikan Liverpool lebih keseimbangan di bahagian tengah manakala kehadiran Nunez menggantikan Diogo Jota memberikan pasukan lebih ancaman di bahagian serangan.

Slot sebelum ini secara terbuka mengkritik etika kerja Nunez selepas perlawanan menentang Wolves dan Aston Villa tetapi nampaknya kritikan itu telah memberi kesan positif. Penyerang Uruguay itu mempamerkan kekuatan fizikalnya ketika menewaskan Marquinhos sebelum melakukan hantaran kepada Elliott untuk jaringan kemenangan.

“Sejak Darwin masuk, kita lebih berbahaya,” kata Slot.

Secara statistik, PSG jauh lebih dominan dalam perlawanan ini. PSG menguasai 70% penguasaan bola, melakukan 27 percubaan berbanding hanya 2 sahaja daripada Liverpool serta mencatatkan nilai jangkaan gol (xG) 1.8 berbanding 0.3.

Namun, rekod 22 perlawanan tanpa kalah PSG akhirnya lebur kerana Alisson beraksi pada tahap luar biasa manakala Elliott menunjukkan ketajaman penyudah yang gagal ditampilkan oleh barisan serangan tuan rumah. Ketahanan mental Liverpool dalam bertahan dan memanfaatkan satu peluang yang mereka miliki harus dipuji.

“Alisson adalah penjaga gol terbaik di dunia dan dia membuktikannya dalam setiap perlawanan,” kata Elliott. “Dia luar biasa. Tanpanya, saya rasa pasukan ini tidak akan berada di kedudukan sekarang.”

Liverpool kini berada dalam kedudukan yang cukup baik untuk mara ke peringkat suku akhir, tetapi mereka perlu lebih kemas dan tenang di Anfield nanti. Apa pun, mereka kini sudah menewaskan juara dari Sepanyol, Jerman, England dan Perancis dalam satu musim tanpa melepaskan sebarang gol.

Luis Enrique sebelum ini memberi amaran kepada PSG tentang bahaya barisan serangan Liverpool yang diibaratkan sebagai “tiga jet pejuang”. Namun, akhirnya pemain gantian yang tidak disangka-sangka menjadi pemusnah harapan mereka.

BACA:  Jurgen Klopp : Pemain Liverpool Tidak Memberi Sokongan Kepada Darwin Nunez